Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tunjuk perasaan libat Presiden Yoon cetus ketegangan di universiti Korea

Feb 24, 2025 | 4:14 PM
Dua kumpulan penunjuk perasaan turut serta dalam perhimpunan yang menyokong dan menentang usaha melibatkan pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol, di Universiti Nasional Seoul di Seoul, Korea Selatan, pada 17 Februari.
Dua kumpulan penunjuk perasaan turut serta dalam perhimpunan yang menyokong dan menentang usaha melibatkan pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol, di Universiti Nasional Seoul di Seoul, Korea Selatan, pada 17 Februari. - Foto EPA-EFE

SEOUL: Gelombang propemecatan dan antipemecatan melibatkan Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, kini semakin merebak ke kampus-kampus universiti, mencetuskan perpecahan dalam kalangan pelajar dan menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan di dalam kawasan akademik.

Pada 21 Februari, di Universiti Korea, salah sebuah dari tiga institusi pengajian tinggi terkemuka di negara tersebut mengadakan tunjuk perasaan serentak yang menyokong dan menentang proses pemecatan Presiden Yoon.

Encik Yoon mencipta sejarah sebagai ketua negara pertama dibicarakan dalam kes jenayah ketika masih berkhidmat, berhubung percubaannya untuk menguatkuasakan undang-undang tentera.

Pemimpin Korea berusia 64 tahun itu dipenjarakan sejak Januari selepas ditahan atas tuduhan pemberontakan yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati.

Perhimpunan itu menarik bukan sahaja mahasiswa malah turut dihadiri oleh pihak luar seperti anggota YouTube, organisasi politik dan ahli kumpulan sayap kanan yang radikal.

Asakan fizikal dan serangan lisan berlaku di antara penyokong dengan penentang pemecatan sehingga menyebabkan ambulans dikerahkan ke tempat kejadian.

Menurut anggaran tidak rasmi polis, perhimpunan propemecatan di Universiti Korea melibatkan kira-kira 165 peserta, namun hanya sekitar 20 daripada mereka adalah pelajar.

Lebih daripada 130 penyokong datang dari luar kampus dan 15 adalah anggota YouTube.

Sementara itu, demonstrasi antipemecatan di kampus yang sama mencatat kehadiran seramai 340 orang, dengan hanya 20 pelajar terlibat.

Yang lain merupakan pempengaruh YouTube dan penyokong tegar Encik Yoon yang mempamerkan bendera Korea Selatan sebagai simbol bantahan konservatif.

Suasana tegang itu meniru kejadian sebelum ini di Universiti Nasional Seoul dan Universiti Yonsei apabila perbalahan lisan berubah menjadi pergaduhan fizikal yang semakin meruncingkan isu keselamatan kampus.

Dalam menghadapi situasi itu, pihak Universiti Nasional Seoul menyatakan agar mereka mempertimbangkan untuk menghubungi polis jika demonstrasi pada masa hadapan bertambah meruncing.

Seorang pegawai dari universiti itu berkata: “Secara tradisinya, polis menghormati autonomi universiti dan tidak campur tangan dalam urusan kampus.

“Namun, berdasarkan keadaan terkini, kami bersedia meminta kerjasama polis bagi memastikan keselamatan terjamin.”

Keprihatinan terhadap keselamatan kampus semakin meningkat apabila semakin ramai pihak luar, yang bukan pelajar, turut menyertai perhimpunan.

Komuniti pelajar di institusi seperti Universiti Hanyang, Universiti Wanita Ewha, Universiti Sogang, Universiti Konkuk dan Pengajian Luar Universiti Hankuk memantau dengan teliti kemungkinan perhimpunan serupa berlaku di kampus masing-masing.

Mereka mendesak pihak pengurusan universiti agar mengambil langkah tegas bagi mengelakkan gangguan luar yang boleh mengganggu suasana pembelajaran.

Apabila semester musim bunga semakin hampir, pelajar menyeru agar langkah keselamatan yang lebih ketat diperkenal bagi mengelakkan gangguan dan memastikan hak kebebasan bersuara tidak disalahgunakan.

Universiti kini berdepan dengan cabaran besar mengimbangi antara menjaga kebebasan bersuara dengan memastikan keselamatan kampus di tengah-tengah suasana politik yang semakin tidak menentu.

“Kita harus pastikan setiap suara didengar, tetapi keselamatan dan keamanan kampus adalah menjadi keutamaan utama,” ujar seorang pegawai keselamatan dari Universiti Nasional Seoul. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg