Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Krisis Dewan AS memburuk apabila calon ketiga gagal jadi Speaker

Kongres terhenti dan tidak dapat menangani pelbagai krisis sejagat, serta ancaman penutupan pentadbiran yang kian hampir, sejak pemecatan Encik Kevin McCarthy dalam pergolakan sayap kanan pada 3 Oktober.
Oct 25, 2023 | 3:04 PM
TIADA SOKONGAN: Encik Tom Emmer memenangi undian dalaman parti Republikan untuk menggantikan Speaker yang tersingkir, Encik Kevin McCarthy, tetapi menarik diri dek bantahan sayap kanan parti yang diketuai mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
TIADA SOKONGAN: Encik Tom Emmer memenangi undian dalaman parti Republikan untuk menggantikan Speaker yang tersingkir, Encik Kevin McCarthy, tetapi menarik diri dek bantahan sayap kanan parti yang diketuai mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Republikan telah mencalonkan Encik Mike Johnson untuk memimpin Dewan Perwakilan Amerika Syarikat sebagai Speaker pada Selasa, walaupun tidak jelas apakah beliau akan mengalami nasib sama – menjadi mangsa perselisihan dalaman parti yang telah melumpuhkan Kongres lebih tiga minggu.

Ini setelah pengawas Dewan bagi Republikan, Encik Tom Emmer, memenangi undian dalaman parti itu awal dari itu untuk menggantikan Speaker yang tersingkir, Encik Kevin McCarthy, tetapi berhenti beberapa jam kemudian dek bantahan sayap kanan parti yang diketuai bekas presiden, Encik Donald Trump.

Peluang Encik Emmer digugat sekumpulan kecil penentang yang menghalang beliau mendapatkan 217 undi yang diperlukan untuk memegang jawatan Speaker.

“Kami tidak mempunyai kapasiti buat masa ini untuk membuat keputusan, dan itu adalah tempat yang sangat menyedihkan,” kata seorang ahli Dewan, Encik Marc Molinaro.

Ia sekali gus menjerumuskan dewan rendah Kongres itu, yang kini lumpuh, ke dalam krisis yang lebih teruk.

Kongres telah terhenti dan tidak dapat menangani pelbagai krisis sejagat serta ancaman penutupan pentadbiran yang semakin hampir, sejak pemecatan bersejarah Encik McCarthy dalam pergolakan sayap kanan.

Encik Johnson, wakil dari Louisiana, anggota Republikan keempat bulan ini yang dinamakan untuk memenangi pencalonan parti itu bagi jawatan Speaker, yang kosong sejak sekumpulan kecil penentang parti menggulingkan Encik McCarthy pada 3 Oktober.

Sebagai tanda perpecahan itu, Encik McCarthy, yang dinamakan buat kali kedua, memperoleh 43 undi walaupun tidak diisytiharkan sebagai calon.

Kekacauan itu menyebabkan penggubal undang-undang tidak dapat melakukan sesuatu bagi menangani isu peperangan di Timur Tengah dan Ukraine, atau mengambil langkah untuk mengelak penutupan sebahagian pentadbiran pemerintah yang akan bermula pada 18 November tanpa tindakan kongres.

Tidak jelas apakah Encik Johnson akan dapat mengatasi perpecahan yang telah menggagalkan tiga calon lain sebelum ini untuk menduduki kerusi Speaker.

Encik Johnson, seorang peguam perlembagaan konservatif, menyifatkan dirinya sebagai pembina jambatan antara pelbagai kumpulan dalam Republikan.

Daerah barat laut Louisiana yang diwakilinya adalah antara yang termiskin di negara itu.

“Beliau mengenali semua orang dengan baik, melakukan kerja hebat dengan membawa orang ramai ke hadapan, bercakap tentang dasar kami, dan itulah yang kami perlukan sekarang,” kata seorang wakil Republikan, Encik Kevin Hern, yang menarik balik percubaannya untuk merebut jawatan itu demi menyokong Encik Johnson.

Encik Johnson menewaskan Encik Byron Donalds, Encik Mark Green, Encik Roger Williams dan Encik Chuck Fleischmann dalam persaingan terkini bagi pencalonan jawatan Speaker Republikan. Secara keseluruhan, 14 wakil Republikan telah mengemukakan nama mereka untuk jawatan Speaker sepanjang Oktober. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg