SEOUL: Polis Korea Selatan akan melaksanakan tahap amaran keselamatan tertinggi di seluruh negara pada hari Mahkamah Perlembagaan mengumumkan keputusan pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol, menurut Penguasa Agensi Polis Kebangsaan (NPA), Lee Ho-young, dalam sidang taklimat keselamatan pada 14 Mac.
“Kami akan mengaktifkan sistem tindak balas menyeluruh untuk mengurangkan kekacauan awam sebelum dan selepas keputusan diumumkan,” tegas Encik Lee, sambil menambah bahawa semua kekuatan polis akan dikerah tanpa pengecualian, dan semua cuti anggota polis ditangguhkan serta-merta.
Di bawah protokol keselamatan tertinggi ini, 100 peratus anggota polis perlu berada dalam tugas, manakala tahap amaran kedua tertinggi telah diaktifkan di Seoul dan diperluas kepada arahan kecemasan kebangsaan. Semua ketua jabatan polis diarahkan bersiap siaga untuk mengawal situasi di kawasan masing-masing.
Seramai 20,000 anggota polis anti rusuhan daripada 337 unit taktikal akan dikerahkan ke seluruh negara. Kawasan sekitar Mahkamah Perlembagaan akan diperkuat dengan pagar keselamatan dan kehadiran polis yang lebih ramai, termasuk detektif berpakaian preman dan unit khas polis.
Langkah keselamatan khas turut dilaksanakan untuk melindungi hakim, kakitangan mahkamah, serta institusi penting negara, termasuk Bangunan Parlimen, agensi penyiasatan, ibu pejabat media utama dan pejabat parti pemerintah Parti Kuasa Rakyat (PPP) serta parti pembangkang, Parti Demokratik Korea.
Di lokasi-lokasi ini, polis anti rusuhan akan ditempatkan bagi mengelakkan pertembungan ganas antara penyokong dan penentang keputusan mahkamah.
Pihak berkuasa juga menggantung semua transaksi senjata api persendirian dan mengambil alih kawalan terhadap lebih 86,000 pucuk senjata berdaftar mulai tengah malam sehari sebelum keputusan diumumkan, sehingga tiga hari selepasnya.
Untuk memastikan keselamatan awam, polis akan bekerjasama dengan pemerintah tempatan dan jabatan bomba, termasuk penempatan strategik ambulans dan perkhidmatan kecemasan.
Mereka juga sedang mempertimbangkan operasi tanpa henti bagi perkhidmatan kereta api bawah tanah di kawasan berisiko tinggi.
Encik Lee menegaskan bahawa polis akan mengamalkan pendekatan tanpa kompromi terhadap sebarang bentuk keganasan, termasuk merosakkan harta awam, menyerang pihak berkuasa, atau cubaan mencetuskan kekacauan awam.
“Kami akan bertindak tegas terhadap sebarang tindakan melanggar undang-undang, seperti yang berlaku baru-baru ini di Mahkamah Daerah Barat Seoul,” kata Encik Lee.
“Kami sedang bersiap menghadapi kemungkinan terburuk demi memastikan tindak balas yang menyeluruh. Kami mohon kerjasama orang awam untuk mengekalkan ketenteraman dan keselamatan negara,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg