RIYADH: Pihak berkuasa melanjutkan penutupan lapangan terbang antarabangsa Riyadh sehingga 18 Oktober (waktu Singapura).

Ruang udara Riyadh, ibu negara Arab Saudi, menjadi hampir lengang selepas syarikat penerbangan membatalkan penerbangan susulan serangan berterusan kumpulan Houthi yang disokong Iran dari Yemen.

Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, lapangan terbang kedua tersibuk di Arab Saudi selepas Jeddah, digantung untuk “membolehkan beberapa prosedur diselesaikan bagi memastikan keselamatan dan kesiapsiagaan operasi kemudahan lapangan terbang”, kata pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi dalam satu kenyataan.

Lewat 12 Oktober, Houthi mengaku menyerang lapangan terbang itu dengan peluru berpandu balistik.

Ini berlaku sejurus selepas Arab Saudi berkata ia memintas dan memusnahkan satu peluru berpandu balistik yang dilancarkan kumpulan itu ke arah Riyadh.

Houthi juga berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka menyasarkan sebuah pangkalan udara di Khamis Mushait, yang terletak di barat daya kerajaan itu dengan dron.

Arab Saudi tidak segera mengesahkannya.

Notis kepada Misi Udara (Notam) yang dikeluarkan kemudian menunjukkan bahawa lapangan terbang itu akan terus ditutup sehingga 5 pagi pada 18 Oktober, waktu Singapura.

Lapangan terbang itu ditutup sejak serangan pada 10 Oktober yang membunuh 13 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain, serangan paling maut di kerajaan itu dalam tempoh lebih sedekad.

Pada 11 Oktober, satu lagi serangan telah mengakibatkan satu orang maut dan mencederakan hampir 12  yang lain.

Serangan itu mencetuskan antara gangguan paling besar terhadap penerbangan di Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu.

Ia menambah tekanan kepada industri yang sudah bergelut dengan konflik di seluruh Timur Tengah dan harga bahan api jet yang lebih tinggi menghakis keuntungan.

Serangan itu juga menimbulkan kebimbangan bahawa penerbangan awam menjadi sasaran dalam konflik bersenjata.

“Tahap serangan berterusan yang sengit terhadap penerbangan awam ini belum pernah berlaku,” kata Encik Mark Zee, pengasas OpsGroup, sebuah organisasi berasaskan keahlian yang memberi nasihat keselamatan penerbangan.

“Saya rasa keadaan ini menuntut kita menilai semula risiko semasa dan bertindak dengan sangat berhati-hati,” katanya. 

Penjejak lalu lintas udara Flightradar24 menunjukkan pesawat mengelak bandar itu pada 12 Oktober, walaupun jet masih melintasi ruang udara Arab Saudi dan mendarat di hab utama Jeddah di pantai barat negara itu.

Pembatalan penerbangan di semua lapangan terbang Arab Saudi mencecah 46.4 peratus, kata firma analitik penerbangan Cirium.

Gangguan itu memaksa syarikat penerbangan di seluruh Eropah dan Asia menggantung perkhidmatan.

Sementara itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menasihati syarikat penerbangan Amerika pada 11 Oktober supaya berwaspada ketika terbang ke Arab Saudi atau melalui ruang udaranya.

Badan penerbangan Kesatuan Eropah (EU), EASA, meluaskan amaran ruang udara Arab Saudi pada 9 Oktober dengan menyebut serangan peluru berpandu dan dron.

“Kesannya melangkaui Arab Saudi kepada rantau yang lebih luas dan hubungan globalnya,” kata penganalisis penerbangan, Encik John Strickland.

OpsGroup menasihati syarikat penerbangan supaya mengelak laluan penerbangan selatan di atas Timur Tengah sepenuhnya, dan mengambil laluan dari Eropah ke Asia melalui Asia Tengah.

Pada 13 Oktober, Etihad Airways berkata ia membatalkan penerbangan antara Abu Dhabi dengan Riyadh, Jeddah dan Dammam di Arab Saudi kerana “gangguan serantau”.

Semua penerbangan antara Abu Dhabi dengan Riyadh dibatalkan sehingga 19 Oktober, katanya. – Reuters.