Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lapangan terbang Heathrow ditutup akibat kebakaran

Puluhan penerbangan dialihkan ke lapangan terbang lain; 11 penerbangan antara S’pura dengan London terjejas
Mar 21, 2025 | 12:44 PM
Tangkap layar ini diambil daripada video pengguna yang dirakam dan dimuat naik ke platform X pada 21 Mac 2025 oleh akaun @fire_at_Vill, menunjukkan kebakaran sedang marak di sebuah pencawang elektrik kejiranan yang membekalkan kuasa kepada Lapangan Terbang Heathrow di Hayes, barat London.
Tangkap layar ini diambil daripada video pengguna yang dirakam dan dimuat naik ke platform X pada 21 Mac 2025 oleh akaun @fire_at_Vill, menunjukkan kebakaran sedang marak di sebuah pencawang elektrik kejiranan yang membekalkan kuasa kepada Lapangan Terbang Heathrow di Hayes, barat London. - Foto AFP

LONDON: Lapangan Terbang Heathrow, antara yang tersibuk di dunia, ditutup sepenuhnya sehingga tengah malam 21 Mac selepas kebakaran besar di sebuah pencawang elektrik berdekatan menyebabkan gangguan bekalan kuasa yang melumpuhkan operasi penerbangan di seluruh dunia.

Kebakaran itu berlaku di kawasan barat London dan disahkan oleh Jabatan Bomba London, yang memaklumkan seramai 70 anggota bomba sedang berusaha memadamkan api yang marak dan memancarkan nyalaan jingga ke langit. Punca kebakaran masih belum diketahui.

“Bagi memastikan keselamatan penumpang dan kakitangan, Heathrow akan ditutup sepenuhnya sehingga jam 11:59 malam ini,” kata pengurusan lapangan terbang dalam satu kenyataan di platform X.

“Penumpang dinasihatkan supaya tidak ke lapangan terbang sehingga diberitahu kelak.”

Penutupan secara mendadak itu menyebabkan puluhan penerbangan dialihkan ke lapangan terbang lain, termasuk ke Paris, Shannon (Ireland), dan Gatwick.

Menurut laman jejak penerbangan FlightRadar24, penerbangan Qantas dari Perth telah dialihkan ke Paris manakala penerbangan United Airlines dari New York kini menuju ke Shannon.

Malah, beberapa penerbangan dari Amerika Syarikat dilaporkan berpatah balik di udara ke lokasi asal, termasuk satu penerbangan dari San Francisco yang kini dijadual mendarat di Washington, D.C. dan bukannya di London.

Syarikat penerbangan British Airways dan Virgin Atlantic turut mengalihkan beberapa pesawat mereka ke Lapangan Terbang Gatwick.

Di Singapura, sekurang-kurangnya 11 penerbangan antara Singapura dengan London telah dibatalkan atau dilencongkan.

Kebakaran itu turut menjejas bekalan elektrik ke beberapa kediaman dan premis perniagaan.

Jabatan Bomba London memaklumkan bahawa 29 orang berjaya dibawa keluar dengan selamat dari bangunan berdekatan dan sekitar 150 orang telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Kawasan sejauh 200 meter dari lokasi kebakaran turut dikawal.

“Ini akan menjadi operasi yang panjang, dan pasukan kami dijangka berada di lokasi sepanjang malam,” kata jurucakap jabatan bomba.

Menurut Eurocontrol, pihak yang menyelia kawalan trafik udara di seluruh Eropah, tiada ketibaan dibenarkan ke Heathrow buat masa ini, dan rancangan pengalihan telah diaktifkan untuk banyak penerbangan.

Lapangan Terbang Heathrow mempunyai kira-kira 1,300 pergerakan pesawat setiap hari, menjadikannya antara lapangan terbang dua landasan paling sibuk di dunia.

“Heathrow adalah hab penerbangan utama dunia. Penutupan ini pasti menjejas operasi syarikat penerbangan secara global,” kata Encik Ian Petchenik, jurucakap FlightRadar24.

“Kami jangka gangguan besar akan berterusan untuk beberapa hari akan datang, dan tiada jaminan bila bekalan kuasa dapat dipulihkan sepenuhnya,” kata jurucakap Heathrow kepada Reuters melalui e-mel. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg