GAZA: Sekurang-kurangnya 46 orang yang sedang menunggu bantuan makanan terbunuh akibat serangan Israel dalam dua kejadian di tengah dan selatan Gaza, kata pegawai penyelamat dan hospital.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam sistem pengagihan makanan yang disokong Amerika Syarikat dan Israel, dengan seorang pegawai menyifatkannya sebagai “tindakan kebencian” dan “perangkap maut”.
Jurucakap pertahanan awam, Encik Mahmud Bassal, berkata 21 orang terbunuh dan kira-kira 150 yang lain cedera akibat tembakan Israel berhampiran pusat bantuan di tengah Gaza pada awal 24 Jun dan lagi 25 maut dalam kejadian berasingan di selatan Gaza.
“Setiap hari kami menghadapi senario ini... kematian dan kecederaan dalam jumlah yang tidak dapat ditanggung,” kata paramedik, Encik Ziad Farhat, ketika ditemui di Hospital Nasser di selatan Gaza.
“Hospital tidak dapat menampung jumlah mangsa yang dibawa ke sini,” tambahnya.
Kematian terbaru berlaku ketika ketua pembangkang Israel dan keluarga tebusan Israel yang ditahan di Gaza menggesa Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, supaya meluaskan gencatan senjata dengan Iran untuk menyertakan wilayah Palestin.
Tekanan juga meningkat ke atas kumpulan bantuan swasta Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika dan Israel.
GHF ditugaskan melaksanakan tugas bantuan kemanusiaan di wilayah Palestin pada akhir Mei, bagi menggantikan agensi PBB.
Ketua agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) menyifatkan sistem itu sebagai “keji” manakala jurucakap pejabat hak asasi manusia PBB, Encik Thameen Al-Kheetan, pula mengecamnya sebagai “senjata makanan” di Gaza.
Menurut perangkaan Kementerian Kesihatan di Jaluran Gaza yang dikendalikan Hamas, sekurang-kurangnya 516 orang terbunuh dan hampir 3,800 orang cedera akibat tembakan Israel ketika mereka cuba mendapatkan bantuan makanan sejak akhir Mei.
Wilayah Palestin itu dilanda masalah kebuluran selepas Israel menyekat semua bekalan dari awal Mac hingga akhir Mei dan terus mengenakan sekatan, lapor kumpulan hak asasi manusia.
Tentera Israel berkata laporan kematian berhampiran Koridor Netzarim sedang diteliti oleh pihaknya.
Encik Bassal melaporkan tembakan maut pertama “dengan peluru dan bedilan kereta kebal” berhampiran Koridor Netzarim di tengah Gaza – tempat ribuan rakyat Palestin berkumpul setiap malam untuk mendapatkan makanan di tempat pengedaran GHF berdekatan.
Tentera Israel kemudian berkata orang ramai berada di kawasan “bersebelahan” dengan tenteranya berada.
Kementerian Luar Perancis mengecam apa yang disifatkannya sebagai “tembakan maut Israel” terhadap orang awam di Koridor Netzarim. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg