WASHINGTON: Kos peperangan Amerika Syarikat terhadap Iran melonjak kepada AS$47.1 bilion ($60.25 bilion) setakat 16 Oktober, dengan lebih 60 peratus perbelanjaan digunakan untuk bom, peluru berpandu dan pelbagai jenis senjata, menurut anggaran terbaru Pentagon.

Jumlah itu meningkat lebih 25 peratus berbanding anggaran AS$37.5 bilion yang diumumkan Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, pada Julai lalu, sekali gus menunjukkan beban kewangan peperangan yang bermula pada 28 Februari semakin meningkat.

Menurut data Pentagon yang diperoleh Reuters, tentera Amerika membelanjakan kira-kira AS$29 bilion untuk peluru berpandu, bom dan peluru lain sejak peperangan bermula.

Penggunaan senjata secara besar-besaran itu turut menyebabkan stok beberapa sistem pertahanan penting Amerika semakin berkurangan, termasuk peluru berpandu pemintas Patriot yang digunakan untuk menangkis serangan udara.

Keadaan tersebut memaksa Pentagon mendapatkan bekalan senjata daripada simpanan tentera Amerika di Asia dan Eropah, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesediaan tenteranya menghadapi ancaman keselamatan di wilayah lain.

Anggaran terbaru itu diserahkan kepada Kongres, namun belum diumumkan secara terbuka oleh Pentagon.

Walaupun Presiden Amerika, Encik Donald Trump, buat masa ini menangguhkan penyambungan operasi ketenteraan besar-besaran terhadap Iran, kos peperangan terus meningkat.

Dalam tempoh kira-kira enam minggu sejak anggaran sebelumnya dikemukakan kepada penggubal undang-undang, Pentagon menanggung tambahan perbelanjaan sekitar AS$3.5 bilion.

Selain perbelanjaan peluru berpandu dan bom, Pentagon memperuntukkan AS$6.1 bilion untuk menggantikan puluhan pesawat tempur serta peralatan ketenteraan yang rosak atau musnah sepanjang peperangan.

Antara kerugian itu termasuk pesawat tanpa pemandu atau dron yang ditembak jatuh atau musnah ketika menjalankan operasi.

Tentera Udara Amerika pula membelanjakan AS$7.6 bilion untuk mengendalikan puluhan skuadron pesawat pejuang dan pengebom.

Tentera Laut menanggung kos AS$1.5 bilion bagi mengerahkan lebih 24 kapal perang, termasuk beberapa kapal induk, manakala Tentera Darat membelanjakan AS$2.1 bilion untuk menyokong anggotanya di rantau itu.

Pentagon turut membelanjakan AS$645 juta bagi mengerahkan dan menyokong beberapa ribu anggota pasukan operasi khas.

Komando Pengangkutan Amerika pula menanggung perbelanjaan AS$92.2 juta untuk memindahkan bekalan dan peralatan, sementara Komando Siber membelanjakan AS$14 juta bagi operasi sokongan siber.

Sebanyak AS$24.5 juta lagi digunakan untuk menyediakan rawatan dan sokongan perubatan kepada anggota tentera Amerika.

Menurut Pentagon, seramai 18 anggota tenteranya terbunuh manakala lebih 860 yang lain cedera sepanjang konflik tersebut.

Secara keseluruhan, lebih 50,000 anggota tentera Amerika ditugaskan dalam operasi berkaitan peperangan Iran, menurut Markas Pusat Amerika (Centcom).

Bagaimanapun, pegawai Kongres memberi amaran bahawa anggaran AS$47.1 bilion itu mungkin lebih rendah daripada jumlah sebenar yang perlu ditanggung pemerintah Amerika.

Ini kerana angka tersebut belum mengambil kira tambahan AS$1.5 bilion bagi bahan api dan perbelanjaan lain yang dimohon pentadbiran Trump.

Kos membaiki atau membina semula pangkalan tentera Amerika yang rosak akibat serangan peluru berpandu dan dron Iran juga belum dimasukkan.

Antara kemudahan yang terjejas ialah pangkalan Tentera Laut Amerika di Manama, Bahrain.

Pegawai Kongres berkata kos pembinaan semula kemudahan yang musnah berpotensi mencecah puluhan bilion dolar sekiranya Amerika atau negara tuan rumah memutuskan untuk membaikinya.

Pentagon sebelum ini membayangkan kemungkinan beberapa kemudahan tersebut ditutup atau tidak dibina semula.

Pentadbiran Encik Trump dan Encik Hegseth kini memohon peruntukan kecemasan ketenteraan sehingga AS$70 bilion bagi menampung kos peperangan, membeli senjata baru dan membiayai keperluan anggota tentera.

Peningkatan kos peperangan itu berlaku ketika Encik Trump dan Parti Republikan berdepan tekanan politik menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika pada 3 November.

Pilihan raya tersebut akan menentukan parti yang menguasai Dewan Perwakilan dan Senat bagi tempoh dua tahun akan datang.

Parti Republikan kini memiliki majoriti tipis dalam kedua-dua dewan Kongres.

Peperangan yang berlarutan hampir lapan bulan itu turut menyebabkan kenaikan harga tenaga dunia, sekali gus meningkatkan kos sara hidup rakyat Amerika dan menjejaskan sokongan terhadap pentadbiran Encik Trump.

Encik Trump melancarkan serangan terhadap Iran bersama Israel pada 28 Februari lalu dengan menjangkakan konflik itu akan berakhir dalam tempoh singkat.

Strategi awal Amerika ialah menggunakan peluru berpandu berketepatan tinggi untuk memusnahkan sistem pertahanan Iran sebelum beralih kepada penggunaan bom yang lebih murah.

Namun, gencatan senjata pada April memberi peluang kepada Iran memulihkan kemudahan simpanan senjata bawah tanah serta mengaktifkan semula sebahagian sistem pertahanan, peluru berpandu dan dronnya.

Encik Trump kemudian mengenakan sekatan laut terhadap Iran bagi menyekat pendapatan negara itu daripada eksport minyak.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan menyambung operasi ketenteraan besar-besaran selepas pilihan raya Amerika.

Menurut pegawai Amerika yang enggan dikenali, Pentagon sedang menyediakan rancangan untuk melancarkan semula serangan besar sekiranya menerima arahan berbuat demikian.

Dengan kos peperangan terus meningkat dan kerosakan pangkalan tentera masih belum dinilai sepenuhnya, jumlah perbelanjaan Amerika dijangka terus menjadi perhatian Kongres, khususnya jika konflik dengan Iran berlarutan atau pertempuran besar tercetus semula. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti