JALURAN GAZA: Laporan yang baru diterbitkan oleh Harvard Dataverse mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 377,000 orang, separuh daripadanya kanak-kanak, telah “hilang” di Gaza angkara tentera Israel sejak Oktober 2023.
Laporan itu, yang ditulis oleh Profesor Israel Yaakov Garb, menggunakan analisis dipacu data dan pemetaan untuk menyelidik bagaimana serangan Israel ke atas orang awam dan halangan bantuan telah menyebabkan penurunan mendadak penduduk wilayah Palestin itu.
Menurut penemuan Profesor Garb, jumlah sebenar individu yang terbunuh mungkin jauh lebih tinggi daripada angka kematian rasmi kini yang berjumlah 61,000 orang.
Peta dalam laporan yang berdasarkan anggaran tentera Israel menunjukkan bahawa penduduk yang tinggal di Bandar Gaza adalah sekitar 1 juta, 500,000 di Mawasi dan 350,000 di tengah Gaza – menjadikan jumlah keseluruhan seramai 1.85 juta orang.
Sebelum perang, penduduk Gaza dianggarkan 2.227 juta. Percanggahan angka itu menunjukkan sekurang-kurangnya 377,000 orang kini tidak diketahui keberadaan mereka.
Walaupun ada kemungkinan sebahagian daripada mereka hanya tersesat atau belum ditemui, besarnya jumlah yang masih belum dikesan mendorong penganalisis membuat kesimpulan bahawa ramai sebenarnya mungkin telah terkorban.
Sekiranya andaian itu tepat, angka kematian sebenar mungkin jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan.
Laporannya juga secara kritis menilai peranan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat, dan dianggap ditubuhkan dengan tujuan lebih kepada strategi ketenteraan Israel berbanding keperluan kemanusiaan.
Menggunakan data lokasi dan analisis, Profesor Garb mendapati kebanyakan penduduk Gaza tidak dapat menuju ke pusat agihan bantuan GHF.
Tapak-tapak itu sebahagian besarnya tidak boleh diakses, terputus dari kawasan selatan Gaza oleh koridor Netzarim yang dikawal Israel.
Lokasi itu diisytiharkan sebagai “zon penampan” bermakna orang awam yang cuba mendapatkan bantuan terpaksa memasuki kawasan yang secara rasmi dilarang oleh tentera Israel.
Menurut laporan itu, prasarana yang lemah, kekurangan pengangkutan bermotor serta hampir ketiadaan laluan selamat menjadikan akses lebih sukar.
Menurut Profesor Garb, reka bentuk dan operasi lokasi agihan bantuan “nampaknya mungkin menjadi enjin untuk pergelutan dan kemalangan yang berterusan”.
Model peruntukan – catuan untuk 5.5 orang selama 3.5 hari – secara berkesan memaksa orang awam memasuki lintasan berbahaya ke zon tentera beberapa kali.
Laporan itu menekankan bahawa sedikit atau tiada langkah diambil untuk melindungi maruah atau keselamatan orang awam dengan lokasi pengagihan GFH kurang kemudahan asas seperti tempat berteduh, air, tandas dan stesen pertolongan cemas. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg