Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

MALAYSIA

'Kumpulan Wang Simpanan Pekerja perlu dilindung demi hari tua pekerja'

Beberapa pengamat anggap keputusan Anwar tidak benarkan rakyat buat pengeluaran KWSP langkah rasional
Mar 11, 2023 | 05:30 AM



ISU cadangan pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekali lagi menjadi perdebatan dengan wang persaraan yang tidak mencukupi bukan sahaja memberi risiko kepada individu terbabit malah turut memberi risiko kepada kerajaan Malaysia.



Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tidak membenarkan rakyat membuat pengeluaran KWSP dianggap langkah rasional dan penganalisis menganggap langkah itu menjadi penamat kepada perdebatan.



Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata langkah yang diambil oleh Datuk Anwar merupakan kebijaksanaan politik untuk tidak membenarkan lebih banyak pengeluaran khas kerana ia tidak mampan dari segi ekonomi.



"Baki purata dalam KWSP kini sangat rendah dan sebarang pengeluaran khas hanya akan menjadikan baki purata pencarum akaun merudum.



"Isunya ialah terlalu banyak pengeluaran telah dibenarkan. Timbalan Menteri Kewangan menyatakan bahawa 6.7 juta pencarum KWSP berumur 55 tahun ke atas mempunyai baki kurang daripada RM10,000 ($2,998). Ini tidak akan bertahan untuk pesara selama lebih daripada beberapa tahun.



"Lalu apa yang berlaku? Kerajaan persekutuan perlu mengambil pendekatan perundangan untuk mempersiap rakyat Malaysia menghadapi persaraan,'' ujar Profesor Madya Tan.



Beliau berkata langkah yang diambil oleh Datuk Anwar itu memberikan kesan kerana ramai yang menunggu mengenai apa yang akan dilakukan oleh kerajaan untuk menaikkan gaji supaya orang ramai boleh mencarum lebih banyak dalam KWSP mereka.



"Adakah ia bersifat populis atau adakah ia akan dicapai dengan mengembangkan pai ekonomi?'' soal Profesor Madya Tan.



Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, sebelum ini menyatakan bahawa 8.1 juta ahli KWSP telah mengeluarkan sejumlah RM145 bilion dalam beberapa siri pengeluaran semasa pandemik Covid-19.



"Kesan politik terutamanya pilihan raya negeri yang akan datang mungkin menjadi isu hangat jika ia mendapat daya tarikan yang mencukupi di kalangan pengundi. Ketidakjaminan ekonomi tidak boleh diremehkan.



"Janji pilihan raya akan dibuat; begitu juga tuntutan pilihan raya akan dibuat oleh pembangkang terhadap kerajaan.



"Bagaimana pengundi bertindak balas terhadap janji dan tuntutan boleh membawa perubahan kepada daya maju program KWSP sebagai institusi awam yang penting,'' ujarnya lagi.



"Jaringan keselamatan untuk masa depan pencarum dan persoalan sama ada KWSP gagal dalam misinya adalah sangat nyata.



"KWSP perlu terus bertindak sebagai jaringan keselamatan yang berdaya maju untuk rakyat Malaysia dan ini akan menjadi teras utama skim KWSP.



"Ia akan membawa kepada lebih banyak kebimbangan ekonomi untuk warga emas di Malaysia sekiranya KWSP menjadi tidak relevan,'' tambah Profesor Madya Tan.



Pemerhati politik, Dr Oh Ei Sun, yang juga Zamil Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, menjelaskan terdapat sekurang-kurangnya dua sebab bukan politik, terutamanya sosioekonomi atau kewangan untuk tidak membenarkan pengeluaran tambahan KWSP.



Pertama ialah hakikat bahawa median paras simpanan KWSP untuk individu telah jatuh ke paras rendah yang tidak pernah berlaku sebelum ini, sehingga menjadikan keseluruhan objektif menabung untuk persaraan menjadi tidak bermakna.



Kedua, ia akan menjejaskan komitmen pelaburan KWSP sebagai dana pelaburan kerana dana untuk pelaburan tersebut kian berkurangan.



Ini seterusnya akan memberi kesan buruk kepada ekonomi kerana KWSP merupakan pemegang saham utama dalam beberapa syarikat tersenarai awam, ujar Dr Oh.



"Dalam menjangkakan pilihan raya negeri akan datang, pembangkang sudah tentu memainkannya untuk menyindir bahawa kerajaan tidak mengambil berat tentang kesusahan yang dihadapi rakyat.



"Itulah sebabnya Datuk Anwar terpaksa menambah KWSP sebanyak RM500 kepada 2 juta pencarum menerusi pengumuman Belanjawan 2023.



"Penambahan RM500 setiap pencarum sudah tentu akan meningkatkan perbelanjaan, tetapi itulah harga yang perlu dibayar kerajaan untuk menangkis kritikan terhadap tidak membenarkan pengeluaran tambahan KWSP,'' ujar Dr Oh.



Pada Khamis, Datuk Anwar mengumumkan untuk memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.



Datuk Anwar berkata kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang 'terdesak' untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.



Penganalisis kanan ehwal antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, berkata simpanan KWSP ini penting untuk memastikan rakyat berada di atas paras kemiskinan dan tidak membebankan masyarakat dengan simpanan persaraan.



Menurutnya, jika kerajaan terus membenarkan lebih banyak pengeluaran khas, ia akan memburukkan lagi kekurangan simpanan yang membimbangkan di kalangan anggota KWSP.



"Ini tindakan berhemat dari segi politik dan ekonomi untuk menghentikan pengeluaran khas ini.



"Ia mungkin bukan keputusan politik yang popular tetapi ia adalah keputusan yang betul dari segi ekonomi yang dibuat oleh kerajaan Datuk Anwar.



"Oleh itu, ia memerlukan kepimpinan politik yang kukuh, yang dicerminkan oleh keputusan yang dibuat kerajaan Datuk Anwar mengenai isu pengeluaran KWSP.



"Walaupun KWSP bertujuan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial, kerajaan harus mempamerkan minda yang lebih keusahawanan dengan melihat KWSP untuk lebih berdikari dalam persediaan menghadapi usia persaraan.



"Langkah sementara ini juga memberi masa yang diperlukan oleh kerajaan Datuk Anwar untuk mengembalikan KWSP ke landasan yang betul dalam pembayaran dividen dengan menambah portfolio pelaburan sambil memanfaatkan peluang pelaburan baru untuk memastikan pembayaran dividen yang mampan kepada rakyat Malaysia yang aktif menyumbang kepada KWSP,'' kata Dr Mustafa.




"Baki purata dalam KWSP kini sangat rendah dan sebarang pengeluaran khas hanya akan menjadikan baki purata pencarum akaun merudum. Isunya ialah terlalu banyak pengeluaran telah dibenarkan. Timbalan Menteri Kewangan menyatakan bahawa 6.7 juta pencarum KWSP berumur 55 tahun ke atas mempunyai baki kurang daripada RM10,000 ($2,998). Ini tidak akan bertahan untuk pesara selama lebih daripada beberapa tahun. Lalu apa yang berlaku? Kerajaan persekutuan perlu mengambil pendekatan perundangan untuk mempersiap rakyat Malaysia menghadapi persaraan.''
- Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU).



"Dalam menjangkakan pilihan raya negeri akan datang, pembangkang sudah tentu memainkannya untuk menyindir bahawa kerajaan tidak mengambil berat tentang kesusahan yang dihadapi rakyat. Itulah sebabnya Datuk Anwar terpaksa menambah KWSP sebanyak RM500 kepada 2 juta pencarum menerusi pengumuman Belanjawan 2023. Penambahan RM500 setiap pencarum sudah tentu akan meningkatkan perbelanjaan, tetapi itulah harga yang perlu dibayar kerajaan untuk menangkis kritikan terhadap tidak membenarkan pengeluaran tambahan KWSP."
- Dr Oh Ei Sun, Zamil Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.



"Ia mungkin bukan keputusan politik yang popular tetapi ia adalah keputusan yang betul dari segi ekonomi... Oleh itu, ia memerlukan kepimpinan politik yang kukuh, yang dicerminkan oleh keputusan yang dibuat kerajaan Datuk Anwar mengenai isu pengeluaran KWSP... Langkah sementara ini juga memberi masa yang diperlukan oleh kerajaan Datuk Anwar untuk mengembalikan KWSP ke landasan yang betul... memanfaatkan peluang pelaburan baru untuk memastikan pembayaran dividen yang mampan kepada rakyat Malaysia yang aktif menyumbang kepada KWSP.''
- Dr Mustafa Izzuddin, penganalisis kanan ehwal antarabangsa di Solaris Strategies Singapore.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >