Topic followed successfully
Go to BHkuAS usaha kekal gencatan senjata dengan Iran, UAE dakwa diserang
AS usaha kekal gencatan senjata dengan Iran, UAE dakwa diserang
AS usaha kekal gencatan senjata dengan Iran, UAE dakwa diserang
WASHINGTON/KAHIRAH: Pegawai Amerika Syarikat berusaha mengekalkan gencatan senjata yang rapuh dengan Iran pada 5 Mei, sambil meneruskan operasi membuka semula Selat Hormuz.
Ini berlaku walaupun sekutu Amerika, Amiriah Arab Bersatu (UAE), menyatakan negaranya mengalami serangan peluru berpandu dan dron baharu daripada Iran.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, menggambarkan usaha mengiringi kapal tangki yang terkandas melalui selat itu sebagai bersifat pertahanan, sehari selepas tentera Amerika menyatakan ia telah memusnahkan beberapa bot kecil Iran, serta peluru berpandu dan dron.
“Tiada tembakan kecuali kami ditembak dahulu,” kata Encik Rubio kepada pemberita di Rumah Putih, di mana beliau berkata Amerika telah mencapai matlamatnya dalam kempen ketenteraan tersebut.
“Operasi ‘Epic Fury’ telah tamat. Kami tidak bersorak supaya akan berlaku situasi lain,” kata Encik Rubio.
Salah satu matlamat utama Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dalam melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran adalah bagi memastikan Teheran tidak membangunkan senjata nuklear, sesuatu yang dinafikan oleh Teheran.
Namun, Iran masih belum menyerahkan lebih 900 paun uranium yang diperkaya tinggi.
Selat Hormuz juga hampir ditutup sepenuhnya sejak perang bermula pada 28 Februari, hingga mencetuskan gangguan yang telah menaikkan harga barangan di seluruh dunia.
Iran telah dapat menutup selat tersebut, yang mengendalikan satu perlima daripada bekalan minyak dan gas dunia, dengan mengancam untuk menggunakan periuk api, dron, peluru berpandu dan kapal serangan pantas.
Amerika pula bertindak balas dengan mengepung pelabuhan-pelabuhan Iran dan mengiring kapal perdagangan yang melalui selat itu.
Encik Rubio, dalam ucapannya, menjelaskan bahawa agensi Operasi Perdagangan Maritim Britain melaporkan sebuah kapal kargo telah diserang oleh peluru meriam di selat tersebut.
Butiran lanjut mengenai kejadian itu, bagaimanapun, tidak dapat diperolehi.
Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, berkata Amerika telah berjaya memperoleh laluan melalui perairan tersebut dan ratusan kapal perdagangan telah beratur untuk melaluinya.
Gencatan senjata yang sudah berlangsung selama empat minggu dengan Iran belum berakhir, tambahnya.
“Buat masa ini, gencatan senjata masih bertahan, tetapi kami akan memantau dengan amat teliti,” katanya.
Pengerusi Ketua Turus Bersama Amerika, Jeneral Dan Caine, berkata serangan Iran terhadap pasukan Amerika jatuh “di bawah ambang untuk memulakan semula operasi pertempuran besar ketika ini”.
Apabila ditanya apa yang perlu dilakukan Iran untuk dianggap melanggar gencatan senjata, Encik Trump berkata: “Mereka tahu apa yang tidak boleh dilakukan.” – Reuters.
