Konflik Iran-AS-Israel kian memuncak di Asia Barat
BEIRUT: Israel melancarkan serangan ke atas kedudukan Hezbollah di Lebanon pada 2 Mac, sekali gus menamatkan gencatan senjata rapuh hampir setahun dan mencetuskan kebimbangan konflik serantau lebih besar. Pertempuran antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran kini semakin meluas di Asia Barat, melibatkan sekurang-kurangnya lapan negara.
Serangan termasuk di ibu kota Beirut dilakukan selepas Hezbollah menembak roket ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. “Pada masa sama, serangan berskala besar turut diteruskan ke atas Teheran,” menurut tentera Israel ketika pasukan Amerika Syarikat memperhebat operasi ketenteraan di seluruh Iran.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi bayangan kempen ketenteraan akan berpanjangan.
“Kempen ini mungkin berterusan selama empat atau lima minggu,” katanya, menandakan konfrontasi panjang di Asia Barat. “Ia tidak akan sukar. Kami memiliki jumlah amunisi yang besar,” katanya sambil memaklumkan bahawa beliau sudahpun menyenarai pendek tiga individu pilihannya yang tidak dinyatakan nama untuk memimpin Iran selepas perang itu.
Selain melancarkan serangan, Encik Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, turut menggesa rakyat Iran supaya menggulingkan pemerintah negara mereka sendiri. Encik Trump turut memberi amaran kepada IRGC supaya meletakkan senjata serta menyerah diri atau berdepan ‘kematian tertentu’ yang dahsyat.
Encik Trump juga mendakwa kepimpinan baharu Iran mahu berunding tetapi pemimpin Majlis Keselamatan Nasional Agung Iran, Encik Ali Larijani, menegaskan negaranya tidak akan berunding dengan Washington. “Iran tidak akan berunding dengan Amerika Syarikat. “Trump menjerumuskan rantau ini ke dalam kekacauan serta huru-hara dengan ‘fantasi khayalannya’ dan kini bimbang akan lebih banyak lagi kematian tentera AS,” katanya dalam hantaran melalui X.
Pada hari ketiga pengeboman intensif ke atas Iran, Amerika Syarikat dan Israel menyerang lebih 2,000 sasaran termasuk pelancar peluru berpandu, sistem pertahanan udara serta pusat arahan tentera.
Iran membalas dengan melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke Israel serta negara Teluk.
Sebagai tindak balas terhadap serangan bertubi-tubi di mana Amerika dakwa turut memusnahkan ibu pejabat Pengawal Revolusi Iran (IRGC), tentera republik Islam itu melancarkan bedilan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta aset Amerika merentasi Asia Barat.
Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media Iran melaporkan serangan udara Amerika-Israel turut menyasarkan Hospital Gandhi di utara Tehran, pada 1 Mac. Rakaman disiarkan televisyen pemerintah menunjukkan tingkap pecah dan kerosakan pada bahagian depan hospital berkenaan.
Selain itu, letupan kuat dilaporkan kedengaran di Doha, Dubai serta Manama pada pagi 2 Mac melaporkan letupan kuat pada awal pagi 2 Mac, Berdasarkan laporan Al Jazeera, setakat jam 3 petang (GMT) 2 Mac, serangan Iran meragut sembilan nyawa dan mencederakan 121 lagi di Israel; Iraq (dua maut, lima cedera), Kuwait (seorang maut, 32 cedera), Amiriah Arab Bersatu (UAE) (tiga maut, 58 cedera), Bahrain (empat cedera), Qatar (16 cedera) dan Oman (lima cedera).
Serangan turut dilaporkan berlaku di Arab Saudi dan Jordan tanpa sebarang kematian atau kecederaan direkodkan, setakat tempoh itu. Setakat tempoh sama, Iran dilaporkan mencatat 201 kematian dan 747 mangsa cedera akibat serangan Amerika-Israel.
Kementerian Dalam Negeri Bahrain mengumumkan seorang terbunuh dan dua lagi cedera akibat serpihan yang jatuh daripada peluru berpandu yang dipintas. Kementerian itu memaklumkan kebakaran berlaku di atas kapal asing yang sedang diselenggara di Salman Industrial City selepas serpihan peluru berpandu yang dipintas jatuh ke atasnya, menyebabkan seorang pekerja Asia maut, manakala dua lagi mengalami kecederaan serius. Api kemudian berjaya dikawal dan dipadamkan.
Terdahulu, Perintah Am Angkatan Pertahanan Bahrain mengesahkan sistem peluru berpandu pertahanan udaranya telah menangkis serangan Iran, dengan menyatakan sejumlah 61 peluru berpandu serta 34 dron berjaya dimusnahkan dan dipintas.
Satu serangan di pangkalan tentera di Kuwait mengorbankan tiga anggota tentera Amerika - korban pertama Amerika dalam konflik ini. Encik Trump mengucapkan takziah dan menjangka korban akan meningkat. “Malangnya, kemungkinan akan ada lebih banyak korban sebelum konflik ini berakhir,” katanya.
Pada 1 Mac, IRGC mendakwa bahawa pihaknya telah menyerang kapal induk USS Abraham Lincoln di Teluk, namun Pentagon mendakwa peluru berpandu yang dilancarkan itu tidak sampai ke sasaran.
Sementara itu Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, pada 1 Mac berkata beliau akan membenarkan Amerika menggunakan pangkalan United Kingdom (UK) untuk serangan ‘defensif’, namun Britain tidak akan menyertai tindakan ofensif buat masa ini. - Agensi berita

