Topik diikuti
Pergi ke BHkuLaporan: Israel kini kuasai hampir satu perlima Tebing Barat
Laporan: Israel kini kuasai hampir satu perlima Tebing Barat
Laporan: Israel kini kuasai hampir satu perlima Tebing Barat
BAITULMAKDIS: Penduduk haram Israel kini menguasai hampir satu perlima daripada kawasan Tebing Barat yang diduduki, menurut satu laporan baharu yang mendakwa pemerintah Israel mempercepat proses penguasaan secara de facto ke atas wilayah Palestin melalui peluasan penempatan haram dan merampas tanah secara sistematik.
Laporan bertajuk Annus Mirabilis yang diterbitkan oleh badan pemantau Israel, Peace Now, bersama organisasi Kerem Navot, menyatakan proses itu berlaku pada kadar yang belum pernah disaksikan sebelum ini sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.
Menurut laporan itu, perubahan pentadbiran yang dilaksanakan pemerintah Israel membolehkan kuasa mengurus Tebing Barat dipindahkan daripada tentera kepada pentadbiran awam yang diketuai Menteri Kewangan berhaluan kanan, Encik Bezalel Smotrich.
Encik Smotrich sebelum ini berulang kali menggesa Tebing Barat diilhakkan sepenuhnya ke dalam wilayah Israel.
Peace Now berkata perubahan itu membolehkan proses peluasan penempatan dilakukan dengan lebih pantas tanpa melalui semakan yang sebelum ini dibuat oleh pihak tentera dan sistem perundangan.
“Perubahan ini membolehkan matlamat pengilhakan dilaksanakan secara pantas dan sistematik dengan mengatasi mekanisme semakan yang sebelum ini masih wujud dalam sistem tentera dan undang-undang,” menurut laporan itu.
Laporan berkenaan mendapati pemerintah Israel telah meluluskan pembinaan 40,064 unit rumah baharu di penempatan haram, yang mampu menempatkan antara 160,000 hingga 200,000 penduduk haram tambahan.
Ketika ini dianggarkan kira-kira 700,000 penduduk haram Israel tinggal di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmakdis Timur, dalam penempatan yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa.
Menurut laporan itu, peluasan penempatan semakin pesat sejak perang di Gaza tercetus.
“Kadar pembinaan meningkat setiap tahun, menunjukkan wujudnya mekanisme pengambilalihan tanah yang semakin tersusun dengan mengambil kesempatan daripada perang di Gaza dan kelemahan penguatkuasaan terhadap pembinaan oleh pendatang Israel,” katanya.
Peace Now berkata penduduk haram kini menguasai hampir 18 peratus kawasan Tebing Barat, bersamaan lebih 1,100 kilometer persegi.
Daripada jumlah itu, sekitar 300 kilometer persegi diambil alih sepanjang 2025 sahaja.
Laporan itu turut menyatakan hampir 40 peratus daripada tanah berkenaan diklasifikasikan Israel sebagai “tanah negara”.
Menurut laporan tersebut, peluasan penempatan memaksa 118 komuniti penternak Palestin meninggalkan kampung dan tanah mereka antara 2023 hingga 2025.
Sembilan lagi komuniti dilaporkan dipindahkan hanya dalam tempoh dua bulan pertama tahun 2026 ini.
Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International, sebelum ini menyifatkan pemindahan paksa komuniti penternak Palestin sebagai sebahagian daripada kempen yang disokong Israel bagi melakukan pembersihan etnik di Tebing Barat.
Selain peluasan penempatan, laporan itu mendakwa Israel turut mengehadkan kuasa Pentadbiran Palestin mentadbir Kawasan A dan B, sekali gus melemahkan pelaksanaan Perjanjian Oslo 1994 yang menjadi asas proses damai Israel-Palestin.
“Pada hakikatnya, pemerintah sedang berusaha merungkai kerangka yang diwujudkan menerusi Perjanjian Oslo,” menurut Peace Now.
Laporan itu menyimpulkan bahawa tindakan Israel bukan lagi bersifat berasingan, sebaliknya membentuk satu dasar pemerintah yang tersusun bagi memperkukuh kawalan ke atas Tebing Barat.
Sepanjang tempoh tiga tahun itu, sebanyak 185 pos penempatan baharu diwujudkan, manakala 102 penempatan diberikan status rasmi sama ada melalui pengesahan penempatan haram sedia ada atau menaik taraf kawasan kejiranan kepada penempatan bebas.
Selain itu, sekurang-kurangnya 223 kilometer jalan baharu dibina di seluruh Tebing Barat bagi menghubungkan kawasan penempatan Israel.
Pendatang haram juga dilaporkan mengambil alih sekurang-kurangnya 11.52 kilometer persegi tanah melalui aktiviti pertanian, manakala 25.96 kilometer persegi lagi diisytiharkan Israel sebagai tanah milik negara.
Peace Now berkata laporan itu disediakan berdasarkan penyelidikan lapangan yang meluas, dokumen pemerintah data belanjawan awam, imej udara, peta dan keterangan saksi, dengan dapatan dikemas kini sehingga suku pertama 2026.
Organisasi itu memberi amaran bahawa dasar berkenaan boleh menjejaskan peluang mencapai penyelesaian politik antara Israel dan Palestin pada masa depan.
Penganalisis turut berpendapat peluasan penempatan dan pemindahan penduduk Palestin secara berterusan akan menyukarkan pelaksanaan penyelesaian dua negara yang selama ini disokong masyarakat antarabangsa sebagai jalan terbaik menamatkan konflik yang telah berlarutan selama beberapa dekad. - Agensi berita
