WASHINGTON: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) pada 11 Oktober meminta syarikat penerbangan Amerika Syarikat berwaspada ketika menerbangkan pesawat ke Arab Saudi atau melalui ruang udaranya, kerana terdapat ancaman keselamatan berkaitan aktiviti ketenteraan yang berterusan dan gangguan sistem navigasi.

Notis Kepada Misi Udara (Notam) FAA, yang berkuat kuasa sehingga 10 Disember, dikeluarkan susulan serangan pada 10 dan 11 Oktober ke atas lapangan terbang antarabangsa Riyadh.

Serangan pada 10 Oktober membunuh 13 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain.

“Ancaman ini boleh menjadi risiko kepada pesawat pada semua ketinggian, termasuk semasa melintasi ruang udara, fasa ketibaan dan fasa berlepas,” kata FAA, sambil memberi amaran tentang “situasi yang berpotensi membahayakan”.

Notis itu turut terpakai kepada pengendali pesawat yang didaftarkan di Amerika.

Lapangan terbang Riyadh kekal ditutup untuk penerbangan sekurang-kurangnya sehingga 5 petang EDT pada 12 Oktober (5 pagi pada 13 Oktober di Singapura).

Syarikat penerbangan Amerika, Delta Air Lines, dijadualkan memulakan penerbangan terus ke Riyadh pada 23 Oktober dari Atlanta.

Delta tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas pada 11 Oktober. Namun, ketua eksekutifnya, Encik Ed Bastian, memberitahu CNBC minggu lalu bahawa “keselamatan yang akan menentukan” sama ada syarikat itu meneruskan rancangan penerbangan tersebut.

Syarikat penerbangan utama Amerika yang lain menyediakan penerbangan ke Riyadh melalui perkongsian kod dengan syarikat rakan kongsi.

Pada September 2025, FedEx melancarkan penerbangan khusus pertamanya ke Arab Saudi.

Pesawat kargo Boeing 777 FedEx itu beroperasi enam kali seminggu dan menghubungkan benua Amerika dan Eropah ke Riyadh, dengan sambungan ke Guangzhou dan Shanghai. – Reuters.