Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gelombang haba ekstrem dijangka berlarutan hingga akhir tahun di selatan Indonesia

Oct 16, 2025 | 6:14 PM
Seorang penduduk menggunakan payung bagi melindungi diri daripada cuaca panas terik.
Seorang penduduk menggunakan payung bagi melindungi diri daripada cuaca panas terik. - Foto AFP

JAKARTA: Indonesia kini berdepan gelombang haba luar biasa yang dijangka berterusan hingga akhir tahun 2025 atau awal 2026, apabila keadaan langit cerah tanpa litupan awan serta fasa pancaroba menyebabkan sinaran matahari memanaskan permukaan bumi secara terus, menurut amaran Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG).

Antara 13 dan 14 Oktober, suhu siang hari direkodkan antara 27 hingga 35 darjah Celsius di beberapa bandar utama termasuk Jakarta, Surabaya (Jawa Timur), Palembang (Sumatera Selatan), Semarang (Jawa Tengah) dan Denpasar (Bali). Suhu tertinggi mencecah 37 darjah Celsius di Tangerang Selatan, Banten satu paras yang luar biasa tinggi untuk bulan Oktober.

“Kami menjangkakan cuaca panas ini berlarutan hingga Disember atau mungkin awal tahun depan,” kata Timbalan Ketua Bahagian Meteorologi BMKG, Guswanto, kepada The Jakarta Post pada 15 Oktober. “Kami menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti berat di luar rumah, khususnya bagi warga emas dan kanak-kanak yang lebih mudah terdedah kepada risiko kesihatan akibat haba ekstrem.”

Menurut BMKG, suhu tinggi ini berpunca daripada penguatan sinaran suria yang tidak dihalang awan di kawasan selatan Indonesia termasuk Sumatera, Jawa dan Bali. “Buat masa ini, kawasan tersebut mempunyai litupan awan yang sangat kurang, membolehkan cahaya matahari menembusi permukaan bumi secara langsung,” jelas Encik Guswanto.

BMKG menyatakan cuaca panas luar biasa itu berpunca daripada pergerakan matahari ke arah selatan serta pengukuhan angin timuran dari Monsun Australia.

“Corak ini menyebabkan wilayah tengah dan selatan termasuk Jawa, Nusa Tenggara, Kalimantan dan Papua menerima lebih banyak cahaya matahari secara langsung, sekali gus menyebabkan suhu dirasai lebih panas,” kata Encik Guswanto.

Walaupun cuaca panas dijangka berterusan, agensi itu menyatakan hujan setempat yang singkat akibat aktiviti perolakan masih boleh berlaku pada waktu petang atau malam, terutamanya di beberapa bahagian Sumatera, Kalimantan, Jawa dan Papua.

Fenomena ini turut diperburuk oleh fasa pancaroba, iaitu peralihan antara musim kering dan musim hujan yang sering membawa corak cuaca tidak menentu serta suhu panas luar biasa.

Di Jakarta, penduduk merasai kesan paling ketara apabila suhu siang hari mencecah 35 darjah Celsius, tiga darjah lebih tinggi daripada purata suhu tahunan. Cuaca panas juga diburukkan oleh mutu udara yang semakin teruk, menjadikan aktiviti luar lebih meletihkan.

“Gabungan haba dan pencemaran udara menyebabkan tekanan fizikal meningkat. Mereka yang bekerja di luar rumah perlu lebih berhati-hati,” kata seorang juruteknik yang ditemui di kawasan Senayan.

Pakar perancangan bandar hijau dari Universiti Pendidikan Indonesia (UPI), Cik Beta Paramita, berkata suhu panas di kawasan bandar dipengaruhi oleh aktiviti manusia dan reka bentuk bandar. “Bahan binaan seperti aspal dan konkrit menyerap haba pada waktu siang dan melepaskannya semula pada waktu malam. Ini menyebabkan suhu persekitaran tidak turun walaupun selepas matahari terbenam,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pelepasan gas dari kenderaan dan bangunan turut memerangkap haba di atmosfera, mempercepatkan kesan ‘pulau haba bandar’. “Kita perlu memperbaiki perancangan bandar dan infrastruktur hijau supaya Jakarta menjadi kota yang lebih selesa dari segi suhu,” tambahnya.

Penyelidik kesihatan persekitaran dari Universiti Indonesia, Dr. Budi Haryanto, memberi amaran bahawa suhu tinggi yang dicatatkan kini melebihi had toleransi semula jadi tubuh manusia. “Secara fisiologi, tubuh manusia berfungsi dengan baik dalam suhu antara 15 hingga 32 darjah Celsius. Apabila melebihi paras ini, risiko dehidrasi, pening, keletihan, atau loya meningkat dengan ketara,” katanya.

Bagi individu yang sensitif terhadap haba termasuk pesakit jantung dan warga emas, pendedahan berpanjangan boleh menyebabkan masalah kardiovaskular, tekanan emosi dan kehilangan tumpuan.

Dr. Budi menasihatkan orang ramai supaya minum air secukupnya dan menggantikan mineral yang hilang akibat peluh. “Selain air kosong, minuman elektrolit juga penting untuk mengekalkan keseimbangan nutrien tubuh,” ujarnya.

Dr. Budi turut menyeru pihak berkuasa untuk memperkukuh sistem amaran haba ekstrem, dengan laporan suhu tempatan yang dikemas kini secara berkala. “Langkah ini penting bagi membantu pekerja luar seperti buruh binaan dan petani menyesuaikan diri dengan keadaan suhu tinggi secara selamat,” katanya.

Cuaca panas luar biasa ini tidak hanya melanda Indonesia, tetapi turut dikaitkan dengan pola pemanasan global dan perubahan iklim. Para saintis memberi amaran bahawa kejadian sebegini mungkin menjadi lebih kerap dan lebih teruk pada masa hadapan sekiranya pelepasan karbon tidak dikawal.

“Gelombang haba ini adalah isyarat jelas bahawa kita perlu mempercepatkan tindakan terhadap perubahan iklim,” kata Cik Beta Paramita. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg