MEDAN: Kota Medan yang terkenal sebagai kota pelbagai tarikan kembali bersiap menyambut perayaan Imlek atau Tahun Baru Cina pada 29 Januari 2025.
Perayaan ini tidak hanya menjadi detik penting bagi masyarakat Cina, tetapi juga cerminan harmoni keberagaman budaya yang telah lama menjadi ciri khas kota ini.
Seorang penduduk keturunan Cina, Encik Budi Permono, menekankan pentingnya menjadikan perayaan Imlek sebagai milik bersama.
“Keberagamaan yang ada saat ini harus kita nikmati bersama dengan cara hidup rukun dan damai. Seperti kebahagiaan dalam perayaan hari besar keagamaan yang saudara lain yang kita rasakan, harus juga bisa kita rasakan bersama,” ujarnya.
Imlek disambut dengan pelbagai tradisi unik seperti pemasangan lampion atau lampu tanglung merah, pertunjukan barongsai atau tarian singa serta pembahagian angpau.
Tahun 2025 ini, perayaan Imlek menandakan tahun ke-2,576 dalam kalendar lunar, dengan zodiak Cina atau shio Ular berunsur kayu, yang melambangkan kebijaksanaan, kecerdasan dan kemampuan untuk menyesuaikan diri.
Di Medan, suasana Imlek sudah terasa sejak awal Januari.
Hiasan kecil atau dikenali pernak-pernik khas Imlek terlihat menghiasi pusat beli-belah dan kawasan pemukiman Cina.
Seorang pedagang di kawasan Pajak Petisah di Kota Medan, Cik Linda, mengungkapkan: “Penjualan pernak-pernik tahun ini meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu. Harga barangan bermula dari 10,000 rupiah ($0.83) hingga lebih 1 juta rupiah.”
Kota Medan juga tidak dapat dipisahkan dari nama Tjong A Fie, seorang tokoh Cina yang dikenang atas sumbangannya terhadap kota tersebut.
Sebagai seorang dermawan, beliau memperjuangkan keharmonian antara masyarakat Cina dan etnik lain di Medan.
Rumah Tjong A Fie, yang kini menjadi muzium, sering dikunjungi oleh masyarakat sebagai simbol kebersamaan.
Semua ini menunjukkan bahawa Imlek bukan sekadar perayaan agama, tetapi juga ritual budaya yang mempererat hubungan antara individu dalam masyarakat dan antara pelbagai etnik di Indonesia.
“Mesej utama yang ditinggalkan Tjong A Fie adalah pentingnya sifat toleransi. Semangat inilah yang harus kita jaga dalam setiap perayaan,” kata seorang penduduk tempatan, Cik Liliana Hartanto.
Sejak kehadiran masyarakat Cina di Nusantara pada abad ke-4 hingga ke-7, Imlek telah menjadi sebahagian penting daripada budaya tempatan.
Kehadiran tradisi ini bukan sahaja melambangkan identiti etnik Cina tetapi juga mencerminkan proses penyesuaian budaya yang kaya antara komuniti itu dengan masyarakat lain setempat.
Tradisi Imlek melibatkan pelbagai elemen budaya yang sarat dengan simbolisme dan nilai-nilai kebersamaan. Misalnya, pemasangan lampion merah yang melambangkan keberuntungan, pertunjukan barongsai yang membawa kegembiraan, serta pembahagian angpau yang menjadi simbol harapan untuk kemakmuran.
Pada asalnya, Imlek dirayakan sebagai Festival Musim Bunga, ungkapan syukur atas hasil tuaian yang melimpah, serta doa untuk rezeki yang lebih baik pada tahun mendatang.
Tradisi ini selaras dengan masyarakat bercucuk tanam pada masa lalu, di mana hasil tuaian menjadi penentu kesejahteraan. Di Nusantara, makna kesyukuran ini telah disesuaikan dengan budaya tempatan, menjadikan Imlek sebagai perayaan yang sarat dengan nilai-nilai tempatan.
Seiring waktu, tradisi ini berkembang dan melibatkan seluruh masyarakat. Kehadiran bazar khas, pameran seni budaya, serta acara kebudayaan seperti tarian naga menjadi tarikan yang dinikmati pelbagai lapisan masyarakat, tidak terbatas kepada komuniti Cina sahaja.
Namun, perjalanan sejarah perayaan Tahun Baru Imlek di Indonesia memiliki sejarah perjalanan yang panjang, dari pengakuan rasmi pada era mantan Presiden Soekarno hingga larangan pada masa Orde Baru.
Pada era Presiden Soekarno, melalui Penetapan Pemerintah 1946 Nombor 2/Um, Tahun Baru Imlek diakui sebagai hari besar rasmi bagi warga Cina. Langkah ini menunjukkan penghormatan terhadap keberagaman budaya, yang menjadi ciri khas Indonesia sebagai negara yang pluralistik.
Namun, pada era Orde Baru, melalui Perintah Presiden Nombor 14 Tahun 1967, perayaan Imlek dilarang diraikan secara terbuka.
Langkah ini mencerminkan pandangan asimilasi yang bertujuan menghapuskan pengaruh budaya Cina dalam ruang awam. Larangan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada perayaan Imlek, tetapi juga tradisi budaya lain, termasuk penggunaan nama Cina dan bahasa Mandarin.
Perubahan besar berlaku selepas era reformasi. Presiden BJ Habibie membuka jalan dengan membatalkan peraturan diskriminasi melalui Perintah Presiden No. 26 Tahun 1998. Langkah itu diikuti oleh Presiden Abdurrahman Wahid (Gus Dur) yang secara rasmi menghapuskan larangan perayaan Imlek secara terbuka.
Presiden Megawati Sukarnoputri kemudian menetapkan Imlek sebagai cuti umum nasional melalui Keputusan Presiden Nombor 19 Tahun 2002, yang memperkukuhkan kedudukan Imlek dalam kebudayaan nasional.
Kini, Imlek diraikan secara meriah dengan pelbagai tradisi yang menjadi simbol kegembiraan dan harapan. Tradisi seperti persembahan sembahyang, acara keluarga dan pembahagian angpau menonjolkan nilai kebersamaan.
Di samping itu, Imlek juga menjadi medium untuk melestarikan warisan budaya yang telah wujud selama berabad-abad.
Bukan sahaja di Medan tetapi juga di Pontianak, Singkawang, Jakarta, Bogor, Semarang dan Surabaya yang mempunyai ramai etnik Cina, perayaan Imlek tidak hanya menjadi milik masyarakat itu sahaja.
Keterlibatan masyarakat pelbagai kaum dalam menyambut perayaan ini mencerminkan semangat perpaduan di tengah kepelbagaian budaya. Pertunjukan barongsai, pameran seni budaya dan bazar makanan tradisional sering menjadi daya tarikan bagi masyarakat dari pelbagai latar belakang.
“Saya selalu menantikan pertunjukan barongsai di pusat bandar. Rasanya seperti menyaksikan kekayaan budaya secara langsung,” kata Cik Rini, seorang penduduk di Jakarta.
Di ibu kota Indonesia itu semangat toleransi yang dipaparkan melalui perayaan ini adalah contoh nyata bagaimana budaya dapat menjadi alat penyatu masyarakat.
“Imlek bukan sekadar perayaan agama atau budaya, tetapi juga detik renungan untuk terus menjaga persaudaraan dan kedamaian,” ujar seorang penduduk di Surabaya, Encik Ferry Tanujaya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg