KAHIRAH/BAITULMAKDIS: Tentera Israel telah membunuh tiga lagi rakyat Palestin di Gaza berhampiran garisan sempadan yang menandakan kawasan kawalan Israel pada 24 November, menggariskan kesukaran untuk meluaskan perjanjian gencatan senjata rapuh yang dilaksanakan sejak lebih enam minggu lalu.
Pegawai perubatan Palestin berkata insiden tersebut melibatkan dron Israel yang melepaskan peluru berpandu ke arah sekumpulan orang di timur Khan Younis, membunuh dua orang dan mencederakan seorang lagi, dengan tembakan kereta kebal pula membunuh seorang di sebelah timur Bandar Gaza.
Tentera Israel berkata ia telah melepaskan tembakan selepas mengenal pasti apa yang dipanggilnya “pengganas” yang melintasi garisan kuning dan menghampiri tenteranya, menimbulkan ancaman segera kepada mereka.
Sayap bersenjata kumpulan Jihad Islam Palestin berkata dalam satu kenyataan pada 24 November bahawa ia telah menemui mayat seorang tebusan di kawasan yang dikawal oleh tentera Israel di Jaluran Gaza.
Namun, ia tidak menyatakan bila penyerahan mayat itu akan dilakukan. Mayat tebusan Israel itu adalah salah satu daripada tiga yang masih berada di Gaza.
Hamas dan Israel telah menandatangani gencatan senjata pada 9 Oktober yang menghentikan peperangan yang dahsyat selama dua tahun, tetapi perjanjian itu meninggalkan pertikaian yang paling sukar bagi rundingan selanjutnya, membekukan konflik tanpa menyelesaikannya.
Hamas membebaskan semua 20 tebusan yang masih hidup di Gaza sebagai pertukaran untuk hampir 2,000 tahanan Palestin yang ditahan Israel.
Perjanjian itu juga memperuntukkan pemulangan mayat 28 tebusan Israel sebagai pertukaran bagi mayat 360 pejuang Hamas.
Sejak perjanjian itu, kedua-dua pihak saling menuduh atas pelanggaran perjanjian gencatan senjata dan menolak langkah yang diperlukan oleh pelan damai 20 perkara Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bagi Gaza.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata pada 24 November bahawa sekurang-kurangnya 342 rakyat Palestin telah terbunuh akibat serangan Israel sejak permulaan gencatan senjata.
Israel berkata tiga askarnya telah terbunuh akibat serangan militan dalam tempoh sama.
Minggu lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberikan sokongan rasmi terhadap pelan damai Encik Trump, yang menyeru pemerintah teknokratik sementara Palestin di Gaza, yang diselia oleh “lembaga keamanan” antarabangsa dan disokong oleh pasukan keselamatan antarabangsa.
Rancangan Encik Trump juga memerlukan langkah pembaharuan Penguasa Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Mantan Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair, yang membantu Amerika membangunkan rancangan itu dan yang dikatakan oleh Encik Trump mungkin menyertai lembaga keamanan, telah bertemu dengan Timbalan Ketua Penguasa Palestin, Encik Hussein al-Sheikh, di Tebing Barat pada 23 November.
Encik Sheikh berkata dalam catatan media sosial bahawa mereka telah membincangkan perkembangan susulan ketetapan Majlis Keselamatan dan keperluan bagi penentuan sendiri nasib rakyat Palestin.
Delegasi Hamas di Kahirah, yang diketuai oleh pemimpinnya yang dibuang negeri, Encik Khalil al-Hayya, telah mengadakan perbincangan dengan pegawai Mesir untuk meneroka fasa gencatan senjata seterusnya, menurut Encik Hazem Qassem, jurucakap Hamas di Gaza.
Encik Qassem mengakui bahawa laluan ke fasa kedua gencatan senjata adalah rumit dan berkata kumpulannya telah memberitahu Mesir, pengantara dalam konflik itu, bahawa pelanggaran Israel telah menjejaskan perjanjian tersebut.
Menurutnya, mempersetujui susunan dan mandat pasukan keselamatan antarabangsa amat mencabar.
Israel berkata pasukan berbilang negara itu mesti melucutkan senjata Hamas, satu langkah yang telah ditentang oleh kumpulan itu tanpa hak kenegaraan Palestin. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg