ABU DHABI: Amiriah Arab Bersatu (UAE) didakwa melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran secara rahsia, sekali gus menjadikannya satu-satunya negara Arab yang dilaporkan menyertai Amerika Syarikat dan Israel dalam konflik menentang republik Islam itu.

Menurut laporan Wall Street Journal yang diterbitkan pada 11 Mei, UAE didakwa melaksanakan beberapa serangan terhadap sasaran Iran termasuk sebuah loji penapisan minyak di Pulau Lavan di Teluk Parsi.

Laporan itu memetik beberapa sumber yang mengetahui perkara tersebut, namun UAE tidak pernah mengakui secara terbuka penglibatannya dalam serangan berkenaan.

Serangan terhadap loji penapisan di Pulau Lavan dilaporkan berlaku pada awal April, sekitar tempoh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan gencatan senjata antara Iran dan pihak lawannya.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan sama ada serangan tersebut berlaku sebelum atau selepas pengumuman gencatan senjata dibuat.

Iran ketika itu mengesahkan kemudahan tersebut diserang oleh “musuh yang tidak dinamakan” sebelum bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah UAE serta Kuwait.

Menurut laporan itu, serangan ke atas Pulau Lavan merupakan satu-satunya insiden khusus yang menunjukkan penglibatan langsung UAE dalam perang tersebut.

Salah seorang sumber memberitahu Wall Street Journal bahawa Washington menerima baik penyertaan Abu Dhabi dalam konflik itu selepas beberapa negara Teluk lain enggan terlibat secara aktif.

Kementerian Luar UAE enggan mengulas dakwaan tersebut ketika diminta memberikan komen, namun merujuk kepada kenyataan terdahulu yang menegaskan negara itu mempunyai hak untuk mempertahankan diri daripada serangan Iran.

Pentagon juga enggan memberikan sebarang komen mengenai laporan tersebut.

Pada Mac lalu, beberapa media berbahasa Ibrani turut melaporkan secara serentak bahawa UAE menyerang sebuah loji penyahgaraman air di Iran sebagai tindak balas terhadap serangan Teheran di rantau Teluk.

Laporan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan pegawai UAE yang menyifatkan dakwaan media Israel tersebut sebagai palsu.

Artikel Wall Street Journal itu tidak menjelaskan sama ada laporan terdahulu tersebut benar-benar berlaku.

Sepanjang perang antara Amerika dan Israel dengan Iran, Teheran melancarkan serangan berterusan terhadap UAE menggunakan peluru berpandu balistik, peluru berpandu kruis dan dron.

Menurut Kementerian Pertahanan UAE, Iran melancarkan kira-kira 550 peluru berpandu balistik dan peluru berpandu jelajah serta lebih 2,200 dron ke arah negara itu, menjadikannya negara paling banyak diserang di rantau tersebut termasuk berbanding Israel.

Walaupun kebanyakan serangan berjaya dipintas, beberapa daripadanya tetap mengenai sasaran tentera dan awam.

Laporan itu juga menyebut serangan Iran terhadap UAE dilaporkan kembali meningkat dalam tempoh seminggu lalu ketika Teheran dilihat memperhebat serangan di rantau itu walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa secara rapuh.

Iran sebelum ini berikrar akan menyerang pangkalan tentera Amerika di rantau Teluk sekiranya diserang.

Selain melancarkan serangan peluru berpandu ke atas beberapa negara Teluk, Teheran turut menutup Selat Hormuz yang menjadi laluan utama perdagangan minyak dan gas dunia.

Menurut Wall Street Journal, serangan Iran memberi kesan besar kepada ekonomi UAE termasuk menyebabkan pemberhentian pekerja dan cuti tanpa gaji dalam beberapa sektor.

Pegawai Teluk yang dipetik tanpa nama berkata perkembangan itu turut mengubah pandangan strategik UAE terhadap Iran.

“Iran kini dilihat sebagai aktor tidak stabil yang mahu menggugat model ekonomi dan sosial UAE yang bergantung kepada bakat asing serta reputasi negara itu sebagai pusat keselamatan dan kestabilan,” kata seorang pegawai Teluk kepada akhbar tersebut.

Penganalisis Asia Barat, Dina Esfandiary, berkata penglibatan langsung UAE dalam konflik itu merupakan perkembangan penting di rantau berkenaan.

“Ia signifikan kerana sebuah negara Arab Teluk kini menjadi pihak yang menyerang Iran secara langsung,” katanya kepada Wall Street Journal.

“Teheran kini dijangka cuba melebarkan jurang antara UAE dan negara Arab Teluk lain yang sedang berusaha menjadi orang tengah untuk menamatkan perang ini,” tambahnya.

Israel sebelum ini menyatakan serangan bersama Amerika terhadap Iran bertujuan melemahkan kemampuan ketenteraan Tehran termasuk program nuklear dan peluru berpandunya.

Pemimpin Israel turut mendakwa operasi tersebut bertujuan “mewujudkan keadaan” yang boleh membawa kepada kejatuhan kerajaan Iran.

Namun, gencatan senjata yang diumumkan Encik Trump pada April lalu berlaku ketika beberapa objektif utama perang masih belum tercapai.

Setakat ini, UAE masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengesahkan atau menafikan secara langsung dakwaan penglibatannya dalam serangan terhadap Iran. – Agensi berita.