Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan: Tentera AS pertingkat tahap waspada di pangkalannya di Eropah

Jul 1, 2024 | 5:40 PM
Fail foto menunjukkan seorang kanak-kanak meletakkan sejambak bunga di acara memperingati 150 mangsa yang maut dalam serangan pengganas ke atas Dewan Konsert Bandar Crocus, Russia, pada 30 April.
Fail foto menunjukkan seorang kanak-kanak meletakkan sejambak bunga di acara memperingati 150 mangsa yang maut dalam serangan pengganas ke atas Dewan Konsert Bandar Crocus, Russia, pada 30 April. - Foto AFP

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat telah meningkatkan tahap berjaga-jaga di beberapa pangkalannya di Eropah ke peringkat kedua tertinggi, lapor beberapa media Amerika pada 30 Jun.

Pangkalan Amerika di seluruh Eropah dinaikkan ke tahap amaran ‘Charlie’, lapor ABC News dan CNN dengan kedua-duanya memetik pegawai yang tidak dinamakan.

Status amaran itu dikeluarkan apabila “sesuatu insiden berlaku atau perisikan diterima menunjukkan beberapa bentuk tindakan pengganasan atau kemungkinan adanya sasaran terhadap kakitangan atau kemudahan”, kata Tentera Amerika di laman webnya.

Tahap tertinggi ‘Delta’ digunakan apabila serangan pengganasan telah berlaku atau semakin hampir berlaku.

Pusat Perintah Amerika di Eropah (USEUCOM) tidak mengesahkan perubahan status amaran itu ketika dihubungi AFP, tetapi berkata: “Kami tetap berwaspada.”

Sementara itu, Pentagon berkata: “Disebabkan gabungan faktor yang berpotensi menjejas keselamatan dan keselamatan anggota perkhidmatan Amerika dan keluarga mereka yang ditempatkan di Eropah, USEUCOM meningkatkan usahanya untuk menekankan peri perlunya kewaspadaan semasa musim panas.”

Jabatan Negara Amerika pada masa ini menasihatkan warga Amerika di Jerman, yang menempatkan ibu pejabat USEUCOM, supaya lebih berhati-hati terhadap pengganasan.

Meskipun tiada ancaman khusus disebut, negara-negara Eropah telah berjaga-jaga sejak kejadian melibatkan seorang lelaki bersenjata membunuh hampir 150 orang di luar Moscow pada Mac.

Kumpulan militan ISIS mendakwa mereka yang melakukan serangan itu.

Perancis juga telah meningkatkan tahap kewaspadaannya menjelang Sukan Olimpik Paris, manakala Jerman sedang menganjurkan kejohanan bola sepak antarabangsa Eropah, Euro 2024. – AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg