Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perbelanjaan disokong Trump gagal di Dewan Perwakilan

Dec 20, 2024 | 12:31 PM
Encik Donald Trump.
Encik Donald Trump. - Foto AFP

WASHINGTON: Satu rang undang-undang perbelanjaan yang disokong bakal presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, gagal diluluskan di Dewan Perwakilan pada 19 Disember.

Ini setelah puluhan ahli Republikan tidak mengendahkan gesaan bakal presiden itu, menyebabkan Kongres tidak mempunyai rancangan jelas untuk mengelak penutupan pemerintah yang semakin hampir.

Ini sekali gus boleh mengganggu perjalanan sempena Krismas.

Undian itu mendedahkan perpecahan dalam kalangan Parti Republikan Encik Trump yang boleh timbul semula pada 2025 apabila parti itu mengawal Rumah Putih dan kedua-dua dewan Kongres.

Encik Trump telah mendesak penggubal undang-undang agar membuat keputusan sebelum beliau memegang jawatan presiden pada 20 Januari.

Namun, ahli sayap kanan parti itu enggan menyokong pakej yang akan meningkatkan perbelanjaan dan membuka jalan untuk menambah beberapa trilion lagi kepada hutang Amerika yang kini berjumlah AS$36 trilion ($49.02 trilion).

“Saya benar-benar muak dengan parti yang berkempen mengenai tanggungjawab fiskal, namun mempunyai keberanian untuk berkata kepada rakyat Amerika bahawa ini adalah fiskal yang bertanggungjawab,” kata ahli Republikan, Encik Chip Roy, salah seorang daripada 38 Republikan yang mengundi menentang rang tersebut.

Pakej itu gagal dengan undian 174-235, hanya beberapa jam selepas ia secara tergesa-gesa dihasilkan pemimpin Republikan yang berusaha memenuhi tuntutan Encik Trump.

Perjanjian sebelum ini telah dibatalkan selepas Encik Trump dan individu terkaya dunia yang juga penyokong kuatnya, Encik Elon Musk, menentangnya pada 18 Disember.

Speaker Dewan Rakyat yang juga ahli Republikan, Encik Mike Johnson, tidak memberikan butiran apabila wartawan bertanya kepadanya tentang langkah seterusnya selepas undian gagal.

Pembiayaan pemerintah Amerika akan tamat pada tengah malam 20 Disember.

Jika penggubal undang-undang gagal memenuhi tarikh akhir itu, pemerintah Amerika akan memulakan penutupan sebahagian perkhidmatan pemerintah yang akan mengganggu pembiayaan untuk segala-galanya daripada penguatkuasaan sempadan kepada penguatkuasaan undang-undang pada hari-hari menjelang Krismas dan memotong gaji lebih dua juta pekerja persekutuan.

Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan Amerika memberi amaran bahawa pelancong boleh menghadapi barisan panjang di lapangan terbang.

Rang undang-undang yang gagal pada 19 Disember itu sebahagian besarnya menyerupai versi terdahulu yang didakwa Encik Musk dan Encik Trump sebagai pemberian membazir kepada Demokrat.

Ini akan melanjutkan pembiayaan pemerintah hingga Mac, apabila Encik Trump akan berada di Rumah Putih dan Republikan akan mengawal kedua-dua dewan Kongres, dan menyediakan bantuan bencana AS$100 bilion serta menggantung hutang negara.

Atas desakan Encik Trump, versi baru itu juga akan menggantung batas hutang negara selama dua tahun – satu langkah yang akan memudahkan Encik Trump melaksanakan pemotongan cukai besar yang dijanjikannya semasa kempen Pilihan Raya Presiden. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg