SEOUL: Polis Korea Selatan menyerbu Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di barat daya negara itu pada 2 Januari sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas nahas udara membabitkan pesawat Jeju Air 7C2216 yang berlaku pada 29 Disember, lapor agensi berita, Yonhap.
Pemangku Presiden Korea Selatan, Encik Choi Sang-mok, mengarahkan tindakan segera diambil sekiranya pemeriksaan khas terhadap semua pesawat Boeing 737-800 yang beroperasi di negara itu menemui sebarang isu.
“Dengan kebimbangan besar daripada orang awam terhadap model pesawat ini, Kementerian Pengangkutan dan organisasi berkaitan mesti menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap penyelenggaraan, pendidikan dan latihan operasi,” kata Encik Choi dalam mesyuarat pengurusan bencana.
Rakaman suara kokpit pesawat malang itu dijangka siap ditukar kepada fail audio pada 3 Januari, yang mungkin memberikan maklumat penting mengenai detik-detik terakhir penerbangan tersebut.
Tragedi itu mengorbankan 175 penumpang serta empat daripada enam anak kapal, manakala dua anak kapal yang berada berhampiran bahagian ekor pesawat Boeing 737-800 itu terselamat.
Pesawat tersebut terhempas ketika mendarat dengan bahagian perutnya di landasan sebelum melanggar tebing tanah dan konkrit, menyebabkan ia terbakar.
Pakar keselamatan udara mempersoalkan kedudukan tebing tanah dan konkrit pengadang di penghujung landasan yang direka untuk menyokong peralatan navigasi.
Pakar percaya struktur itu mungkin dibina terlalu dekat dengan landasan, menjadi faktor nahas tersebut.
Kotak hitam pesawat yang mengalami kerosakan sedang dibawa ke Amerika Syarikat untuk dianalisis dengan kerjasama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).
Pasukan penyiasat dari NTSB, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika dan Boeing turut berada di Korea Selatan bagi membantu siasatan.
Encik Choi juga menekankan perlunya memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga mangsa.
“Segala usaha harus diberikan untuk membantu keluarga menerima jenazah mangsa dengan penuh penghormatan,” tambah beliau.
Beliau turut mengarahkan polis agar mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang menyebarkan mesej berniat jahat atau berita palsu di media sosial berkaitan nahas tersebut.
Pada awalnya, terdapat pihak yang mengandaikan kemalangan pesawat berkenaan berlaku berpunca pelanggaran dengan burung.
Siasatan lanjut kini giat dijalankan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.
Terdapat juga persoalan mengenai kemungkinan kegagalan mekanikal apabila media tempatan melaporkan gear pendaratan dikeluarkan dengan betul pada percubaan pendaratan pertama pesawat malang itu sebelum gagal pada percubaan kedua. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg