SEOUL: Korea Selatan dan Indonesia bersetuju memperluas kerjasama dalam pensijilan halal bagi memudahkan produk makanan dan kosmetik Korea memasuki pasaran Indonesia, menjelang pelaksanaan peraturan halal lebih luas di negara majoriti Muslim itu mulai 18 Oktober.

Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubat-Ubatan Korea Selatan (MFDS) dan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia menandatangani memorandum persefahaman (MOU) pada 18 September, di luar Sidang Puncak Halal 20 (H20) kelima di Depok.

Perjanjian itu bertujuan memperkukuh kerjasama antara kededua negara dalam proses pensijilan halal, termasuk perkongsian maklumat teknikal, pembangunan tenaga kerja dan penyelarasan sistem berkaitan.

Langkah tersebut penting bagi syarikat Korea Selatan kerana Indonesia akan memperluas kewajipan pensijilan halal kepada lebih banyak kategori produk mulai 18 Oktober, termasuk makanan dan minuman, kosmetik, suplemen kesihatan, produk kimia serta beberapa barangan kegunaan harian.

Produk luar negara yang termasuk dalam kategori berkenaan juga tertakluk kepada peraturan tersebut.

Sijil halal merupakan pengesahan rasmi bahawa produk, bahan yang digunakan dan proses pengeluarannya memenuhi piawaian halal yang ditetapkan.

Bagi produk yang dikategorikan halal, pematuhan bukan hanya melibatkan kandungan produk, malah boleh merangkumi aspek pengeluaran dan rantaian bekalan bagi memastikan integriti halal dikekalkan sehingga produk sampai kepada pengguna.

Indonesia mempunyai sekitar 280 juta penduduk, dengan kira-kira 87 peratus beragama Islam, sekali gus menjadikannya antara pasaran halal terbesar dunia.

Pasaran itu semakin penting kepada Korea Selatan berikutan peningkatan populariti budaya Korea yang turut mendorong permintaan terhadap K-Food (K-makanan) dan K-Beauty (K-kecantikan) di Asia Tenggara.

Makanan Korea seperti mi segera atau ramyeon, sos pedas, makanan ringan dan makanan diproses semakin mudah ditemui di Indonesia, manakala produk penjagaan kulit dan kosmetik Korea turut mempunyai pasaran yang berkembang.

Menteri Keselamatan Makanan dan Ubat-Ubatan Korea Selatan, Cik Oh Yu-kyoung, menyifatkan Indonesia sebagai pasaran halal utama yang mempunyai potensi besar untuk meningkatkan eksport K-makanan dan K-kecantikan.

Kerjasama terbaru itu juga dijangka membantu pengeluar Korea memahami dan memenuhi proses pensijilan Indonesia yang lebih menyeluruh.

Seoul antara lain berusaha mendapatkan pengiktirafan Indonesia terhadap badan pensijilan halal Korea.

Pengiktirafan sedemikian penting kerana sistem Indonesia membenarkan sijil daripada badan halal luar negara diterima menerusi kerjasama saling pengiktirafan dengan BPJPH, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Ini bermakna syarikat Korea berpotensi mendapatkan pensijilan yang diiktiraf Indonesia sebelum produk mereka dieksport, sekali gus memudahkan proses memasuki pasaran negara itu.

Perjanjian terbaru itu menyusuli usaha Seoul dan Jakarta memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.

Menurut kementerian Korea Selatan, kedua-dua negara sebelum ini bersetuju meningkatkan kerjasama mereka kepada hubungan strategik komprehensif khas semasa lawatan rasmi Presiden Korea Selatan, Encik Lee Jae Myung, ke Indonesia pada Mac.

Bagi Seoul, keperluan halal Indonesia bukan sekadar isu pematuhan peraturan tetapi semakin menjadi pertimbangan penting dalam strategi eksportnya.

Eksport makanan Korea Selatan ke Indonesia dilaporkan mencecah AS$123.3 juta ($158 juta) pada separuh pertama 2026, manakala eksport mi segera meningkat 28.9 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya kepada AS$11.78 juta.

Pertumbuhan itu mencerminkan potensi Indonesia sebagai pasaran penting kepada industri makanan Korea, terutama ketika syarikat negara itu berusaha memperluas jualan di luar pasaran tradisional Asia Timur.

Bagaimanapun, peraturan baru turut membawa cabaran, terutama kepada syarikat kecil dan sederhana.
Proses pensijilan memerlukan syarikat memastikan bukan sahaja ramuan produk memenuhi piawaian yang ditetapkan, malah dokumentasi dan beberapa peringkat rantaian bekalan turut mematuhi peraturan.

Kos dan proses pentadbiran yang terlibat boleh menjadi beban lebih besar kepada pengeksport kecil.

Indonesia menegaskan pelaksanaan kewajipan halal pada Oktober akan diteruskan mengikut jadual dan tiada tempoh peralihan tambahan dirancang.

Produk yang diwajibkan halal tetapi gagal memenuhi peraturan boleh berdepan tindakan pentadbiran termasuk amaran bertulis, denda, penarikan sijil halal dan penarikan produk daripada pasaran.

Produk yang sememangnya mengandungi bahan tidak halal pula boleh terus dipasarkan tertakluk kepada syarat pelabelan sebagai produk tidak halal.

Bagi Korea Selatan, kerjasama dengan Indonesia itu juga boleh menjadi model untuk memperluas akses produk Koreanya ke pasaran halal lain.

Cik Oh berkata Seoul merancang meningkatkan kerjasama antara pemerintah dengan negara Islam utama bagi membantu lebih banyak syarikat Korea mendapatkan pensijilan dan seterusnya menembusi pasaran halal global. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti