BANGKOK – Sehingga 25 orang dikhuatiri terkorban apabila sebuah bas, yang membawa 44 guru dan pelajar bagi satu lawatan sekolah, terbakar di Thailand pada 1 Oktober.
Akhbar The Nation memetik pasukan penyelamat sebagai berkata bahawa mereka telah menemui sekurang-kurangnya 10 mayat yang sudah rentung daripada sisa bas itu.
Menteri Pengangkutan, Encik Suriya Jungrungreangkit, berkata jumlah kematian tidak jelas, namun 25 orang tidak dapat dikesan selepas kebakaran itu.
“Laporan awal mengatakan terdapat 44 orang di dalam bas: 38 pelajar dan enam guru. Setakat yang kami tahu, tiga guru dan 16 pelajar dapat keluar,” katanya kepada wartawan.
“(Angka) mereka yang masih hilang, kami masih belum pasti.”
Imej awal yang dimuatnaik di media sosial, dan disiarkan oleh media tempatan, menunjukkan asap tebal berkepul di luar bas, dan sebahagian bas masih dijilat api.
Seorang jurugambar Reuters, menyaksikan jentera bomba, polis dan kenderaan penyelamat di sekeliling kenderaan yang hangus itu, dengan sekumpulan anggota bomba di pintu masuk bas tersebut.
Perdana Menteri, Cik Paetongtarn Shinawatra, berkata para pelajar itu dalam perjalanan bagi satu lawatan sekolah dari wilayah Uthai Thani, kira-kira 250km ke utara ibu negara.
“Sebagai seorang ibu, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga (mangsa),” katanya dalam catatan media sosial di X, tanpa memberikan butiran lanjut.
Para pelajar dan guru itu dari Sekolah Wat Khao Phaya di Uthai Thani. Mereka sedang menuju ke bandar Ayutthaya, 80km ke utara Bangkok, apabila salah satu tayar hadapan bas meletup, menyebabkan bas tersebut berpusing dan melanggar pengadang besi.
Nahas itu mengakibatkan api marak menyala dan menjilat bas tersebut dengan cepat, lapor The Nation.
Bas itu menggunakan gas mampat, dan kemalangan tersebut menyebabkan tangki bahan apinya meletup, kata seorang pekerja penyelamat.
Anggota bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan api.
Thailand mempunyai rekod keselamatan jalan raya antara yang paling teruk di dunia, dengan kenderaan yang tidak selamat dan pemanduan yang kurang baik menyumbang kepada angka kematian tahunan yang tinggi. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg