Seorang kru bot tunda berdaftar asing yang disyaki membantu tiga orang memasuki Singapura secara haram telah didakwa di mahkamah pada 11 November.
Warga Indonesia, Febry Iswanto, 23 tahun, telah didakwa di bawah Akta Imigresen dan dituduh bersubahat dengan ketiga-tiga mereka untuk memasuki negara ini secara haram sekitar 2.30 pagi pada 26 Oktober, lapor The Straits Times (ST).
Butiran mengenai ketiga-tiga mereka tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.
Dalam satu kenyataan, polis berkata pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG) telah menahan lapan kru asing, termasuk Febry, semasa operasi di Terminal Agregat Pulau Punggol pada 9 November.
Lapan orang itu ditangkap di sebuah bot tunda berdaftar asing atas dakwaan terlibat dalam perbuatan bersubahat dengan orang lain untuk memasuki Singapura secara haram.
Siasatan awal menunjukkan Febry dipercayai telah membantu individu-individu berkenaan memasuki negara ini tanpa kebenaran pada 26 Oktober.
Jurucakap polis berkata: “Individu-individu yang masuk tanpa kebenaran itu telah bersembunyi di atas tongkang bot tunda ketika ia sedang ditunda ke Singapura.
“Bot tunda dan tongkang yang berdaftar di luar negara itu telah dirampas sebagai bukti kes.”
Kes Febry ditangguh ke 18 November, dan siasatan terhadap tujuh anak kapal yang lain sedang dijalankan.
Jika disabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun dan dikenakan sekurang-kurangnya tiga sebatan rotan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg