DARFUR: Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa “kekejaman berskala besar” sedang berlaku di wilayah Kordofan, Sudan, ketika pasukan separa tentera terus mara.
Malah, penduduk di El-Fasher, sebuah bandar utama di wilayah Darfur yang berdekatan, juga sedang mengalami “kekejaman” besar-besaran.
El-Fasher, bandar utama terakhir di Darfur yang jatuh ke tangan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) sudah menjadi tempat penderitaan manusia yang dahsyat, kata ketua agensi kemanusiaan PBB, Encik Tom Fletcher.
Penawanan El-Fasher berlaku selepas lebih 18 bulan pengepungan dan telah mencetuskan kebimbangan tentang kembalinya kekejaman yang disasarkan secara etnik sejak 20 tahun lalu.
Terdapat “laporan yang boleh dipercayai tentang hukuman mati yang meluas selepas kumpulan RSF memasuki bandar itu.
“Keadaan ngeri berterusan. Wanita dan kanak-kanak perempuan dirogol, orang ramai dianiaya dan dibunuh tanpa hukuman,” kata Encik Fletcher.
Beliau memberi amaran bahawa pembunuhan yang berlaku tidak terhad di Darfur bahkan juga di wilayah Kordofan.
“Pertempuran sengit di Kordofan Utara memacu gelombang perpindahan baru dan membahayakan penduduk yang terjejas, termasuk di sekitar ibu negeri, El Obeid,” kata Encik Fletcher kepada Majlis Keselamatan PBB.
Penolong Setiausaha Agung PBB untuk Afrika, Cik Martha Pobee, memberitahu majlis itu bahawa terdapat juga laporan kekejaman berskala besar bermotif etnik yang dilakukan oleh RSF di Bara, di Kordofan Utara, susulan penawanan bandar itu baru-baru ini.
Sekurang-kurangnya 50 orang awam terbunuh dalam beberapa hari kebelakangan ini di Bara dalam pertempuran dan perlaksanaan hukuman mati, termasuk lima sukarelawan Bulan Sabit Merah, tambahnya.
Cik Pobee memberi amaran dengan berkata: “Kemungkinan besar Kordofan merupakan arena tumpuan ketenteraan seterusnya bagi pihak yang berperang.”
“Serangan dron oleh kedua-dua pihak turut menjejas wilayah dan sasaran baru... menunjukkan bahawa skop wilayah konflik semakin meluas.”
Menurut beliau, adalah mustahil untuk menganggarkan bilangan mangsa di El-Fasher, menyalahkan keadaan huru-hara yang sedang berlaku di sana.
Menurut PBB, perang di Sudan telah meragut puluhan ribu nyawa, menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal, dan mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk yang berterusan di dunia.
Ia bermula pada April 2023 di tengah-tengah perebutan kuasa antara dua bekas sekutu – Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, komander tentera; dan ketua pemerintah de facto Sudan sejak rampasan kuasa 2021, dan Jeneral Mohammad Hamdan Daglo, ketua RSF. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg