WASHINGTON: Perang Amerika Syarikat dengan Iran sudah menelan belanja sekurang-kurangnya AS$33.4 bilion ($42.8 bilion) dan menyebabkan kekurangan beberapa jenis amunisi penting, selain mendedahkan masalah dalam keupayaan negara itu menghasilkan semula senjata dengan cepat.

Perkara itu didedahkan Pemeriksa Jeneral Jabatan Pertahanan Amerika dalam laporan pertama yang memperincikan kos dan kesan perang tersebut terhadap tentera negara itu.

Demikian menurut satu laporan media pada 14 September.

Laporan yang diwajibkan Kongres itu merangkumi tempoh dari bermulanya perang pada 28 Februari hingga 30 Jun.

Daripada jumlah AS$33.4 bilion itu, kira-kira AS$22.3 bilion melibatkan amunisi yang sudah digunakan; AS$3.7 bilion kerugian peralatan; dan AS$7.4 bilion bagi perbelanjaan lain.

Jumlah sebenar dijangka lebih tinggi kerana pengiraan itu belum mengambil kira sepenuhnya kos membaiki kemudahan Amerika yang rosak di Asia Barat; menggantikan pesawat serta menambah semula bekalan senjata penting yang digunakan sepanjang perang.

Laporan itu memberi amaran bahawa penggunaan amunisi dalam ‘Operasi Epic Fury’, telah menyebabkan kekurangan dalam simpanan senjata strategik Amerika dan mendedahkan kelemahan keupayaan industri pertahanan negara itu untuk menghasilkan bekalan gantian dengan cepat.

Pentagon kini berusaha mempercepat proses perolehan dan pengeluaran senjata, selain meningkatkan simpanan bahan mentah, komponen dan beberapa jenis amunisi penting supaya tentera dapat bertindak pantas jika berlaku kecemasan.

Laporan tersebut turut memperincikan kerugian besar terhadap pesawat tentera Amerika.

Sekurang-kurangnya empat jet pejuang F-15E musnah, manakala sebuah F-35A Joint Strike Fighter dan sebuah A-10 Warthog mengalami kerosakan.

Sebanyak 12 pesawat pengisi minyak, KC-135, dan sembilan pesawat lain turut dilaporkan mengalami kerosakan.

Sekurang-kurangnya 30 dron besar, MQ-9 Reaper, juga musnah sepanjang konflik itu.

Serangan Iran turut menyebabkan kerosakan atau kemusnahan terhadap ratusan bangunan dan struktur di pangkalan Amerika di Kuwait, Bahrain, Qatar, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Iraq, Oman dan Jordan.

Laporan itu juga memberikan antara pengesahan rasmi pertama bahawa Iran menyasarkan pusat logistik Tentera Laut Amerika di Bahrain, salah satu kemudahan tentera penting Washington di rantau tersebut, menggunakan dron dan peluru berpandu balistik.

Bagaimanapun, kos membaiki kebanyakan kerosakan itu belum dimasukkan dalam anggaran AS$33.4 bilion.

Masih belum jelas sama ada semua kemudahan yang rosak akan dibina semula atau pihak manakah yang akhirnya akan menanggung kos pembaikannya.

Jabatan Negara Amerika pula mengalami kerugian lebih AS$208 juta akibat kerosakan di Iraq, Kuwait, Arab Saudi dan UAE.

Jumlah itu termasuk AS$184 juta bagi kerosakan kemudahan diplomatik dan kira-kira AS$25 juta akibat kelewatan projek pembinaan.

Perang tersebut juga memberi kesan besar terhadap anggota tentera dan kakitangan diplomatik Amerika di rantau itu.

Lebih 20,000 anggota tentera dan kakitangan diplomatik terpaksa dipindahkan akibat konflik tersebut, tambah laporan berkenaan.

Tentera Amerika turut melakukan sehingga 5,000 penerbangan dari pangkalan di Eropah bagi menyokong operasi di Asia Barat.

Pendedahan mengenai penyusutan bekalan senjata itu bercanggah dengan kenyataan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang berulang kali menolak kebimbangan bahawa perang berpanjangan boleh mengurangkan bekalan amunisi Amerika.

Dalam satu hantaran di Truth Social dua minggu lalu, Encik Trump berkata Amerika mempunyai bekalan amunisi yang “hampir tiada had”.

Pada 14 September, beliau sekali lagi menegaskan industri pertahanan Amerika sedang meningkatkan pengeluaran.

Menurutnya, Amerika kini menghasilkan “lebih banyak senjata canggih dan bermutu tinggi berbanding bila-bila masa dalam sejarah” dan senjata itu dihantar setiap hari kepada tenteranya di Asia Barat serta kawasan lain.

Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, turut menafikan laporan tentera berdepan masalah kekurangan bekalan senjata.

Laporan Pemeriksa Jeneral itu bagaimanapun memberi gambaran berbeza mengenai tekanan yang dihadapi Pentagon selepas beberapa bulan perang.

Selain penyusutan amunisi dan kerosakan besar pada aset tentera serta perisikan, laporan lain turut menunjukkan semangat dalam kalangan sebahagian anggota tentera Amerika yang ditempatkan di Asia Barat semakin merosot.

Perang itu juga mungkin berlarutan lebih lama daripada jangkaan awal.

Encik Trump pada hujung minggu berkata konflik tersebut mungkin tidak akan berakhir sehingga selepas pilihan raya pertengahan penggal Amerika pada November.

Kenyataan itu membuka kemungkinan perang berterusan beberapa bulan lagi, sedangkan beliau pada peringkat awal menjangkakan operasi ketenteraan tersebut hanya akan berlangsung beberapa minggu.

Keadaan itu boleh meningkatkan lagi tekanan terhadap bekalan senjata Amerika, sedang Pentagon berusaha menggantikan amunisi yang sudah digunakan dan pada masa sama memastikan tenteranya mempunyai bekalan mencukupi sekiranya konflik di rantau itu terus berpanjangan. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti