Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeluru berpandu bedil lapangan terbang Yaman
Arab Saudi pintas peluru berpandu sasar bandar Yanbu, hab minyak utama dekat Laut Merah
Peluru berpandu bedil lapangan terbang Yaman
ADEN (Yaman): Beberapa peluru berpandu membedil Lapangan Terbang Antarabangsa Aden di selatan Yaman pada 16 Oktober, manakala gabungan tentera pimpinan Arab Saudi mengesahkan telah memintas sebuah peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah bandar Laut Merah, Yanbu.
Kawasan tersebut merupakan hab minyak utama Arab Saudi yang membolehkan eksport minyak mengelak laluan perkapalan Selat Hormuz.
Pihak gabungan itu turut berkata mereka telah memusnahkan dua peluru berpandu krus di ruang udara Laut Merah serta tiga dron di Riyadh dan wilayah selatan Arab Saudi.
Namun, pihak gabungan tidak mendedahkan dalang di sebalik serangan berkenaan.
Sementara itu, dua peluru berpandu telah mendarat di kawasan lapangan terbang Aden, menurut Jabatan Keselamatan Aden, yang menuding jari kepada kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran, sebagai dalang kejadian tersebut.
Jabatan itu menambah bahawa insiden berkenaan merupakan serangan kedua ke atas kemudahan tersebut dalam tempoh kurang seminggu.
Kumpulan Houthi belum mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan, yang dilaporkan tidak mengorbankan sebarang nyawa.
Sebuah pesawat Yemenia Airways yang dijadualkan ke Kahirah sedang bersedia untuk berlepas sewaktu peluru berpandu berkenaan mendarat, kata jabatan keselamatan itu.
Yanbu merupakan laluan keluar utama bagi eksport minyak Arab Saudi, membolehkan kerajaan itu menghantar minyak mentah ke pasaran antarabangsa menerusi Laut Merah tanpa perlu melalui Selat Hormuz.
Laluan perairan penting itu sebahagian besarnya telah disekat oleh Iran sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas negara berkenaan pada Februari.
Ketegangan serantau dan ancaman keselamatan terus meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan perkapalan serta sekatan bekalan tenaga dunia.
Keadaan ini menyaksikan harga minyak mentah penanda aras global Brent melepasi AS$110 (sekitar $141) setong seketika pada 16 Oktober, buat kali pertama sejak Mei.
Pihak berkuasa Pertahanan Awam Arab Saudi mengeluarkan amaran awal pagi pada 17 Oktober bagi kawasan Abha di barat daya Arab Saudi, berhampiran sempadan Yaman, sebelum mengesahkan keadaan kembali selamat.
Sebelum ini, mereka mengeluarkan amaran di wilayah Jazan dan bandar barat daya Khamis Mushait, lokasi di mana amaran sedemikian kerap dikeluarkan sejak pertempuran meletus semula pada September.
Pada awal 17 Oktober, media sekutu Houthi turut melaporkan serangan di timur bandar Saada di barat laut Yaman.
Gabungan pimpinan Arab Saudi mengesahkan telah memusnahkan dua pelancar peluru berpandu balistik di kawasan berkenaan.
Pertempuran antara Houthi dengan gabungan pimpinan Arab Saudi yang menyokong pemerintah Yaman mencetuskan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di negara itu.
Agensi kemanusiaan memberi amaran bahawa keadaan semakin merosot dengan pantas.
Konflik di Yaman telah menjadi satu lagi medan pertempuran dalam perang serantau lebih luas, yang tercetus berikutan serangan Amerika dan Israel ke atas Iran pada Februari.
Perang Yaman bermula pada 2014 apabila kumpulan Houthi menawan ibu negara Sanaa dan memaksa pemerintah yang diiktiraf antarabangsa berundur ke selatan.
Campur tangan tentera pimpinan Arab Saudi bermula pada 2015, sekali gus membawa kepada jalan buntu yang berpanjangan sebelum gencatan senjata dicapai pada 2022 dan bertahan hingga 2026.
Sejak konflik itu kembali memuncak, kumpulan Houthi berulang kali melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Arab Saudi dengan menyasarkan lapangan terbang, kemudahan minyak serta prasarana lain.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kumpulan itu turut menyasarkan lokasi di kawasan yang dikuasai pemerintah Yaman, termasuk Lapangan Terbang Aden dan istana presiden di ibu negara sementara itu.
Jurucakap kementerian kesihatan kendalian Houthi berkata pada 16 Oktober bahawa seramai 124 orang awam telah terkorban manakala 327 lagi cedera dalam apa yang disifatkan sebagai “pencerobohan Arab Saudi” sejak ketegangan kembali memuncak pada 3 September. – Reuters.