Laman web akan bantu pengguna cari ‘mesin ATM sisa buangan’ bekas minuman
Laman web akan bantu pengguna cari ‘mesin ATM sisa buangan’ bekas minuman
returnright.sg juga akan bolehkan orang ramai dapatkan lokasi 1,070 mesin bagi pulangkan tin, botol minuman dan tebus deposit 10 sen
Pengguna kini boleh melayari laman web, returnright.sg, untuk mencari mesin terdekat bagi memulangkan bekas minuman mereka dan menebus deposit 10 sen.
Laman web itu juga akan menunjukkan status kapasiti dan waktu operasi mesin itu.
Dilancarkan menjelang pelancaran Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS) pada 1 April, laman web itu akan membolehkan orang ramai mencari 1,070 mesin yang diletakkan di pasar raya, pusat penjaja dan kawasan lain yang mempunyai ramai pengunjung.
Lebih 90 peratus isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan berada dalam jarak lima minit berjalan kaki dari mesin sedemikian.
Sebanyak 160 mesin lagi akan dipasang secara beransur-ansur selepas 1 April, dan orang ramai juga boleh mendapatkan kemas kini lokasi mesin-mesin itu melalui laman web tersebut.
Matlamatnya adalah untuk menempatkan 2,000 mesin tersebut di seluruh Singapura pada tahun pertama skim itu.
Laman web tersebut telah diumumkan oleh pengendali skim itu, BCRS Ltd, pada 18 Mac, iaitu Hari Kitar Semula Global, lapor The Straits Times.
Di bawah skim itu, yang diterajui oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), pengguna membayar deposit 10 sen untuk membeli minuman dalam botol dan tin yang berukuran antara 150 mililiter dengan 3 liter.
Pelanggan boleh mendapatkan deposit mereka semula dengan memulangkan bekas minuman kosong yang mempunyai Tanda Deposit di mesin Return Right.
Bayaran balik itu boleh dikreditkan ke kad EZ-link atau dompet DBS PayLah! mereka.
Sebanyak 1,070 mesin yang tersedia mulai 1 April akan ditempatkan di lebih 430 pasar raya dan peniaga runcit, serta 610 kawasan yang diuruskan oleh majlis bandaran seperti kolong blok HDB, kata NEA dan BCRS Ltd dalam satu kenyataan bersama.
Lokasi itu termasuk Pasar Raya Giant dan FairPrice, serta estet HDB di Toa Payoh dan Tampines.
Dalam beberapa bulan akan datang, semua pusat penjaja akan mempunyai sama ada mesin di lokasi atau akses kepada mesin berdekatan, meningkat daripada 17 “pusat penjaja dengan ramai pengunjung” pada awal April, tambah kenyataan itu.
Pusat Penjaja Buangkok, Pusat Makanan Amoy Street dan Pusat Penjaja Kampung Admiralty adalah antara kumpulan pertama lokasi mesin sedemikian ditempatkan.
Institut pengajian tinggi juga akan mendapat sekurang-kurangnya sebuah mesin dalam beberapa bulan akan datang.
Begitu juga, 36 lokasi di kawasan perindustrian dengan jumlah pengunjung yang tinggi – seperti Blok 36 Sin Ming Industrial Estate – akan dilengkapi mesin tersebut, dengan lokasi tambahan yang dikenal pasti berdasarkan kadar pemulangan dan corak jejak pekerja di sana.
“Rancangan juga sedang dibuat untuk mesin Return Right disediakan di asrama pekerja migran yang besar dan semua pusat rekreasi,” kata NEA dan BCRS Ltd.
Bercakap dalam acara pratonton media untuk menunjukkan cara mesin itu berfungsi pada 18 Mac, Ketua Eksekutif BCRS Ltd, Cik Stephanie Yip, berkata beliau menjangkakan orang ramai mungkin akan cuba memulangkan sebarang bekas minuman di mesin itu dan menjangkakan akan menerima bayaran balik.
Tetapi hanya bekas minuman dengan pelekat Tanda Deposit skim itu sahaja yang boleh didepositkan, katanya.
“Ini bukan tong sampah, ini ATM sisa buangan,” tambahnya sambil berseloroh.
Bekas minuman juga tidak boleh dihancurkan, dan kod bar pada pelekat itu harus kekal utuh.

