HONG KONG: Kadar kesuburan di China dianggarkan turun ke paras terendah 1.09 pada 2022, menurut akhbar harian National Business Daily pada Selasa – angka yang mungkin membimbangkan pihak berkuasa ketika mereka cuba meningkatkan jumlah kelahiran baru yang semakin berkurang di negara itu.
Akhbar harian yang disokong pemerintah itu berkata, angka daripada Pusat Penyelidikan Penduduk dan Pembangunan China meletakkannya sebagai mempunyai tahap kesuburan paling rendah dalam kalangan negara yang mempunyai jumlah penduduk lebih 100 juta.
Kadar kesuburan China sudah pun antara yang terendah di dunia, bersama Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura.
Bimbang akan kemerosotan penduduk China buat pertama kali dalam enam dekad, dan populasinya yang semakin menua, Beijing segera mencuba pelbagai langkah untuk meningkatkan kadar kelahiran, termasuk insentif kewangan dan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang lebih baik.
Presiden Xi Jinping pada Mei mempengerusikan mesyuarat untuk meneliti perkara itu.
China berkata ia akan memberi tumpuan kepada pendidikan, sains dan teknologi untuk meningkatkan kualiti penduduk dan berusaha untuk mengekalkan tahap “kesuburan sederhana” untuk menyokong pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.
Kos penjagaan kanak-kanak yang tinggi dan terpaksa berhenti kerja telah menyebabkan ramai wanita tidak mempunyai ramai anak atau tidak mempunyai anak sama sekali.
Diskriminasi jantina dan stereotaip tradisional wanita yang menjaga anak mereka masih berleluasa di seluruh China.
Pihak berkuasa dalam beberapa bulan kebelakangan ini telah meningkatkan retorik mengenai perkongsian kewajipan membesarkan anak, tetapi cuti paterniti masih terhad di kebanyakan wilayah.
Persatuan Perancang Keluarga Hong Kong berkata dalam kenyataan berasingan pada Selasa bahawa bilangan wanita tanpa anak di wilayah pentadbiran khas China meningkat lebih dua kali ganda daripada lima tahun lalu kepada 43.2 peratus pada 2022.
Peratusan pasangan yang mempunyai satu atau dua anak juga berkurang, manakala purata bilangan anak bagi setiap wanita turun daripada 1.3 pada 2017 kepada rekod rendah 0.9 pada 2022, menurut tinjauannya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg