Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan: Trump minta pilihan serang Iran minggu lalu tapi batalkan

Nov 18, 2020 | 5:30 AM
BOLEH UNDANG KONFRONTASI BESAR: Presiden Donald Trump memandu bugi semasa bermain golf di Kelab Golf Nasional Trump di Sterling, Virginia, kelmarin. Pegawai kanannya mengingatkan serangan ke atas Iran akan hanya menimbulkan konfrontasi besar-besaran pada minggu-minggu terakhir penggal beliau sebagai presiden. - Foto REUTERS
BOLEH UNDANG KONFRONTASI BESAR: Presiden Donald Trump memandu bugi semasa bermain golf di Kelab Golf Nasional Trump di Sterling, Virginia, kelmarin. Pegawai kanannya mengingatkan serangan ke atas Iran akan hanya menimbulkan konfrontasi besar-besaran pada minggu-minggu terakhir penggal beliau sebagai presiden. - Foto REUTERS -

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mendapatkan pandangan penasihat kanan keselamatannya minggu lalu mengenai kemungkinan melancarkan serangan ke atas tapak nuklear utama di Iran, menurut seorang pegawai Amerika.

Satu siaran berita CNN yang memetik akhbar The New York Times melaporkan tindakan itu dibuat oleh Encik Trump dalam satu mesyuarat yang dihadiri empat pegawai kanan di Rumah Putih Khamis lalu.

Ia berlangsung sehari selepas laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bahawa stok uranium di Iran sudah mencecah 12 kali ganda daripada had 300 kilogram.

Jumlah itu melebihi yang ditetapkan oleh Rancangan Tindakan Komprehensif Bersama yang ditandatangani oleh Amerika Syarikat dan lima negara lain pada 2015.

Tetapi di bawah pentadbiran Encik Trump, Amerika mengundur diri daripada perjanjian tersebut pada 2018.

Menurut The New York Times, Encik Trump bertanyakan mengenai pilihan Amerika dan cara menangani perkembangan isu itu.

Bagaimanapun, akhbar itu, yang memetik sumber pegawai pemerintah, berkata Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Negara Mike Pompeo, pemangku Setiausaha Pertahanan Christopher Miller, dan Ketua Turus Bersama, Jeneral Mark Milley, dilaporkan meyakinkan Encik Trump agar tidak menyerang Iran.

Mereka mengingatkan bahawa serangan itu akan hanya menimbulkan konfrontasi besar-besaran pada minggu-minggu terakhir penggal Encik Trump sebagai presiden.

Encik Trump hingga kini enggan menerima kekalahannya kepada Encik Joe Biden dalam pilihan raya presiden pada 3 lalu dan mencabar keputusan tersebut.

Calon Parti Demokrat Biden, yang merupakan mantan naib presiden di bawah pentadbiran Encik Barack Obama, akan dilantik secara rasmi sebagai presiden baru pada 20 Januari depan.

"Beliau bertanyakan tentang pilihan. Mereka memberikan beliau gambaran keadaan dan akhirnya beliau memutuskan tidak meneruskannya," kata seorang pegawai mengenai tindakan Encik Trump itu.

Rumah Putih enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

Encik Trump menghabiskan masa empat tahun sebagai presiden melaksana dasar agresif terhadap Iran, termasuk keluar daripada perjanjian nuklear Iran yang dirundingkan oleh pendahulunya, Encik Obama, dan mengenakan sekatan ekonomi meluas terhadap sasaran Iran.

Permohonan Encik Trump bagi pilihan melaksana serangan ke atas Iran dibuat sehari selepas laporan badan pemantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan Iran telah selesai menggerakkan emparan canggih (advanced centrifuges) dari loji darat di tapak utama penggayaan uraniumnya ke loji bawah tanah, satu pelanggaran baru syarat perjanjian nuklear itu.

Jurucakap misi Iran di PBB di New York, Encik Alireza Miryousefi, berkata program nuklear Iran ialah bagi tujuan keamanan dan penggunaan orang awam dan dasar Encik Trump tidak merubah keadaan itu.

"Namun, Iran telah menunjukkan ia berupaya menggunakan kekuatan tenteranya yang sah untuk mencegah atau memberi respons ke atas apa jua tindakan daripada penyerang yang murung hiba," katanya.

Bekalan uranium Iran seberat 2.4 tan yang rendah tahap konsentrasinya sekarang dikatakan jauh lebih besar, melepasi had 202.8kg.

Teheran menghasilkan 337.5kg dalam tempoh tiga bulan lalu, kurang daripada lebih 500kg yang dicatat dalam tempoh enam bulan sebelum itu oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg