Konflik Timur Tengah gugat status Dubai sebagai pusat kewangan, pelaburan selamat
Konflik Timur Tengah gugat status Dubai sebagai pusat kewangan, pelaburan selamat
DUBAI/ABU DHABI: Selama beberapa dekad, Dubai menawarkan tarikan latar langit berkilauan, gaji bebas cukai, kemudahan menjalankan perniagaan dalam suasana serba moden, mewah dan selamat.
Konflik yang mengganggu kestabilan rantau ini entah bagaimana akan berhenti di sempadan Dubai.
Namun pada Sabtu, 28 Februari, semuanya tiba-tiba berubah.
Serangan balas Iran di seluruh Teluk melanda sektor utama Dubai, baik lapangan terbang, hotel mahu pun pelabuhan. Ia juga menjejas asas psikologi sebuah bandar yang telah menghabiskan empat dekad membina identiti sebagai salah satu tempat paling dipercayai di dunia untuk menjalankan perniagaan.
Pihak berkuasa di Amiriah Arab Bersatu (UAE), sekutu rapat Amerika Syarikat, bertindak pantas untuk membendung kerosakan keyakinan dan kesan fizikal.
Kerosakan fizikal akibat serangan hujung minggu begitu ketara. Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai telah terjejas, tempat berlabuh di Pelabuhan Jebel Ali terbakar dan Burj Al Arab mengalami kerosakan akibat serpihan pemintas peluru berpandu Tiga orang terbunuh dan 58 cedera, menurut Kementerian Pertahanan UAE.
Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan, Krisis dan Bencana Kebangsaan UAE berkata keadaan masih kekal terkawal. Bagi pelabur dan penduduk yang memerhatikan mercu tanda mereka terkena peluru berpandu, jaminan itu mereka ambil perhatian.
Namun, sama ada ia mencukupi adalah persoalan lain.
“Sukar untuk melebih-lebihkan bahaya terhadap model ekonomi Dubai,” kata Encik Jim Krane, zamil di Institut Baker, Universiti Rice.
“Kerosakan fizikal mungkin sedikit, dan kesakitan setakat ini lebih bersifat psikologi. Tetapi status Dubai sebagai tempat perlindungan selamat untuk ekspatriat dan perniagaan semakin diragui.
“Semakin lama perang berterusan, semakin sengit pencarian lokasi alternatif. Dubai memerlukan perang ini selesai sekarang. Modal antarabangsa sangat mudah alih,” tambahnya.
Sebagai tanda ketegangan yang berterusan, pasaran saham UAE ditutup dua hari pada 2 dan 3 Februari, sementara gangguan teknologi berikutan kesan ke atas kemudahan pengkomputeran awan Amazon telah menjejaskan beberapa operasi perbankan.
Berpuluh-puluh ribu orang masih terkandas di UAE kerana ruang udara sebahagian besarnya masih ditutup.
Transformasi Dubai daripada pelabuhan perikanan dan mutiara yang sederhana kepada pusat kewangan global merupakan projek selama beberapa dekad.
Pelancaran syarikat penerbangan Emirates pada 1985, pembukaan Burj Al Arab pada 1999 dan penggubalan undang-undang pada awal 2000-an yang membenarkan warga asing memiliki hartanah buat kali pertama merupakan tonggak Jenama Dubai.
Ekonomi Dubai hampir sepenuhnya dikuasai sektor bukan minyak. Gabungan perdagangan, pelancongan, hartanah mewah dan perkhidmatan kewangan, yang bertaraf London dan New York, telah menggantikannya.
Tahun lalu, UAE menarik rekod 9,800 jutawan yang berpindah, lebih ramai daripada mana-mana negara lain di dunia, menurut Henley & Partners
Menjelang akhir 2025, Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC) telah menempatkan lebih daripada 290 bank, 102 dana lindung nilai, 500 firma pengurusan kekayaan dan 1,289 entiti berkaitan keluarga.
Encik William Jackson, ketua ahli ekonomi pasaran baru muncul di Capital Economics, berkata: “Ekonomi Teluk secara amnya dilihat selamat daripada tindakan balas Iran. Saya rasa ia telah benar-benar berubah sepanjang hujung minggu. Kesannya bergantung pada berapa lama konflik berterusan”. - Reuters

