LONDON: Perdana Menteri, Encik Rishi Sunak, dijangka mengambil tindakan dalam mengurangkan aliran golongan pendatang minggu ini sedang Britain bergelut dalam menangani kehadiran kumpulan tersebut.
Menteri Imigresen, Encik Robert Jenrick, berkata kerajaan Britain akan menyediakan tongkang dan pangkalan tentera yang tidak digunakan untuk menempatkan migran yang mencari suaka.
Seramai empat orang perlu berkongsi satu bilik, tambahnya.
Langkah itu bertujuan menjadikan Britain destinasi yang kurang menarik kepada pendatang yang tiba melalui laluan tidak rasmi, terutamanya dengan menaiki bot kecil merentasi Selat Inggeris.
Encik Jenrick turut melahirkan rasa bimbang dengan rekod 606,000 lebih ramai orang berpindah ke Britain berbanding pada 2022 ketika pihaknya berjanji untuk mengurangkan jumlah pendatang.
“Kami juga tidak boleh membenarkan UK (United Kingdom) dianggap sebagai ‘negara yang mudah kasihan’,” kata Encik Jenrick dalam rancangan televisyen BBC, Sunday with Laura Kuenssberg.
“Ia memberi tekanan serius kepada perkhidmatan awam dan keupayaan kami untuk berjaya menyepadukan orang ramai ke dalam negara,” ujarnya.
Isu imigresen menjadi keprihatan bagi sayap kanan Parti Konservatif yang memerintah selepas gelombang pendatang tiba dengan bot kecil pada musim bunga terus meningkat.
Encik Sunak pula dilihat seperti mungkir janji daripada manifestonya untuk mengurangkan penghijrahan.
Namun, golongan menteri sedang mengusahakan langkah untuk menghantar pulang 3,000 orang sebulan – iaitu mereka yang memasuki Britain secara haram.
Pembangkang Parti Buruh berjanji untuk mengurangkan jumlah pendatang dan mengatakan bahawa Parti Konservatif harus dipersalahkan kerana membiarkan bilangan migran di luar kawalan.
Isu itu telah menambah pergeseran dengan kumpulan pelobi perniagaan, yang menggesa kelonggaran peraturan untuk membolehkan pekerja yang diperlukan mengisi kerja kosong dan mengurangkan tekanan ke atas gaji.
“Kami mahu perniagaan menjadi contoh pertama yang membuat pelaburan dalam pekerja Britain menerusi teknologi serta automasi yang memacu produktiviti, bukan hanya mencari cara mudah mendapatkan pendatang asing,” kata Encik Jenrick kepada BBC.
Beliau berkata sistem suaka memerlukan pembaharuan “asas” kerana ia “penuh dengan penyalahgunaan”, terutamanya kerajaan membayar terlalu banyak wang kepada pengusaha hotel untuk menempatkan golongan pendatang.
Rang Undang-undang Penghijrahan Secara Haram, yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Rabu, akan membenarkan pegawai menahan pendatang yang tiba melalui saluran tidak rasmi.
Kerajaan mahu menghantar pulang ke negara asal mereka atau ke Rwanda.
“Ini akan menjadi penghalang yang sangat kita perlukan. Ia akan memecahkan model perniagaan kumpulan penyeludup manusia dan ia akan menghalang sistem kita daripada berada di bawah tekanan yang tidak dapat dibendung seperti hari ini,” kata Encik Jenrick.
Parlimen pada Rabu sedia meluluskan Rang Undang-Undang yang akan mengesahkan bagaimana dan bila pendatang dianggap sebagai pemastautin di Britain bagi tujuan kewarganegaraan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg