Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Krisis kemanusiaan di Gaza semakin buruk

Oct 13, 2023 | 12:01 PM
PENGEBOMAN BERTERUSAN: Asap tebal dilihat di Pelabuhan Gaza ekoran serangan udara berterusan Israel pada Khamis yang dikhuatiri bakal menyebabkan krisis kemanusiaan di kawasan itu semakin buruk.
PENGEBOMAN BERTERUSAN: Asap tebal dilihat di Pelabuhan Gaza ekoran serangan udara berterusan Israel pada Khamis yang dikhuatiri bakal menyebabkan krisis kemanusiaan di kawasan itu semakin buruk. - Foto EPA-EFE

GAZA/BAITULMAKDIS: Krisis kemanusiaan di Gaza semakin buruk pada Khamis dengan penduduk berisiko kekurangan makanan dan bahan api mungkin kehabisan dalam beberapa jam ketika Israel meneruskan serangan udara dan menyekat bekalan penting ke wilayah itu sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas.

Israel juga telah mengisytiharkan “pengepungan sepenuhnya” ke atas Gaza ketika jet-jet pejuangnya meneruskan pengeboman sehingga memusnahkan seluruh jalan raya dan mengorbankan lebih 1,500 orang termasuk 500 kanak-kanak di kawasan terpencil dan padat penduduk, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Serangan yang dipertingkatkan Israel di Gaza itu sebagai membalas serangan mengejut oleh Hamas pada 7 Oktober, yang menyaksikan militan bersenjata melimpahi sempadan Israel yang dikawal ketat.

Kumpulan itu membunuh lebih daripada 1,200 orang, mencederakan ribuan lagi dalam serangan yang turut menyebabkan ramai orang awam dan tentera ditawan.

Kira-kira 150 tebusan dipercayai kini ditahan oleh Hamas di Gaza

Dalam sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, di Tel Aviv pada Khamis, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata “Hamas harus dihancurkan”.

Encik Blinken berkata bahawa beliau telah berbincang dengan pegawai Israel mengenai cara untuk menangani keperluan kemanusiaan di Gaza “semasa Israel menjalankan operasi keselamatannya yang sah”.

Lebih daripada 2 juta rakyat Palestin – termasuk lebih sejuta kanak-kanak – tinggal di Semenanjung Gaza, kawasan yang telah berada di bawah sekatan darat, laut dan udara yang dikuatkuasakan oleh Israel sejak 2007.

Kanak-kanak membentuk “antara 30 dengan 40 peratus daripada yang cedera” dalam serangan udara Israel ke atas Gaza, kata pakar bedah Britain-Palestin, Encik Ghassan Abu-Sittah, kepada CNN pada Khamis.

“Ada bahagian badan berselerak di merata tempat. Masih ada orang hilang,” kata seorang lelaki di kejiranan utara Al-Karama.

Beliau menambah: “Kami masih mencari saudara kami, anak-anak kami. Ia seperti kami terperangkap dalam mimpi ngeri.”

Antara yang maut ialah sekurang-kurangnya 12 kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata jurucakapnya pada Khamis.

Menteri Tenaga Israel, Encik Israel Katz, berkata pada Khamis bahawa bekalan elektrik, air dan makanan akan kekal terputus sehingga tebusan yang ditahan oleh Hamas dibebaskan.

“Tiada suis elektrik akan dihidupkan, paip air tidak akan dibuka dan lori minyak tidak akan masuk sehingga mangsa culik Israel pulang ke rumah. Kemanusiaan untuk kemanusiaan. Dan tiada siapa yang akan mengajar kami tentang moral,” kata Encik Katz di media sosial. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg