JAKARTA: Pada 2 Februari, Menteri Agama, Profesor Dr. H. Nasaruddin Umar, merasmikan Kuil Shri Sanathana Dharma Aalayam, yang juga dikenali sebagai Kuil Murugan, di Kalideres, Jakarta Barat.
Kuil itu, yang kini diiktiraf sebagai kuil Hindu terbesar di Asia Tenggara, tidak hanya menjadi tempat ibadat, bahkan juga simbol penting mengenai kerukunan dan harmoni agama di Indonesia – sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan agama.
Dalam ucapan perasmiannya, Profesor Nasaruddin menegaskan bahawa Kuil Shri Sanathana Dharma Aalayam bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadat, bahkan juga sebagai bukti komitmen Indonesia terhadap kebebasan beragama yang dilindungi oleh Perlembagaan.
“Kuil ini bukan hanya tempat ibadah, bahkan juga sebagai manifestasi hak asasi manusia untuk menjalankan kebebasan beragama yang dijamin oleh undang-undang negara,” katanya.
Dengan kehadiran kuil itu, Profesor Nasaruddin turut mengajak umat Islam, Hindu dan penganut agama lain di Indonesia agar terus menjaga semangat persaudaraan dan toleransi antara satu sama lain.
Lebih daripada itu, Profesor Nasaruddin mencadangkan agar kuil itu dijadikan pusat pengajian agama Hindu untuk memperkukuhkan pemahaman dan nilai-nilai luhur Hindu dalam kalangan penganut Hindu di Indonesia.
“Kuil ini harus menjadi pusat spiritual dan pendidikan agama bagi umat Hindu, sekali gus memperkukuhkan nilai-nilai luhur Hindu di Indonesia,” katanya.
Ini merupakan langkah penting dalam memastikan nilai agama dapat dipertahankan dan diteruskan kepada generasi akan datang.
Encik Hashim Djojohadikusumo, penasihat utama Presiden Prabowo Subianto, yang hadir mewakili Presiden dalam perasmian kuil itu, turut memberikan penghormatan kepada keindahan dan keagungan kuil tersebut.
Beliau menyatakan bahawa kuil itu bukan hanya menjadi simbol kekuatan umat Hindu Indonesia, malah lambang persatuan antara penganut Hindu daripada pelbagai aliran.
Selain itu, beliau turut menyatakan harapan kuil itu akan menjadi tarikan utama bagi pelancong dari India, terutama mereka yang datang untuk tujuan pelancongan agama.
Dengan reka bentuknya yang menakjubkan, Encik Hashim percaya kuil itu mampu menarik perhatian pengunjung dari pelbagai negara, termasuk India, sebagai sebahagian daripada usaha pemerintah Indonesia untuk mempromosikan pelancongan agama.
“Walaupun saya bukan seorang penganut Hindu, saya amat kagum dengan seni bina kuil ini. Ia sangat megah dan indah,” tambah Encik Hashim.
Encik Prabowo yang awalnya merancang untuk menghadiri perasmian kuil itu, mengirimkan salam kepada umat Hindu Indonesia dan dunia.
Beliau menzahirkan rasa bangga atas perasmian kuil tersebut, yang beliau anggap sebagai simbol kebanggaan bagi Indonesia sebagai negara yang menjunjung tinggi Pancasila dan keharmonian agama.
Seiring dengan itu, Profesor Nasaruddin turut menekankan kehadiran kuil itu adalah manifestasi daripada semangat gotong-royong dan kebersamaan.
Ia juga berfungsi sebagai pusat kebudayaan dan pendidikan, yang mampu mempereratkan hubungan antara pelbagai agama di Indonesia.
“Kuil ini adalah simbol nyata semangat gotong-royong dan kebersamaan dalam mewujudkan masyarakat yang rukun dan harmoni,” ujar Profesor Nasaruddin. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg