Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kongres luluskan rang potong cukai dan perbelanjaan Trump

Jul 4, 2025 | 2:23 PM
Kongres Amerika Syarikat telah meluluskan rang undang-undang cukai dan perbelanjaan Presiden Donald Trump yang merupakan kemenangan penting dalam perjuangan dan agenda domestiknya
Kongres Amerika Syarikat telah meluluskan rang undang-undang cukai dan perbelanjaan Presiden Donald Trump yang merupakan kemenangan penting dalam perjuangan dan agenda domestiknya - Foto REUTERS

WASHINGTON: Kongres Amerika Syarikat telah meluluskan rang undang-undang cukai dan perbelanjaan Presiden Donald Trump yang merupakan kemenangan penting dalam perjuangan dan agenda domestiknya.

Selepas sesi yang melelahkan di Capitol Hill, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang itu dengan undian 218 berbanding 214 pada petang 3 Julai.

Sebelum ini, ia telah diluluskan di peringkat Senat pada 2 Julai dengan kelebihan satu undi.

Encik Trump telah memberikan Kongres yang dikuasai Republikan tarikh akhir pada 4 Julai untuk menghantarnya versi akhir rang undang-undang untuk ditandatangani sebagai akta.

Pejabat Belanjawan Kongres menganggarkan rang undang-undang itu boleh menambah $3.3 trilion ($4.2 trilion) kepada defisit persekutuan dalam tempoh 10 tahun akan datang dan menyebabkan berjuta-juta warga tanpa perlindungan kesihatan – ramalan yang dipertikaikan oleh Rumah Putih.

Bercakap kepada pemberita, Encik Trump berkata rang undang-undang itu akan “mengubah negara ini menjadi roket dan merupakan rang undang-undang yang hebat untuk negara”.

Beliau dijangka menandatangani rang undang-undang menjadi akta pada 4 Julai.

Speaker Republikan, Encik Mike Johnson, yang keluar dari Dewan selepas undian, menyatakan “kepercayaan” adalah kunci untuk mendapatkan sokongan dalam partinya.

“Saya percaya dengan orang yang berdiri di sini di belakang saya,” tambahnya.

Antara mereka yang perlu beliau yakinkan Encik Chip Roy, seorang anggota Republikan Texas yang menyatakan “tidak” beberapa hari lalu apabila Senat meluluskan rang undang-undang itu.

Beliau menyifatkan rang-undang yang diluluskan Senat itu sebagai “jenaka”, tetapi mengubah fikirannya apabila pengundian bermula.

“Saya rasa kita mendapat keputusan yang baik dalam perkara penting ini,” kata Encik Roy, walaupun Dewan tidak membuat sebarang perubahan pada rang undang-undang yang diluluskan Senat.

Hanya dua penggubal undang-undang daripada parti Encik Trump yang menolak rang undang-undang tersebut iaitu Encik Thomas Massie dan Encik Brian Fitzpatrick.

Selepas Encik Johnson mengumumkan rang undang-undang itu telah diluluskan, berpuluh-puluh Anggota Parlimen Republikan berkumpul sambil melaungkan, “Amerika! Amerika!”

Rang itu agak lewat diluluskan pada 3 Julai disebabkan ucapan panjang lebar oleh Ketua Minoriti Dewan Demokrat, Encik Hakeem Jeffries.

Ucapan yang merupakan amalan membenarkan pemimpin parti bercakap selama yang mereka suka, berlangsung selama lapan jam dan 45 minit.

Encik Jeffries berkata beliau mengambil masa yang panjang itu bagi pihak rakyat Amerika dan bertujuan mengecam kesan rang undang-undang itu terhadap rakyat Amerika yang miskin. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg