Tiga rakyat Malaysia yang menaiki sampan telah ditangkap oleh Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura kerana memasuki perairan di barat laut negara ini secara haram, kata polis pada 19 April.
Menurut polis, bot ketiga-tiga mereka dilihat oleh pegawai PCG yang meronda pada 18 April kira-kira 2.05 petang berhampiran Pulau Sarimbun, sebuah pulau kecil dalam perairan Singapura.
Apabila pegawai mendekati sampan mereka untuk tujuan pemeriksaan, sampan tersebut terus memecut laju ke arah Malaysia.
Menurut The Straits Times, ketika dikejar oleh pegawai PCG, sampan itu membuat gerakan berbahaya dan bertembung dengan bot polis dua kali sebelum ia dihentikan.
Dua daripada rakyat Malaysia itu terjatuh ke dalam laut, tetapi berjaya menaiki semula sampan mereka semasa kejadian kejar-mengejar yang berlaku sepenuhnya dalam perairan Singapura, kata polis.
Seorang pegawai PCG mengalami kecederaan ringan semasa kejadian tersebut, tambah polis.
Tiga lelaki warga Malaysia itu, masing-masing berusia antara 28 dengan 47 tahun, segera ditahan kerana memasuki perairan Singapura secara haram.
Sampan mereka juga dirampas oleh PCG.
Pengemudi sampan yang berusia 28 tahun itu juga disiasat atas kesalahan tambahan – memandu secara terburu-buru dan gagal mematuhi arahan supaya memberhentikan sampannya.
Pada 24 Disember 2024, dua kapal nelayan Indonesia telah dipintas dalam perairan wilayah Singapura berhampiran Tuas oleh bot PCG dan dinasihatkan agar meninggalkan kawasan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg