ISTANBUL: Hujan semakin lebat yang melanda Sri Lanka dan wilayah Selat Melaka lebih disebabkan oleh pemanasan global, menurut laporan Atribusi Cuaca Dunia yang dikeluarkan pada 10 Disember.
Kawasan berpenduduk ramai di rantau ini terancam akibat hujan lebat yang semakin meningkat dan banjir ekstrem, kata laporan itu, susulan banjir maut pada November yang melanda Indonesia, Sri Lanka, Thailand dan Malaysia, mengorbankan lebih 2,230 orang.
“Bagi wilayah Selat Melaka, peningkatan hujan lebat yang berkaitan dengan peningkatan suhu permukaan purata Global dianggarkan sekitar sembilan peratus hingga 50 peratus.
Di Sri Lanka, hujan lebat selama lima hari yang dikaitkan dengan Taufan Ditwah, mencecah sekitar 28 peratus hingga 160 peratus lebih kuat disebabkan oleh pemanasan setakat ini,” kata laporan itu.
Indonesia, khususnya Sumatera, Malaysia dan Singapura mengelilingi Selat Melaka.
Di Sri Lanka, jumlah kematian akibat Taufan Ditwah telah meningkat kepada 639 orang, dengan sehingga 203 orang dilaporkan masih hilang setakat 11 Disember, menurut akhbar tempatan Daily Mirror.
Keseluruhannya, lebih daripada 2.3 juta orang terjejas akibat cuaca buruk itu.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan pelan menyalurkan bantuan tambahan bagi menyelamatkan nyawa sebanyak AS$35.3 juta (S$46 juta) untuk komuniti yang terjejas dek Taufan Ditwah, menurut kenyataan PBB di Sri Lanka pada 11 Disember.
Pelan ini bertujuan untuk menjangkau 658,000 orang yang memerlukan bantuan segera antara Disember 2025 dengan April 2026, kata kenyataan itu.
Di pulau Sumatra, Indonesia, 990 orang terbunuh akibat banjir dan tanah runtuh yang diperkuatkan oleh Ribut Senyar, manakala 222 orang dilaporkan masih hilang setakat 11 Disember.
“Walaupun amaran awal telah dikeluarkan di Sri Lanka dan Indonesia, kegagalan dalam infrastruktur teknologi maklumat dan perhubungan mungkin telah menghalangnya daripada mencapai khalayak yang disasarkan.
Malah, mereka yang menerima amaran pun seringkali tidak dapat menjangka skala banjir. masa banjir, dan keterpencilan sesetengah komuniti memberikan cabaran selanjutnya,” tegas laporan itu.
Pemanasan global kini menjadi tumpuan negara-negara di dunia.
Persidangan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November di di Amazon Brazil merayu agar dunia terus berjuang menentang pemanasan global.
Kemajuan yang lemah ke arah menghentikan penggunaan bahan api fosil dan mengurangkan pelepasan pemanasan planet, telah membuka garisan sesar antara negara-negara dalam persidangan selama dua minggu itu. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg