RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, meluluskan program khas untuk menaja 1,000 anggota jemaah dari 66 negara bagi menunaikan ibadah umrah di bawah Program Penjaga Dua Kota Suci untuk Haji, Umrah dan Ziarah.
Anggota jemaah yang terpilih itu akan dijemput dalam empat kumpulan sepanjang tahun Hijrah 1446 yang akan berakhir pada minggu terakhir Jun 2025.
Program itu bertujuan memupuk persaudaraan dan mempererat hubungan antara umat Islam di seluruh dunia.
Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah, dan Bimbingan, Sheikh Abdullatif Abdulaziz Al-Sheikh, yang juga penyelia program tersebut, meluahkan rasa terima kasih kepada kepimpinan Saudi atas usaha itu.
“Program ini mencerminkan keprihatinan besar kepimpinan Saudi dalam memberi perkhidmatan kepada Islam dan umat Islam,” kata Sheikh Abdullatif.
Beliau turut menegaskan bahawa program itu memberi peluang kepada jemaah dari pelbagai negara untuk menjalankan ibadah dengan penuh keselesaan dan ketenangan.
Menurut Sheikh Abdullatif, program itu bukan sahaja menyediakan kemudahan untuk beribadah, malah bertujuan menggalakkan komunikasi antara tokoh Islam seperti ulama, pensyarah universiti, dengan pemimpin masyarakat.
“Ia adalah simbol kesatuan umat Islam,” tambahnya.
Sejak diperkenalkan 26 tahun lalu (1998), lebih 60,000 anggota jemaah dari 140 negara telah meraih manfaat daripada program itu.
Sheikh Abdullatif turut mengucapkan penghargaan kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed Salman atas usaha murni itu.
Pada musim haji 2024, Raja Salman turut mengeluarkan arahan untuk menaja 2,322 anggota jemaah haji dari seluruh dunia.
Antara mereka termasuk 1,300 anggota jemaah dari lebih 88 negara serta 1,000 anggota jemaah dari rakyat Palestin.
Kerajaan Arab Saudi menanggung sepenuhnya kos perjalanan, penginapan, dan pengangkutan untuk jemaah.
Semua keperluan, termasuk lawatan ke Madinah untuk solat di Masjid Nabawi, telah dirancang dengan teliti bagi memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah.
Sheikh Abdullatif turut menekankan program itu bukan sahaja membantu umat Islam melaksanakan ibadah mereka tetapi juga menyerlahkan peranan Arab Saudi sebagai pemimpin dunia Islam.
Usaha itu sejajar dengan misi negara tersebut untuk mempromosikan nilai kesederhanaan, toleransi, dan keharmonian dalam kalangan umat Islam.
Dengan menaja jemaah umrah dan haji, kerajaan Saudi terus menyebarkan nilai murni Islam dan memperkukuhkan hubungan persaudaraan sejagat, ujarnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg