Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Korea S galak kerja, kehidupan seimbang untuk tingkat kadar kelahiran

Nov 25, 2024 | 2:11 PM
Isteri Encik Jang Sang-ho kehilangan pekerjaannya yang dijalankan 10 tahun di firma reka bentuk seni bina selepas mengambil cuti bersalin selama dua tahun.
Isteri Encik Jang Sang-ho kehilangan pekerjaannya yang dijalankan 10 tahun di firma reka bentuk seni bina selepas mengambil cuti bersalin selama dua tahun. - Foto ihsan JANG SANG-HO

SEOUL: Di syarikat jenama K-beauty Ma:nyo, pekerja boleh mengambil cuti untuk menjaga anak mereka, keluar untuk kelas yoga atau latihan tenis – semasa waktu pejabat.

Mereka bebas mengurus jadual kerja mereka asalkan mereka melengkapkan bilangan waktu kerja wajib yang ditetapkan setiap bulan – purata 171 jam atau lapan setengah jam sehari.

“Ini adalah mengenai memberi tumpuan kepada tugas kerja, dan bukannya waktu kerja, jadi saya fikir ia menjadikan syarikat saya lebih cekap dan lebih berkesan,” kata naib presiden kanan Ma:nyo, Encik Choi Jin-ho kepada The Straits Times.

Syarikat itu, yang terkenal dengan produk minyak pembersih terlarisnya, dinamakan sebagai majikan teladan untuk dasar keseimbangan kerja-keluarga oleh pemerintah Korea Selatan pada September.

Menurut hasil tinjauan yang dikeluarkan pada Oktober, seorang daripada empat pekerja di negara itu tidak dapat meninggalkan tempat kerja tepat pada masanya, dengan responden mengaitkan beban kerja berlebihan dan budaya pejabat sebagai sebab utama.

Keseimbangan kerja-kehidupan yang lemah telah disebut sebagai sebab utama kadar kesuburan Korea Selatan – yang mencecah rekod terendah 0.72 kelahiran setiap orang pada 2023 – satu keadaan yang disifatkan oleh ahli politik sebagai satu keadaan darurat nasional.

Menurut Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), pekerja Korea Selatan menghabiskan purata 1,872 jam setiap tahun pada 2023, sedang purata bagi negara-negara OECD ialah 1,742 jam.

Ia menekankan keperluan untuk “mengurangkan waktu bekerja untuk meningkatkan keseimbangan kehidupan kerja dan membantu mengubah arah aliran kesuburan”.

Di samping itu, ia turut mengusulkan agar memperluas cuti ibu bapa kepada semua pekerja, serta menambah kemudahan penjagaan kanak-kanak untuk umum dan di tempat kerja.

Pihak berkuasa Korea Selatan kini menyasarkan syarikat kecil dan sederhana (SME) bagi menggalak budaya kerja-kehidupan lebih baik dalam usaha meredakan kemerosotan kadar kelahiran.

Mulai Februari 2025, pemerintah akan menawarkan insentif cukai untuk SME yang memenuhi kriteria Kementerian Tenaga Kerja untuk amalan keseimbangan kerja-kehidupan yang boleh dicontohi.

Ketika mengumumkan langkah itu pada akhir September, Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, berkata majikan dan budaya tempat kerja memainkan peranan penting dalam menggalak kadar kelahiran lebih tinggi.

Beliau menambah bahawa syarikat juga akan meraih manfaat kerana “menyokong keseimbangan kerja-kehidupan bukan sekadar peningkatan dalam kos, malah pelaburan yang meningkatkan daya saing korporat dan membawa kepada pertumbuhan lebih besar”.

Selain mewujudkan kementerian baru menjelang 2025 untuk menyelia isu kadar kelahiran rendah, pihak berkuasa Korea Selatan juga melancarkan lebih banyak langkah untuk memberi insentif kepada pekerja supaya mempunyai anak.

Ini termasuk menggandakan cuti bapa dari 10 hari ke 20 hari untuk anak yang baru lahir.

Faedah cuti ibu bapa juga akan dinaikkan kepada 2.5 juta won ($2,400) sebulan daripada 1.5 juta won sekarang untuk tiga bulan pertama selepas kelahiran anak.

Ibu yang mempunyai bayi pramatang diberi cuti bersalin selama 100 hari berbanding 90 hari.

Isi rumah yang mempunyai bayi baru lahir akan diberi keutamaan dalam peruntukan perumahan dan pinjaman faedah rendah untuk pembelian rumah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg