MOGADISHU: Lanun Somalia merampas sebuah kapal tangki minyak yang disyaki menjadi sebahagian daripada “armada bayangan” Iran di luar pantai Yaman pada 20 Ogos, dalam kejadian terkini yang mencerminkan peningkatan ancaman lanun di rantau itu pada tahap tertinggi dalam lebih sedekad.

Kapal tangki SIBU 1 yang menggunakan bendera Eritrea dipercayai menjadi sebahagian daripada rangkaian kapal yang digunakan Iran untuk mengeksport minyak ke pasaran dunia, ujar firma pemantauan perkapalan minyak, TankerTrackers.com.

Kapal itu dilaporkan kerap membawa bahan api ke terminal minyak di pelabuhan Ras Isa, Yaman, yang dikuasai kumpulan Houthi yang disokong Iran.

Pegawai keselamatan kanan Pasukan Polis Maritim Puntland, Kolonel Mohamed Jama, berkata tujuh lanun bersenjata menaiki SIBU 1 kira-kira 130 batu nautika dari pantai Yaman sebelum mengarahkan kapal tersebut menuju ke perairan Somalia.

Keadaan 20 anak kapal yang berada di atas kapal itu masih belum diketahui.

SIBU 1 merupakan kapal kedua dirampas lanun Somalia dalam tempoh empat hari, kata pegawai Somalia.

Beberapa hari sebelumnya, sebuah kapal kargo berbendera Cameroon, Lutuf, dirampas di luar pantai Puntland, wilayah separa autonomi Somalia.

Ketua Pengarah Kementerian Pelabuhan di negeri Galmadug, Encik Abshir Hashi Ali, berkata kapal itu membawa senjata dan sedang dalam perjalanan dari Turkey menuju Mogadishu ketika dirampas.

Menurut beliau, enam kapal kini berada dalam tahanan lanun Somalia, dengan lebih 100 anak kapal dipercayai dijadikan tebusan.

Peningkatan serangan itu menimbulkan kebimbangan mengenai kebangkitan semula kegiatan lanun Somalia yang pernah menjadi ancaman besar kepada perkapalan antarabangsa lebih sedekad lalu.

Dalam tempoh lima bulan pertama 2026, lebih 17 kejadian berkaitan lanun direkodkan di perairan Somalia dan Teluk Aden.

Ia termasuk rampasan sekurang-kurangnya tiga kapal komersial dan lima bot dhow – layar tradisional Arab, tambah Center for Maritime Security.

Presiden pertubuhan tadbir urus maritim Auxilium Worldwide, Encik Ian Ralby, berkata kejadian terkini merupakan antara siri serangan lanun paling kerap yang berjaya dalam hampir 15 tahun.

Namun, menurutnya, perkembangan itu kurang mendapat perhatian kerana keadaan keselamatan maritim yang lebih luas di rantau tersebut semakin buruk.

Kebangkitan kegiatan lanun berlaku ketika konflik Iran serta sekatan dan pertempuran di laluan perkapalan penting, termasuk Laut Merah dan Selat Hormuz, meningkatkan risiko kapal komersial.

Beberapa serangan berhampiran pantai Yaman turut mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan wujud kerjasama antara lanun Somalia dengan Houthi.

Pada Mei lalu, lanun Somalia merampas kapal tangki minyak Eureka yang menggunakan bendera Togo di luar pantai Yaman sebelum mengarahkannya melalui bahagian Teluk Aden di perairan Yaman menuju pantai Somalia.

Penganalisis berkata lanun Somalia dan Houthi dipercayai menjalin hubungan sejak beberapa tahun lalu, termasuk dakwaan bahawa kumpulan Yaman itu pernah memberikan bantuan teknologi dan sokongan ketenteraan.

Gangguan terhadap penghantaran minyak akibat konflik Iran dan kenaikan harga bahan api kini dikhuatiri memberi dorongan ekonomi tambahan kepada kegiatan sedemikian.

Ancaman terhadap perkapalan turut meningkat selepas Houthi kembali mengancam kapal di Laut Merah pada musim panas ini selepas mengisytiharkan sekatan terhadap Arab Saudi.

Kegiatan lanun Somalia pernah mencapai kemuncaknya sekitar 2010 apabila ratusan kapal dirampas, menyebabkan syarikat perkapalan dan firma insurans mengalami kerugian berbilion dolar, termasuk akibat pembayaran wang tebusan.

Ancaman itu kemudian berkurangan susulan operasi tentera laut antarabangsa yang melibatkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan Kesatuan Eropah.

Kapal komersial turut mengambil langkah keselamatan tambahan dengan belayar lebih jauh dari pantai Somalia serta menggunakan peralatan seperti meriam air bagi menghalang lanun.

Namun, pakar berkata beberapa faktor kini membuka ruang kepada kebangkitan semula kegiatan lanun.

Selain keadaan keselamatan serantau yang semakin tidak menentu, persaingan daripada kapal pukat asing termasuk dari China dan Sepanyol dikatakan menjejas pendapatan masyarakat nelayan Somalia.

Kemerosotan rondaan dan penguatkuasaan keselamatan maritim pula memberi peluang kepada kumpulan bersenjata kembali menjalankan kegiatan penculikan kapal untuk mendapatkan wang tebusan.

Dalam satu lagi perkembangan, beberapa jam selepas Lutuf dirampas, serangan udara dilaporkan mengenai sebuah bot yang disyaki mempunyai kaitan dengan lanun yang menguasai kapal tersebut.

Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam serangan itu, tetapi pihak yang melancarkannya masih belum dikenal pasti. – Agensi berita.