BANGKOK/PHNOM PENH: Pertempuran antara tentera Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan yang dipertikaikan telah berlanjutan ke hari kedua, dengan kerajaan Thailand memberi amaran bahawa konflik ini berisiko “bertukar menjadi perang” jika tidak dikawal.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 16 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 120,000 penduduk di kedua-dua belah sempadan telah dipindahkan ke pusat pemindahan.
Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, menegaskan bahawa kerajaan sedang memantau perkembangan dengan serius. “Kami telah berusaha untuk berkompromi kerana kita adalah jiran, namun kini kami telah mengarahkan tentera Thailand untuk bertindak segera jika keadaan mendesak,” katanya kepada pemberita pada 25 Julai. “Jika situasi terus memuncak, ia boleh bertukar menjadi perang, walaupun buat masa ini ia masih terhad kepada pertempuran bersenjata,” tambahnya.
Jurucakap tentera Thailand, Laksamana Muda Surasant Kongsiri, memaklumkan bahawa pertempuran kini berlaku di 12 lokasi sepanjang kawasan sempadan yang dipertikaikan, meningkat daripada enam lokasi sehari sebelumnya. Beliau mengesahkan bahawa Kemboja terus menggunakan senjata berat. “Serangan meriam dan senjata berat dari Kemboja berterusan, dan tentera kami terpaksa memberi tindak balas sewajarnya,” ujarnya.
Kementerian Kesihatan Thailand melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 14 orang awam dan seorang anggota tentera telah terbunuh di Thailand sejak pertempuran tercetus pada 24 Julai, sementara lebih 30 orang awam serta 15 anggota tentera turut cedera. Di pihak Kemboja, seorang pegawai wilayah Oddar Meanchey memberitahu Reuters bahawa seorang penduduk terbunuh dan lima lagi cedera akibat serangan dari Thailand.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Thailand, seramai 100,672 penduduk dari empat wilayah bersempadan dengan Kemboja telah dipindahkan ke pusat pemindahan. Di Kemboja pula, sekitar 20,000 penduduk turut meninggalkan kawasan berhampiran sempadan di utara negara itu, lapor Khmer Times.
Kementerian Kebudayaan dan Seni Halus Kemboja mendakwa bahawa serangan Thailand telah menyebabkan “kerosakan besar” pada Kuil Preah Vihear, tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), menurut laporan The Phnom Penh Post. Namun, Kementerian Luar Thailand tidak memberi sebarang respons segera terhadap dakwaan tersebut.
Di wilayah Buriram, Thailand, sebuah litar perlumbaan motorsport telah ditukar menjadi pusat pemindahan. “Ribuan keluarga telah bermalam di sini sejak konflik tercetus pada 24 Julai, dan ramai lagi sedang beratur untuk mendaftar, mendapatkan makanan dan pakaian sumbangan,” kata seorang pegawai tempatan.
Sumber diplomatik memberitahu AFP bahawa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat tergempar pada 25 Julai untuk membincangkan krisis sempadan ini. Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, melalui jurucakapnya menyeru kedua-dua negara supaya “menahan diri sepenuhnya dan mengelakkan konflik berlarutan.”
Negara-negara seperti Malaysia, Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat turut menggesa Thailand dan Kemboja supaya mencari penyelesaian melalui dialog. China, sekutu rapat Kemboja, menyatakan bahawa mereka “amat bimbang” dan berharap kedua-dua negara akan menyelesaikan pertikaian melalui perundingan.
Konflik ini turut memberi kesan besar kepada ekonomi. Penutupan lintasan sempadan pada 24 Julai telah mengganggu perdagangan antara kedua-dua negara yang bernilai sekitar 174.53 bilion baht (S$6.9 bilion) pada 2024. Majlis Pembangunan Kemboja (CDC) melaporkan bahawa pelaburan Thailand di Kemboja berjumlah AS$3.785 bilion, dengan lebih 62,000 rakyat Kemboja bekerja di sektor pertanian dan perkilangan.
Di Kemboja, pihak berkuasa mengarahkan penutupan sementara 260 sekolah di wilayah Oddar Meanchey. “Langkah ini diambil bagi melindungi pelajar, guru, dan kakitangan sekolah kerana ancaman keselamatan akibat pencerobohan,” kata Timbalan Gabenor Wilayah, Met Measpheakdey.
Kerajaan Thailand pula menjanjikan bantuan kepada petani, usahawan kecil, dan pegawai kerajaan yang terjejas. Menurut laporan The Nation, langkah bantuan ini merangkumi pengurangan kos, meningkatkan kecairan kewangan, serta membaik pulih infrastruktur agar perniagaan dapat beroperasi semula sebaik sahaja keadaan pulih. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg