Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Konvoi ketiga salurkan bantuan kemanusian kepada penduduk di Gaza

Oct 23, 2023 | 07:12 PM



RAFAH: Konvoi ketiga bantuan kemanusiaan yang terdiri daripada 40 lori memasuki Jaluran Gaza melalui lintasan sempadan Rafah Mesir pada Isnin, kata seorang saksi kepada pemberita.


Konvoi itu dipecahkan kepada dua kelompok kira-kira 20 lori setiap satu.

Satu kumpulan masuk lewat malam Ahad dan satu lagi masuk awal pagi Isnin, kata seorang pegawai keselamatan Mesir yang mengesahkan hal itu.

Konvoi awal 17 lori, yang masuk pada Ahad, adalah penghantaran bantuan keseluruhan kedua untuk memasuki kawasan yang dibom sejak tentera Israel menyekat kemasukan bekalan makanan, air dan perubatan pada 7 Oktober.

Ia diterima oleh Bulan Sabit Merah Palestin di Gaza lewat malam Ahad, kata organisasi itu dalam satu kenyataan.

Kumpulan pertama bantuan, yang dipersetujui melalui perjanjian yang diuruskan dengan Israel oleh presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, yang melawat Tel Aviv minggu lalu, dibenarkan melalui Rafah pada Sabtu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata bahawa penghantaran 20 trak bantuan kemanusiaan itu tidak akan mencukupi untuk memenuhi keperluan 2.4 juta penduduk Gaza.

Dalam satu kenyataan, Rumah Putih berkata bahawa Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah bersetuju untuk membenarkan “aliran berterusan” bantuan ke Gaza berikutan panggilan antara kedua-dua pemimpin pada Ahad malam.

Tentera Israel, telah menyekat bekalan bahan api, makanan, perubatan, air dan elektrik ke Gaza selepas Hamas melancarkan serangan mengejut di selatan Israel pada 7 Oktober. Lebih 1,400 orang terbunuh.

Israel bertindak balas dengan pengeboman udara ke atas Jaluran Gaza, yang diperintah oleh Hamas.

Israel berkata ia mahu memusnahkan kumpulan militan itu.

Tindakan tentera Israel telah membunuh hampir 3,800 orang di Gaza.

Dalam pada itu, Israel terus mengebom Gaza dengan serangan udara awal Isnin dan pesawatnya melakukan serangan di selatan Lebanon semalaman, ketika Encik Netanyahu mengadakan mesyuarat dengan jeneral tertingginya dan Kabinet perangnya untuk menilai konflik yang semakin meruncing.

Serangan Israel tertumpu di tengah-tengah Semenanjung Gaza dan utara, lapor media Palestin.

PBB berkata kekurangan bahan tenaga yang berlanjutan boleh menyebabkan bencana bagi hospital Gaza.

Tenaga diperlukan untuk mengendalikan alat penafasan, inkubator dan peralatan perubatan lain.

PBB menganggarkan Gaza memerlukan kira-kira 100 muatan lori sehari untuk memenuhi keperluan 2.4 juta penduduknya, hampir separuh daripadanya dipercayai telah kehilangan tempat tinggal akibat serangan udara Israel.

Hospital adalah keutamaan kerana Kementerian Kesihatan telah memberi amaran bahawa 140 orang – termasuk 130 bayi pramatang dalam inkubator – akan mati apabila simpanan bahan tenaga kehabisan. 

Ketua bantuan PBB, Encik Martin Griffiths, berkata bahawa penghantaran terbaharu itu adalah “satu lagi cahaya kecil harapan untuk berjuta-juta orang yang sangat memerlukan bantuan kemanusiaan. Tetapi mereka memerlukan lebih banyak lagi”. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >