Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Krisis Sudan tambah parah, jutaan penduduk perlukan bantuan

Nov 3, 2025 | 12:23 PM
Sudan, PBB, UN, krisis, penduduk, Sudan crisis, civil war, perang saudara
Penduduk Sudan yang dipindahkan berkumpul selepas melarikan diri dari bandar Al-Fashir di Darfur, di Tawila, Sudan, 29 Oktober, dalam imej yang diambil daripada rakaman video Reuters. - Foto REUTERS

KHARTOUM (Sudan): Jutaan penduduk Sudan, terutama di bahagian barat yang musnah akibat perang saudara, terus hidup dalam keadaan terdesak apabila pertempuran dan pembunuhan berterusan di bandar El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara.

Walaupun penderitaan orang awam semakin meruncing, dua jeneral utama, Tentera Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) masih menunjukkan tiada keinginan untuk menghentikan pertempuran.

Usaha rundingan gencatan senjata oleh pihak pengantara antarabangsa setakat ini gagal menghasilkan sebarang kemajuan.

Seminggu selepas RSF menawan El-Fasher selepas 18 bulan kepungan dan kempen kebuluran, keadaan di bandar itu digambarkan sebagai “malapetaka sepenuhnya”.

Puluhan ribu penduduk masih terperangkap di dalam bandar yang menjadi kubu terakhir di wilayah Darfur Barat.

Menurut agensi kemanusiaan antarabangsa, ribuan lagi penduduk tidak diketahui nasibnya selepas melarikan diri dari El-Fasher.

Hanya sebahagian kecil daripada mereka yang berjalan kaki sejauh 50 kilometer berjaya tiba di bandar Tawila yang kini menjadi tempat perlindungan sementara.

“Jumlah mereka amat kecil berbanding puluhan ribu yang masih terperangkap di El-Fasher. Kami menerima laporan bahawa ramai terkandas di jalan raya atau di kampung-kampung yang tidak dapat kami capai kerana faktor keselamatan,” kata Cik Caroline Bouvard, Pengarah Negara Sudan bagi organisasi bantuan Perancis, Solidarites International, kepada Al Jazeera.

Cik Bouvard berkata keadaan di El-Fasher kini seperti “lenyap daripada peta” selepas RSF mengambil alih bandar itu.

“Kami langsung tidak mendapat maklumat dari sana. Sumber kami hanya datang dari kawasan sekitarnya, di mana kami percaya kira-kira 15,000 orang masih terperangkap dan amat memerlukan bantuan segera.

“Kami mendesak semua pihak membenarkan konvoi bantuan sampai atau sekurang-kurangnya membawa mangsa keluar ke Tawila,” katanya.

Mereka yang berjaya melepasi sekatan dan kawalan RSF melaporkan insiden pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan, rogol dan penculikan.

Terdapat mangsa yang dipaksa membayar wang tebusan untuk terus hidup.

Sebahagian besar pelarian kini ditempatkan di kem pelarian al-Dabbah di negeri utara Sudan, dengan ribuan lagi masih tiba setiap hari.

Al Jazeera melaporkan bahawa kem tersebut kini sesak dan kekurangan makanan, ubat-ubatan serta air bersih.

“Ramai yang tidur di kawasan terbuka, tanpa tempat berteduh. Setiap hari semakin ramai tiba dari El-Fasher, dan ini hanya memburukkan keadaan,” lapor Al Jazeera.

Menyedari tahap kekejaman yang semakin meningkat, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu dan Mesir, yang bertindak sebagai pengantara, mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk pembunuhan beramai-ramai dan menuntut akses kemanusiaan segera ke kawasan konflik.

“RSF mesti menghentikan tindakan balas dendam dan keganasan etnik. Tragedi seperti yang berlaku di El Geneina tidak boleh berulang,” kata Jabatan Negara Amerika dalam kenyataannya pada 1 November, merujuk kepada pembunuhan beramai-ramai terhadap masyarakat Masalit di Darfur Barat.

Washington turut menegaskan bahawa “tiada penyelesaian ketenteraan yang boleh dicapai di Sudan” dan memberi amaran bahawa bantuan luar yang menyokong mana-mana pihak hanya akan “memanjangkan penderitaan rakyat Sudan”.

Dalam kenyataan di platform X, jabatan itu menyeru kedua-dua pihak agar segera kembali ke meja rundingan.

Di Amerika Syarikat, tekanan politik semakin meningkat agar tindakan tegas diambil terhadap RSF selepas kejatuhan El-Fasher.

Senator Republikan Encik Jim Risch, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Senat, menyeru pentadbiran Amerika untuk secara rasmi mengisytiharkan RSF sebagai “pertubuhan pengganas asing”.

“RSF telah melanggar undang-undang antarabangsa dan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan. Dunia tidak boleh berdiam diri,” katanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan konflik di Sudan sebagai krisis kemanusiaan paling besar di Afrika ketika ini, dengan lebih 10 juta rakyat kehilangan tempat tinggal sejak perang saudara meletus pada April 2023.

Namun, penghantaran bantuan terus terhalang akibat sekatan keselamatan, rampasan bekalan oleh kumpulan bersenjata dan penutupan sempadan di kawasan barat.

“Tanpa akses kemanusiaan yang bebas, Sudan akan terus tenggelam dalam bencana yang lebih parah,” kata seorang pegawai PBB yang enggan dinamakan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg