Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Kongres sah Biden menang, selepas penyokong Trump serbu Bangunan Capitol

Empat maut, puluhan lain cedera dan 52 diberkas
Jan 08, 2021 | 05:30 AM



WASHINGTON DC: Beberapa jam selepas ratusan penyokong Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyerbu masuk ke Bangunan Capitol dan menggugat demokrasi yang didukung negara itu, Kongres secara rasminya semalam mengesahkan kemenangan pemimpin Parti Demokrat, Encik Joe Biden, dalam pilihan raya 3 November lalu.



Ini setelah Naib Presiden, Encik Mike Pence, mengesahkan hasil keputusan jumlah undian Badan Perwakilan Pemilih bagi negeri-negeri - Encik Biden meraih 306 undi berbanding 232 oleh Encik Trump.



Pengumuman pada 3.39 pagi (4.39 petang Singapura) semalam bererti, Encik Biden mendapat mandat untuk mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika ke-46 pada 20 Januari ini.



Presiden Trump telah memberi komitmen bagi "peralihan yang teratur".



"Walaupun saya benar-benar tidak setuju dengan keputusan pilihan raya, dan faktanya menyatakan sedemikian, namun begitu, akan ada peralihan yang teratur pada 20 Januari ini," kata Encik Trump dalam kenyataan yang dimuat naik ke Twitter oleh jurucakap Rumah Putih, Encik Dan Scavino.



Dunia menyaksikan huru-hara yang tercetus di ibu kota Amerika itu apabila ribuan penyokong Encik Trump merusuh dan menyerbu masuk Bangunan Capitol semasa Kongres bersidang untuk mengesahkan kemenangan Encik Biden.



Demokrasi yang menjadi tunjang serta teras pentadbiran negara adikuasa dunia itu ranap akibat tragedi yang mengorbankan empat orang, puluhan lain cedera dan 52 diberkas.



Encik Biden mengecam rusuhan itu, menganggap perbuatan itu sebagai "pemberontakan".



"Menyerbu Capitol, merosakkan tingkap, menceroboh pejabat dan dewan Senat Amerika... mengancam keselamatan pegawai yang terpilih? Ini bukan demonstrasi, ini adalah pemberontakan," kata pemimpin Demokrat itu di Wilmington, kelmarin.



Ratusan perusuh merempuh Bangunan Capitol sekitar 2 petang kelmarin - 3 pagi waktu Singapura, semalam - setelah Parti Demokrat memenangi dua kerusi Senat di Georgia untuk menguasai semula Kongres.



Keadaan sangat kalut dengan pegawai keselamatan di dalam Dewan mengacu pistol ke arah tingkap sedang samseng cuba menyerbu masuk, sedang ahli dewan memakai topeng gas dan diiringi pengawal bergegas menyelamatkan diri dalam ketakutan.



Polis melepaskan gas pemedih mata kepada penunjuk perasaan yang mula bertindak ganas ketika mempertahankan kemenangan Encik Trump, suatu peristiwa yang luar biasa dan jarang berlaku sejak lebih dua dekad.



"Presiden Amerika Syarikat (Trump) menghasut penunjuk perasan untuk merampas kuasa. Kami tidak akan takut. Kami tidak akan dapat dihalang," kata anggota Demokrat, Cik Karen Bass.



Senator Chuck Schumer menyatakan, "Parti Republikan nampaknya bergantung kepada kepercayaan sokongan rampasan kuasa kudeta."



Empat mantan presiden Amerika, Encik Barack Obama, Encik George W. Bush, Encik Bill Clinton and Encik Jimmy Carter serta pemimpin dunia menyuarakan kemarahan dan mengutuk serangan rusuhan yang tercetus di Washington itu.



"Sejarah akan ingat keganasan hari ini di Capitol, diapi-apikan oleh presiden yang masih memegang jawatan yang terus berbohong tentang hasil keputusan pilihan raya yang sah, sebagai detik paling mengaibkan dan memalukan bagi negara kita," kata Encik Obama.



"Amerika berpegang kepada prinsip demokrasi di seluruh dunia, justeru amat penting untuk mewujudkan keamanan dan peralihan kuasa secara tersusun," kata Perdana Menteri Britain, Encik Boris Johnson pula.



Sementara itu, tiga penyedia khidmat sosial media utama - Twitter, Facebook dan Instagram - telah menggantung akaun Encik Trump antara 12 sehingga 24 jam, selain memadamkan kenyataan dan video beliau yang mengandungi kenyataan palsu.



Semasa kekacauan memuncak, Encik Trump telah menggunakan akaun Twitter meminta penyokongnya untuk berdamai dan Datuk Bandar Washington, Encik Muriel Bowser, mengumumkan perintah berkurung bermula 6 petang di bandar raya itu.



Sebelum itu, Presiden ke-45 Amerika itu menggesa penunjuk perasaan berdekatan Rumah Putih menuju ke Capitol - menggambarkan pemilihan Amerika kurang jujur berbanding pilihan raya di negara Dunia Ketiga.



"Kami tidak akan pernah berputus asa. Kami tidak akan mengalah," kata Encik Trump kepada penyokongnya yang bersorak dan ramai dilihat tidak berpelitup ketika kes Covid-19 melonjak di negara itu.



Beliau malah memberi tekanan kepada Encik Pence, yang mempengerusikan sesi di Kongres, agar merubah keputusan pilihan raya tetapi tidak dituruti naib presiden itu.




Laporan lanjut: Pemimpin Demokrat, Republikan kutuk keganasan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >