Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand tuduh Kemboja tanam periuk api baru di sempadan, Phnom Penh nafi dakwaan

Jul 21, 2025 | 5:00 PM
 Polis Thailand berkawal di luar Kedutaan Kemboja ketika orang ramai berhimpun bagi membantah pertikaian sempadan Thailand-Kemboja yang semakin memuncak, di Bangkok, Thailand, pada 20 Julai 2025. Penunjuk perasaan mengadakan perhimpunan untuk membantah tindakan Kemboja susulan insiden letupan periuk api yang mencederakan tiga anggota tentera Thailand semasa rondaan di sempadan pada 16 Julai. Ketegangan antara Thailand dan Kemboja semakin memuncak selepas pertempuran singkat antara tentera kedua-dua negara pada Mei 2025, dengan kedua-duanya meningkatkan kehadiran tentera di sepanjang sempadan serta mengenakan pelbagai langkah terhadap satu sama lain.
 Polis Thailand berkawal di luar Kedutaan Kemboja ketika orang ramai berhimpun bagi membantah pertikaian sempadan Thailand-Kemboja yang semakin memuncak, di Bangkok, Thailand, pada 20 Julai 2025. Penunjuk perasaan mengadakan perhimpunan untuk membantah tindakan Kemboja susulan insiden letupan periuk api yang mencederakan tiga anggota tentera Thailand semasa rondaan di sempadan pada 16 Julai. Ketegangan antara Thailand dan Kemboja semakin memuncak selepas pertempuran singkat antara tentera kedua-dua negara pada Mei 2025, dengan kedua-duanya meningkatkan kehadiran tentera di sepanjang sempadan serta mengenakan pelbagai langkah terhadap satu sama lain. - Foto EPA

BANGKOK: Thailand menuduh Kemboja menanam periuk api baru di kawasan sempadan yang dipertikaikan selepas tiga askarnya cedera, namun Phnom Penh menafikan dakwaan itu dan menyatakan bahawa askar Thailand telah tersasar daripada laluan rondaan yang dipersetujui, lalu memijak periuk api lama yang masih tertanam sejak era peperangan berdekad lalu.

Pihak berkuasa Thailand membuat dakwaan itu selepas tiga anggotanya cedera seorang daripadanya kehilangan kaki akibat letupan periuk api semasa rondaan rutin pada 16 Julai di sebelah Thailand dalam kawasan sempadan yang dipertikaikan antara wilayah Ubon Ratchathani dan wilayah Preah Vihear di Kemboja.

Kementerian Pertahanan Kemboja dalam satu kenyataan pada 20 Julai menafikan bahawa periuk api baru telah ditanam. Mereka menjelaskan bahawa askar Thailand telah menyimpang dari laluan rondaan yang dipersetujui dan memasuki kawasan yang masih mengandungi periuk api lama yang belum meletup. Negara itu masih dipenuhi dengan periuk api sisa konflik bersenjata selama beberapa dekad.

Tentera Thailand pula menyatakan pada 21 Julai bahawa sebanyak 10 periuk api jenis PMN-2 buatan Rusia yang masih baru jenis yang tidak digunakan atau disimpan oleh Thailand telah ditemui antara 18 dan 20 Julai di kawasan berhampiran lokasi kejadian.

“Ini merupakan pelanggaran jelas terhadap kedaulatan dan integriti wilayah kerajaan Thailand serta satu pencabulan prinsip asas undang-undang antarabangsa,” kata Encik Maratee Nalita Andamo, jurucakap timbalan Kementerian Luar Negeri Thailand pada 21 Julai di Bangkok.

Data dari Pusat Tindakan Periuk Api Kemboja menunjukkan bahawa masih terdapat antara 4 hingga 6 juta periuk api yang tersebar di seluruh negara itu. Dalam empat bulan pertama tahun 2025, lima orang dilaporkan maut dan belasan lagi cedera akibat periuk api dan bahan letupan yang tidak meletup.

Kawasan kejadian letupan terletak berhampiran lokasi di mana seorang askar Kemboja terbunuh pada Mei lalu selepas berlaku tembak menembak singkat antara tentera kedua-dua negara.

Insiden ini kini mencetuskan pertikaian diplomatik yang lebih meluas antara dua negara jiran Asia Tenggara itu, sehingga menyebabkan ketidakstabilan politik di Thailand dan penggantungan sementara perdana menterinya daripada jawatan.

Thailand menyatakan ia akan mengeluarkan kecaman rasmi dan menuntut pertanggungjawaban daripada Kemboja atas pelanggaran Konvensyen Anti-Periuk Api di bawah Perjanjian Ottawa. Pihak tentera juga akan meningkatkan kawalan sempadan dan pemantauan semasa rondaan. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg