Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kren hempap tren di Thailand, lebih 30 maut, 60 cedera

Siasatan awal dapati jentera itu khusus untuk kerja binaan landasan tren laju di atas laluan rel sedia ada
Jan 14, 2026 | 3:26 PM
Thailand, crane, train
Foto daripada Kereta Api Negara Thailand (SRT) menunjukkan kesan gerabak sebuah kereta api penumpang susulan nahas selepas sebuah kren pembinaan runtuh lalu menghempapnya di daerah Sikhio, wilayah Nakhon Ratchasima, pada 14 Januari 2026. Kereta Api Ekspres Khas No. 21 itu sedang dalam perjalanan dari Bangkok ke Ubon Ratchathani. - Foto EPA

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dan kira-kira 64 lagi cedera apabila sebuah kereta api penumpang tergelincir di timur laut Thailand.

Kejadian itu berlaku selepas sebuah kren pembinaan runtuh lalu menghempap tiga gerabak, kata pihak polis pada 14 Januari.

Tragedi itu berlaku pada waktu pagi di daerah Sikhio, wilayah Nakhon Ratchasima, kira-kira 230 kilometer ke timur laut Bangkok.

Kereta api berkenaan sedang dalam perjalanan dari ibu negara menuju ke wilayah Ubon Ratchathani, apabila sebuah kren besar yang digunakan bagi kerja pemasangan landasan projek kereta api laju runtuh ke atas tren yang sedang bergerak.

Polis tempatan memaklumkan kepada agensi berita, Reuters, bahawa jumlah korban dijangka meningkat kerana masih terdapat mayat yang belum dapat dikeluarkan dari runtuhan itu.

“Sebanyak 19 mayat telah ditemui, namun, masih ada mangsa di dalam gerabak yang belum dapat dikeluarkan kerana kren itu mula berganjak.

“Pasukan penyelamat terpaksa berundur buat sementara waktu atas faktor keselamatan,” kata Ketua Polis Daerah, Kolonel Thatchapon Chinnawong, dalam perbualan telefon, sebelum angka kematian terkini diperolehi.

Menteri Pengangkutan Thailand, Encik Phiphat Ratchakitprakarn, dalam satu kenyataan berkata terdapat 195 penumpang di dalam kereta api berkenaan dan beliau telah mengarahkan satu siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menurut beliau, semua mangsa yang terkorban berada di dalam dua daripada tiga gerabak yang dihempap kren tersebut.

Siasatan awal mendapati kren itu sedang digunakan untuk kerja pembinaan projek landasan kereta api laju yang dibina di atas laluan rel sedia ada.

Ketika ia runtuh, kren tersebut menghempap tren yang sedang bergerak, menyebabkan beberapa gerabak tergelincir dan mencetuskan kebakaran kecil buat seketika.

Imej yang dikongsi oleh kementerian itu menunjukkan beberapa gerabak terbalik di kawasan semak, sementara anggota bomba dilihat berusaha memadamkan kebakaran dengan asap tebal berkepul keluar dari tren tersebut.

Di lokasi kejadian, pasukan penyelamat berdepan keadaan mengerikan apabila mendapati kren keluli bersaiz besar melintang di atas gerabak itu, menyebabkan bumbung tren runtuh.

Hentaman kuat itu turut memecahkan cermin tingkap dan membengkokkan struktur logam tren itu dengan teruk.

Pasukan penyelamat bertungkus lumus menjalankan operasi memotong besi dan mengeluarkan mangsa yang terperangkap sebelum menghantar mereka ke hospital berhampiran.

Pasukan perubatan dan sukarelawan dari seluruh wilayah Nakhon Ratchasima digerakkan untuk menyelaraskan usaha menyelamat itu.

Usaha itu termasuk menggunakan jentera berat bagi mengalihkan runtuhan dan mengeluarkan penumpang yang terperangkap.

Namun, operasi itu berdepan kesukaran besar kerana struktur kren dan badan tren bertindih, sekali gus meningkatkan risiko runtuhan susulan.

Menurut laporan rasmi, pada 9.30 pagi, Kereta Api Ekspres Khas No. 21, sebuah perkhidmatan tren diesel yang berlepas dari Stesen Krung Thep Aphiwat menuju ke Ubon Ratchathani, telah dilanggar apabila kren yang sedang mengangkat segmen konkrit besar bagi sebuah projek rel laju terlepas pegangan dan menjatuhkan beban itu ke atas tren berkenaan.

Kejadian tersebut berlaku di penanda kilometer rel ke-220, di Kampung Ban Thanon Kot (Moo 11), subdaerah Sikhio, daerah Sikhio.

Akibat kejadian, empat gerabak tren diesel itu tergelincir, manakala kebakaran dilaporkan berlaku di salah satu gerabak.

Gerabak pertama dan kedua mengalami kerosakan paling teruk selepas dihentam segmen konkrit besar tersebut.

Gerabak ketiga turut rosak teruk apabila struktur keluli runtuh ke bahagian tengah gerabak dan kebakaran tercetus. Gerabak keempat pula terpisah daripada rangkaian tren itu.

Pelbagai agensi digerakkan untuk membantu operasi menyelamat, termasuk pegawai daerah Sikhio, Kereta Api Negara Thailand, pasukan perubatan dan penyelamat, pihak berkuasa tempatan, Yayasan Penyelamat Phrommatham di Sikhio serta agensi-agensi lain.

Mangsa yang cedera dibawa ke beberapa hospital di sekitar wilayah itu untuk rawatan lanjut.

Projek landasan kereta api laju tersebut merupakan antara beberapa projek rel bertingkat yang sedang dibina di Thailand bagi meningkatkan rangkaian pengangkutan di negara itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg