KAHIRAH: Parlimen Mesir dijangka mengundi minggu depan sama ada untuk membenarkan angkatan tentera membantu mempertahankan Arab Saudi daripada serangan Houthi Yaman, jika Riyadh meminta bantuannya.

Langkah itu akan membawa negara paling ramai penduduk di dunia Arab itu lebih dekat kepada penglibatan tentera secara langsung dalam konflik yang semakin meluas, susulan serangan udara Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran pada Februari.

Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, meminta kelulusan itu dalam ucapan pada 17 Oktober.

Beliau berkata Mesir “tidak akan sekali-kali melupakan saudara kita di Teluk” dan memberitahu pemimpin Arab Saudi Kahirah akan “mengambil apa jua langkah untuk melindungi anda”.

Seperti negara-negara Teluk yang diserang Teheran dalam perang Iran, Mesir juga rakan kongsi lama dalam sistem keselamatan yang diterajui Amerika – sistem yang kini tercabar oleh konflik itu. 

Pendirian Mesir terhadap perang Iran

Kenyataan Encik Sisi menandakan peningkatan yang jelas daripada nada lebih berhati-hati yang diambil pihak berkuasa sejak perang Iran bermula. 

Walaupun Mesir berulang kali menyatakan sokongan padu kepada sekutunya di rantau Teluk, Kahirah belum mengumumkan secara terbuka ia akan memainkan peranan tempur secara langsung.

Pada Mei, kehadiran jet pejuang Rafale Mesir di Amiriah Arab Bersatu (UAE) terdedah dalam liputan media negara UAE tentang lawatan rasmi Encik Sisi. 

Liputan media Mesir tentang lawatan itu tidak menyebut penempatan ketenteraan tersebut.

Apabila Arab Saudi menandatangani perjanjian pertahanan bersama dengan Turkey dan Pakistan pada Ogos, Mesir tidak menyertainya, walaupun berkata ia sedang mempertimbangkannya.

Nada itu mula berubah selepas Houthi meningkatkan serangan ke atas kemudahan minyak dan prasarana Arab Saudi yang lain. 

Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, melawat Mesir pada September.

Dalam lawatan itu, beliau membincangkan keperluan untuk menjamin kebebasan dan keselamatan pelayaran di Selat Bab el-Mandeb dan Laut Merah.

Kedua-dua negara mempunyai pantai yang panjang di perairan tersebut. 

Apakah yang dipertaruh Mesir?

Kestabilan ekonomi Mesir sudah lama terikat dengan Teluk yang kaya minyak.

Wang kiriman pekerja Mesir di sana merupakan sumber penting mata wang asing dan pendapatan bagi keluarga mereka di tanah air, ketika inflasi diburukkan lagi oleh kenaikan mendadak harga makanan dan bahan api.

Arab Saudi, UAE dan negara Teluk lain termasuk antara penyokong kewangan utama Encik Sisi.

Sejak tentera menggulingkan Presiden Mohamed Morsi, seorang tokoh kanan Ikhwanul Muslimin, pada 2013, negara-negara itu telah menyalurkan bantuan, deposit bank pusat dan pelaburan bernilai puluhan bilion dolar.

“Kami tidak boleh sekali-kali melupakan bagaimana saudara kami di negara Teluk menyokong Mesir pada waktu itu,” kata Encik Sisi dalam ucapannya.

Arab Saudi menyimpan deposit AS$5.3 bilion ($6.7 bilion) di bank pusat Mesir, dan deposit itu akan matang pada Oktober.

Faedah sebanyak $267 juta juga perlu dibayar, menurut data bank pusat. 

Bagaimana dengan keselamatan?

Menurut penganalisis, kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat turut mendorong Kahirah mengambil pendirian lebih aktif. 

Serangan dron ke atas dua kapal gas di bandar pelabuhan Damietta di Mediterranean pada Julai menunjukkan Mesir tidak dapat mengasingkan diri sepenuhnya daripada konflik itu.

“Saya fikir mereka sedar bahawa mereka tidak boleh berdiam diri dalam hal ini selama-lamanya,” kata seorang sarjana di badan pemikir, Royal United Services Institute, Dr H. A. Hellyer.

Bagi pihak berkuasa Mesir, kebimbangan ekonomi dan keselamatan itu “satu dan sama”, katanya.

Arab Saudi dan Mesir juga mempunyai kepentingan yang sama dalam menjamin pelayaran melalui Laut Merah, yang menjadi laluan keluar bagi minyak Arab Saudi yang disekat daripada keluar melalui Selat Hormuz. 

Mesir pula memperoleh berbilion dolar setahun daripada bayaran laluan di Terusan Suez.

Kebimbangan yang bertindih ini bermakna “keselamatan Arab Saudi merupakan satu dimensi keselamatan negara Mesir”, kata penyelidik politik dan wartawan Mesir, Encik Sherif Aref.

Kekuatan tentera yang dibawa Mesir?

Mesir mempunyai salah satu angkatan tentera terbesar di dunia Arab, dengan ratusan ribu anggota aktif serta inventori udara, darat dan laut yang besar, kata penganalisis ketenteraan. 

Mesir mendapatkan peralatan daripada pelbagai negara, dan tentera udaranya mengendalikan jet F-16 buatan Amerika, Rafale Perancis dan MiG-29 buatan Russia.

Mesir menerima kira-kira $1.3 bilion setahun dalam bentuk bantuan tentera Amerika, yang membantunya membeli peralatan tentera Amerika. 

Washington mengetepikan syarat hak asasi manusia bagi sebahagian dana itu pada 2026, selepas apa yang disifatkannya sebagai “peranan yang membantu” Kahirah sejak perang Iran bermula. 

Pada tahun-tahun selepas kebangkitan pada 2011 yang menggulingkan Presiden Hosni Mubarak, angkatan tentera Mesir melancarkan kempen antipemberontakan terhadap kumpulan radikal di Semenanjung Sinai. 

Mesir juga menyumbang tentera udara dan laut kepada gabungan pimpinan Arab Saudi yang campur tangan di Yaman pada 2015, dan melancarkan serangan udara ke atas sasaran Daesh di Libya semasa perang saudara negara itu.

Mesir tidak pernah melakukan penempatan tentera darat berskala besar di luar negara sejak Perang Teluk 1991, apabila tenteranya menyertai gabungan pimpinan Amerika untuk menghalau tentera Iraq dari Kuwait. 

Hampir tiga dekad sebelum itu, Presiden Mesir ketika itu, Encik Gamal Abdel Nasser, menghantar tentera Mesir ke Yaman dalam satu campur tangan yang memakan kos tinggi.

Campur tangan itu kemudian dibandingkan dengan penglibatan Amerika dalam Perang Vietnam. 

Bentuk sokongan yang mungkin diberi

Ucapan Encik Sisi dan kenyataan selepas itu tidak menyatakan jenis pasukan tentera yang akan dihantar Mesir, jika ada.

Penempatan tentera Mesir di dalam Yaman mungkin tidak berlaku, kata penganalisis ketenteraan.

Bentuk campur tangan yang lebih berkemungkinan termasuk bantuan pertahanan udara dan tentera laut, kata seorang pegawai tentera Mesir, Encik Samir Ragheb, yang telah bersara dan mengetuai badan pemikir, Yayasan Arab bagi Pembangunan dan Kajian Strategik.

“Ancaman berupa peluru berpandu dan dron memerlukan pertahanan udara dan tentera udara,” katanya.

Beliau menambah, tentera laut boleh digunakan untuk melindungi kapal, menjalankan operasi laut menentang lanun dan melindungi pantai Arab Saudi.

Namun, penyertaan satu lagi angkatan tentera konvensional Arab yang besar tidak akan “tiba-tiba menyelesaikan masalah Houthi”, kata pensyarah kanan kajian keselamatan di King’s College London, Dr Andreas Krieg. 

“Houthi sukar ditangani kerana mereka mampu menimbulkan kesan yang jauh lebih besar daripada kekuatan sebenar mereka, melalui peluru berpandu, dron, pasukan yang bertaburan dan kedudukan geografi. Mesir tidak boleh menyelesaikan masalah itu dengan mengebom sahaja,” kata beliau. 

“Apa yang boleh dilakukan Kahirah ialah mengukuhkan daya tahan Arab Saudi, memperbaiki kawalan di Laut Merah, berkongsi beban pertahanan dan meningkatkan kos politik bagi serangan yang berterusan,” tambahnya. – Reuters.

Penyertaan angkatan tentera tidak akan selesaikan masalah Houthi

“

“Houthi sukar ditangani kerana mereka mampu menimbulkan kesan yang jauh lebih besar daripada kekuatan sebenar mereka, melalui peluru berpandu, dron, pasukan yang bertaburan dan kedudukan geografi. Mesir tidak boleh menyelesaikan masalah itu dengan mengebom sahaja. Apa yang boleh dilakukan Kahirah ialah mengukuhkan daya tahan Arab Saudi, memperbaiki kawalan di Laut Merah, berkongsi beban pertahanan dan meningkatkan kos politik bagi serangan yang berterusan.”
Dr Andreas Krieg, pensyarah kanan kajian keselamatan di King’s College London.