Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Korea S lanjutkan pemeriksaan pesawat Boeing 737-800

Jan 3, 2025 | 12:14 PM
Pasukan penyiasat dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat memeriksa lokasi nahas pesawat Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan pada 3 Januari.
Pasukan penyiasat dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat memeriksa lokasi nahas pesawat Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan pada 3 Januari. - Foto AFP

SEOUL: Kementerian Pengangkutan Korea Selatan telah melanjutkan pemeriksaan khas ke atas 101 pesawat Boeing 737-800 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan negara itu sehingga 10 Januari.

Demikian menurut seorang pegawai kementerian pada 3 Disember.

Pemeriksaan yang dilancarkan sejurus selepas nahas 29 Disember itu pada mulanya dijadual selesai pada 3 Disember.

Namun ia dilanjutkan hingga 10 Januari tanpa penjelasan, kata pegawai tersebut kepadaagensi berita, Reuters.

Pemeriksaan melibatkan enjin, rekod penyelenggaraan dan gear pendaratan semua pesawat Boeing 737-800 di Korea Selatan.

“Kami tidak akan teragak-agak menggantung operasi mana-mana syarikat penerbangan jika didapati ada pelanggaran serius,” tegas seorang pegawai kementerian.

Kementerian turut mengadakan mesyuarat kecemasan dengan ketua eksekutif 11 syarikat penerbangan termasuk Korean Air Lines dan Asiana Airlines, bagi membincangkan langkah meningkatkan keselamatan penerbangan.

“Keselamatan penerbangan adalah keutamaan kami dan kami akan memperketat langkah keselamatan bagi mencegah kejadian seperti ini daripada berulang,” kata seorang eksekutif syarikat penerbangan yang hadir.

Pasukan penyiasat Korea Selatan mengumumkan bahawa dua anggotanya akan berangkat ke Amerika Syarikat untuk menganalisis perakam data penerbangan dengan kerjasama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat (NTSB).

Mereka juga sedang mengkaji serpihan pesawat dan menyoal pegawai menara kawalan lapangan terbang.

Selain itu, pasukan penyiasat turut menganalisis data daripada 107 telefon bimbit yang ditemui di lokasi nahas, termasuk mesej teks, untuk mencari petunjuk tentang apa yang berlaku sebelum tragedi itu, lapor agensi berita, Yonhap.

Pemangku Presiden Korea Selatan, Encik Choi Sang-mok, menggesa penyiasat agar segera mengumpul bukti dari lokasi kejadian dan menganalisis perakam suara kokpit.

“Kita perlu memahami sepenuhnya apa yang berlaku untuk mengelakkan kejadian seperti ini daripada berulang,” kata beliau.

Pemeriksaan itu susulan nahas pesawat Jeju Air pada 29 Disember, yang meragut 179 nyawa, menjadikannya bencana penerbangan paling buruk di Korea Selatan.

Pesawat Jeju Air yang terbang dari Bangkok ke daerah Muan, di barat daya Korea Selatan, mendarat dengan perut pesawat, tergelincir dari landasan lapangan terbang dan meletup selepas melanggar pengadang konkrit.

Antara persoalan utama yang belum terjawab adalah mengapa gear pendaratan pesawat tidak dikeluarkan dan apakah yang mendorong juruterbang tergesa-gesa mencuba pendaratan kali kedua selepas melaporkan terkena serangan burung dan mengisytiharkan kecemasan.

Pada 2 Disember polis telah menyerbu pejabat Jeju Air dan pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Muan.

Ketua Pegawai Eksekutif Jeju Air, Encik Kim E-bae, dan seorang pegawai lain turut dilarang meninggalkan negara itu sementara siasatan dijalankan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg