Topik diikuti
Pergi ke BHkuKonflik AS-Iran merebak, OIC dan negara Teluk tingkat bantahan diplomatik
Konflik AS-Iran merebak, OIC dan negara Teluk tingkat bantahan diplomatik
Konflik AS-Iran merebak, OIC dan negara Teluk tingkat bantahan diplomatik
DOHA: Ketegangan di Asia Barat terus memuncak apabila beberapa negara Teluk mengecam siri serangan Iran terhadap wilayah mereka sebagai tindak balas kepada serangan tentera Amerika Syarikat ke atas Iran, sekali gus mencetuskan bantahan diplomatik dan kebimbangan terhadap keselamatan serantau.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 12 Julai turut mengutuk tindakan Iran sambil menggesa semua pihak menghormati kedaulatan negara anggota dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi konflik.
Perkembangan itu berlaku ketika pertikaian mengenai kawalan Selat Hormuz, laluan yang mengendalikan sebahagian besar perdagangan minyak dunia, terus meruncing.
Qatar mengeluarkan kenyataan paling tegas dengan mengutuk serangan Iran ke atas wilayahnya serta beberapa negara jiran termasuk Jordan, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Oman dan Kuwait.
Kementerian Luar Qatar menyifatkan tindakan Teheran sebagai pencabulan jelas terhadap kedaulatan negara-negara berkenaan serta pelanggaran undang-undang antarabangsa.
“Negara Qatar mengutuk sekeras-kerasnya serangan baharu yang dilancarkan Republik Islam Iran terhadap wilayahnya serta wilayah Jordan, UAE, Bahrain, Oman dan Kuwait,” menurut kenyataan kementerian itu.
Qatar turut menegaskan bahawa negara itu berhak mengambil tindakan balas mengikut undang-undang antarabangsa.
“Qatar berhak mengambil semua langkah yang perlu bagi melindungi kedaulatan, keselamatan, keutuhan wilayah serta rakyatnya,” katanya.
Selain itu, Qatar menyatakan solidariti penuh terhadap semua negara Teluk yang menjadi sasaran serangan dan menyokong segala langkah sah yang diambil bagi mempertahankan keselamatan masing-masing.
Jordan turut mengecam tindakan Iran dengan menyifatkannya sebagai ancaman serius terhadap kestabilan rantau itu.
Kementerian Luar Jordan berkata serangan berkenaan merupakan “pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan negara-negara jiran, ancaman kepada keselamatan dan kestabilan serantau serta pencabulan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).”
“Kami berdiri teguh bersama negara-negara sahabat dalam setiap langkah yang diambil bagi melindungi kedaulatan dan keselamatan mereka,” katanya.
Sementara itu, Oman mengambil langkah diplomatik dengan memanggil wakil Iran selepas mendakwa beberapa lokasi di wilayah Musandam dan Al Wusta menjadi sasaran serangan dron.
Pegawai Kementerian Luar Oman, Sheikh Khalid Almuslahi, berkata Muscat menyuarakan kebimbangan serius terhadap tindakan itu.
“Kami menggesa Iran menghormati prinsip tidak campur tangan, kedaulatan negara dan nilai kejiranan yang baik,” katanya.
Pakistan, yang sebelum ini menjadi antara pengantara kepada memorandum persefahaman damai antara AS dan Iran, turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan.
Kementerian Luar Pakistan menegaskan sokongannya terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara di rantau itu.
“Kami amat prihatin dengan perkembangan semasa dan terus menyokong kedaulatan semua negara sahabat di rantau ini,” menurut kenyataan kementerian itu. - Agensi berita
