Topik diikuti
Pergi ke BHkuKisah ‘keajaiban’ mangsa terselamat hidupkan harapan selepas banjir Nepal
Nepal turut mohon pampasan banjir AS$5 bilion, uji kemampuan dana iklim PBB
KATHMANDU: Ketika Manisha Magar bergerak dalam tidurnya di wad kanak-kanak Hospital Pengajar Universiti Tribhuvan, ibunya segera menutup pipi anak kecil berusia lima tahun itu dengan selimut.
Lebam pada wajah Manisha masih belum sembuh sepenuhnya selepas dia terperangkap hampir tiga hari dalam lumpur dan runtuhan akibat banjir kilat dahsyat yang melanda Nepal pada 26 Ogos.
“Lebam di mukanya masih dalam proses sembuh dan saya tidak mahu dia menggaru kudisnya,” kata ibunya, Cik Geeta Magar.
Manisha dianggap sebagai antara “kanak-kanak ajaib” yang terselamat daripada bencana itu selepas ditemukan hidup dalam runtuhan di Timure, sebuah pekan kecil di daerah Rasuwa berhampiran sempadan Nepal-China.
Ketika banjir melanda, arus deras memusnahkan sebahagian rumah keluarganya dan menghanyutkan Manisha.
Ibu bapanya gagal mencapai anak bongsu daripada tiga beradik itu sebelum dia hilang dibawa arus.
Selama beberapa hari, mereka tidak mengetahui sama ada Manisha masih hidup.
Harapan muncul apabila seorang pegawai polis bersama Cik Geeta terdengar suara halus menyebut “mummy, mummy” dari celah dua tiang yang runtuh.
Pegawai itu mengikuti suara tersebut sebelum menemukan Manisha dalam keadaan mencangkung di sisi sebuah tiang yang senget, dengan kedua-dua tangannya dirapatkan ke badan.
Dia ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi rumah keluarganya.
“Dia masih sedar ketika ditemukan. Kami tidak dapat berhenti menangis kerana terlalu lega. Dia juga tidak berhenti menangis apabila melihat ibunya,” kata bapanya, Encik Lokbahadur Magar, seorang pekerja pembinaan terowong hidroelektrik.
Kisah Manisha adalah antara beberapa kejadian luar biasa yang memberi harapan kepada Nepal ketika negara Himalaya itu masih bergelut dengan kemusnahan besar akibat banjir.
Bencana itu mengorbankan lebih 1,000 orang, manakala ribuan lagi dilaporkan hilang, termasuk ratusan pelancong, pendaki dan jemaah asing.
Lebih 13,000 orang telah diselamatkan, tetapi peluang menemukan lebih ramai mangsa hidup semakin tipis apabila operasi mencari memasuki minggu kedua.
Banjir kilat itu dipercayai dicetuskan oleh limpahan tasik glasier dan memusnahkan kampung serta masyarakat di sepanjang lembangan Sungai Bhotekoshi dan Trishuli.
Arus membawa lumpur dan serpihan sehingga hampir 100 kilometer ke kawasan hilir, menjejaskan sekitar 90,000 penduduk serta memusnahkan rumah, sekolah, hospital dan hotel.
Di sebalik kemusnahan itu, beberapa mangsa terus ditemukan hidup.
Pada 5 September, 10 hari selepas banjir, polis Nepal dan Polis Bersenjata menyelamatkan Cik Chandrika Shrestha, 64 tahun, di Betrawati Bazaar.
Hampir 300 rumah di pekan perdagangan itu tertimbus akibat banjir.
Cik Shrestha ditemukan tidak sedarkan diri dan sebahagian tubuhnya terperangkap dalam lumpur di tingkat empat sebuah bangunan. Beliau diberikan rawatan awal sebelum diterbangkan ke Kathmandu.
Pada hari sama, tentera Nepal bersama pakar bencana Korea Selatan menyelamatkan seorang warga China, Encik Lu Haitao, dari terowong sepanjang 225 meter di projek hidroelektrik Upper Trishuli-1.
Selepas terperangkap selama 10 hari, tubuh Encik Lu diselaputi lumpur dan beliau kelihatan kebingungan.
Beliau tidak mengalami kecederaan yang jelas dan tanda vitalnya stabil, meskipun menunjukkan gejala hipotermia ringan.
Dua pekerja Nepal, Encik Sanjay Sah dan Encik Kabir Maharjan, turut ditemukan hidup selepas terperangkap selama sembilan hari dalam terowong projek hidroelektrik Upper Trishuli 3A.
Encik Sah, seorang penyelia mekanikal, dilaporkan masih mampu berkomunikasi dengan jelas meskipun tidak mengetahui berapa lama beliau terperangkap.
Beliau memberitahu anggota keselamatan bahawa ketika banjir melanda, beliau terperangkap sewaktu cuba membantu pekerja lain menyelamatkan diri.
Pasukan kecemasan kini meneruskan pencarian lebih 900 pekerja, jurutera dan penyelia yang dipercayai terperangkap di sekurang-kurangnya 12 projek hidroelektrik yang rosak.
Perdana Menteri Nepal, Encik Balendra Shah, berkata penemuan mangsa yang masih hidup memberi semangat kepada seluruh negara.
“Berita ini memberi harapan kepada seluruh negara dan menunjukkan bahawa usaha mencari dan menyelamat kami tidak pernah berhenti,” katanya.
Bagi Encik Gopal Tamang, seorang pengawal keselamatan di hospital tempat Manisha dirawat, setiap mangsa yang ditemukan hidup menjadi sumber kekuatan ketika Nepal berdepan kehilangan begitu besar.
“Bagaimana kita boleh meninggalkan mereka yang menggunakan setiap tenaga yang masih ada untuk terus hidup?” katanya.
Beliau menyifatkan setiap kejayaan menyelamatkan mangsa sebagai “rahmat kecil Tuhan” kepada rakyat Nepal yang sedang melalui penderitaan akibat salah satu bencana terburuk negara itu.
Bagi Nepal, setiap mangsa yang ditemukan hidup menjadi sumber harapan ketika negara itu berdepan satu lagi cabaran besar membiayai pemulihan dan pembinaan semula selepas banjir.
Kos pemulihan dijangka mencecah sekurang-kurangnya AS$5 bilion ($6.33 bilion), jumlah yang amat besar bagi salah sebuah negara termiskin di Asia.
Nepal kini memohon pampasan daripada Dana Tindak Balas terhadap Kerugian dan Kerosakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang diwujudkan untuk membantu negara membangun menanggung kesan buruk perubahan iklim.
Pada 1 September, Kathmandu menghantar surat meminta bantuan segera daripada dana itu, sambil menegaskan bahawa janji masyarakat antarabangsa perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata.
Permohonan Nepal turut menjadi ujian besar kepada dana iklim yang masih baharu dan kekurangan sumber itu.
Dana tersebut menerima ikrar lebih AS$822 juta daripada 27 negara dan pihak lain, tetapi hanya sekitar AS$485 juta telah dibayar setakat ini.
Pada masa sama, sebelum bencana di Nepal berlaku, dana itu telah menerima 176 permohonan bantuan berjumlah AS$2.8 bilion, tetapi belum membuat sebarang agihan.
Peranan sebenar perubahan iklim dalam bencana 26 Ogos itu masih belum dipastikan sepenuhnya.
Bagaimanapun, para saintis memberi amaran bahawa Himalaya semakin terdedah kepada pemanasan global apabila glasier dan tanah beku mencair, sekali gus meningkatkan risiko ketidakstabilan ais, batu dan tanah.
Bagi Nepal, tragedi itu bukan lagi sekadar soal menyelamatkan mangsa dan membina semula kawasan musnah, tetapi turut menjadi ujian sama ada sistem pembiayaan iklim dunia mampu membantu negara yang terdedah apabila bencana besar benar-benar berlaku. - Agensi berita
