Latihan ketenteraan AS di Asia Barat, mural amaran Iran di tengah sekatan Internet
Latihan ketenteraan AS di Asia Barat, mural amaran Iran di tengah sekatan Internet
WASHINGTON/TEHERAN: Tentera Udara Amerika Syarikat mengumumkan pada 25 Januari bahawa ia akan memulakan satu latihan kesiapsiagaan ketenteraan selama beberapa hari di Asia Barat, ketika ketegangan antara Washington dan Teheran terus memuncak susulan tindakan keras berdarah kerajaan Iran terhadap bantahan besar-besaran rakyatnya.
Dalam satu kenyataan, Tentera Udara Pusat Amerika Syarikat (AFCENT) berkata latihan itu bertujuan untuk “menunjukkan keupayaan mengerahkan, menyebarkan dan mengekalkan kuasa udara tempur” di rantau tersebut.
“Latihan ini mengukuhkan keamanan melalui kekuatan dengan menampilkan kehadiran ketenteraan yang kredibel, bersedia tempur dan bertanggungjawab, bagi menghalang pencerobohan, mengurangkan risiko salah perhitungan dan memberi jaminan kepada rakan-rakan serantau,” menurut kenyataan AFCENT.
Langkah itu dibuat ketika hubungan Amerika Syarikat dan Iran berada pada tahap paling tegang dalam beberapa tahun, susulan tindakan keras pihak berkuasa Iran terhadap bantahan nasional yang tercetus sejak akhir Disember lalu. Bantahan tersebut disambut dengan tindakan ganas, mengakibatkan ribuan orang terbunuh dan puluhan ribu lagi ditahan.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum ini memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan tidak diketepikan sekiranya Iran terus membunuh penunjuk perasaan aman atau melaksanakan hukuman mati secara besar-besaran terhadap mereka yang ditahan.
Ketegangan itu turut meningkat apabila kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln bersama kapal-kapal perang pengiringnya bergerak ke arah Asia Barat. Trump berkata pergerakan armada tersebut dibuat “sekiranya perlu”.
“Kami mempunyai armada besar yang sedang menuju ke arah itu dan mungkin kami tidak perlu menggunakannya,” kata Trump pada Khamis lalu. “Tetapi ia ada, sekiranya diperlukan.”
Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) turut memaklumkan di media sosial bahawa jet pejuang F-15E Strike Eagle Tentera Udara AS kini mempunyai kehadiran di Asia Barat. “Pesawat ini meningkatkan kesiapsiagaan tempur serta menggalakkan keselamatan dan kestabilan serantau,” menurut kenyataan CENTCOM.
Pada masa sama, Kementerian Pertahanan Britain mengumumkan pada 22 Januari bahawa ia telah mengerahkan jet pejuang Typhoon ke Qatar dalam “kapasiti pertahanan”.
Di Teheran, mesej amaran keras kepada Amerika Syarikat dipamerkan secara terbuka apabila sebuah mural baharu didedahkan di Dataran Enghelab, lokasi yang sering digunakan pemerintah Iran untuk perhimpunan dan mesej rasmi negara.
Mural itu menggambarkan beberapa pesawat rosak di atas dek sebuah kapal pengangkut pesawat, disertai slogan berbunyi: “Jika kamu menabur angin, kamu akan menuai badai.”
Pendedahan mural itu berlaku ketika kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln semakin menghampiri rantau tersebut. Dataran Enghelab sering menyaksikan mural ditukar mengikut situasi nasional atau mesej politik utama negara.
Pada 24 Januari, Komander Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) turut mengeluarkan amaran keras, menyatakan pasukannya kini “lebih bersedia berbanding sebelum ini, dengan jari di picu”.
Walaupun tiada bantahan besar dilaporkan dalam beberapa hari kebelakangan ini, Encik Trump mendakwa Teheran telah menghentikan pelaksanaan hukuman mati terhadap kira-kira 800 penunjuk perasaan yang ditahan - satu dakwaan yang disifatkan oleh Ketua Pendakwa Raya Iran sebagai “tidak benar sama sekali”.
Encik Trump bagaimanapun menegaskan semua pilihan masih terbuka. Pada 22 Januari beliau berkata sebarang tindakan ketenteraan baharu akan menjadikan serangan udara Amerika Syarikat ke atas tapak nuklear Iran pada Jun lalu “kelihatan seperti kacang”.
Bantahan di Iran bermula pada 28 Disember lalu, dicetuskan oleh kejatuhan mendadak nilai mata wang rial dan kesulitan ekonomi yang semakin teruk. Ia dengan pantas merebak ke seluruh negara dan berubah menjadi seruan terbuka untuk menggulingkan Republik Islam.
Pada 8 Januari, pihak berkuasa menutup hampir sepenuhnya akses internet di seluruh negara, sekali gus memulakan gangguan komunikasi paling meluas dalam sejarah Iran.
Menurut Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA) yang berpangkalan di Amerika Syarikat, jumlah korban akibat tindakan keras itu kini mencecah 5,459 orang, dengan lebih 40,800 individu ditahan. Angka itu dijangka terus meningkat.
Kumpulan itu berkata datanya disahkan melalui rangkaian aktivis di dalam Iran dan rekod mereka sebelum ini terbukti tepat. Angka kematian tersebut melebihi mana-mana gelombang bantahan dalam beberapa dekad, dan mengingatkan kepada kekacauan Revolusi Islam Iran 1979.
Pemerintah Iran pula meletakkan angka kematian jauh lebih rendah, iaitu 3,117 orang, dengan mendakwa sebahagian mangsa terdiri daripada anggota keselamatan dan selebihnya dilabel sebagai “pengganas”.
Dalam tempoh lebih 17 hari, rakyat Iran bukan sahaja berdepan tindakan keras keselamatan, tetapi juga hampir terputus sepenuhnya daripada dunia luar. Namun, kebelakangan ini, sebahagian rakyat Iran mula memperoleh akses internet secara singkat dan tidak menentu.
Peluang singkat itu digunakan oleh ramai untuk menghantar mesej pertama kepada keluarga di luar negara, sekadar memberitahu mereka masih hidup. Akses terhad itu juga membolehkan video dan maklumat mengenai skala sebenar tindakan keras kerajaan sampai ke media antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia.
“Setiap kali saya berjaya sambung ke Internet, ia terasa seperti setahun hidup saya diragut,” tulis Cik Mahsa, 39 tahun, dari Teheran, dalam satu mesej singkat. “Kadang-kadang saya rasa lebih baik tidak tahu apa-apa dan terus hidup dalam ketidakpastian dan keputusasaan.”
Pakar pemantauan Internet berkata akses tidak menentu itu berkemungkinan berpunca daripada usaha pihak berkuasa Iran menguji sistem penapisan baharu, termasuk pendekatan ‘whitelisting’ yang memberikan tahap akses berbeza berdasarkan kesetiaan politik atau keperluan ekonomi.
“Semakin mereka bereksperimen dengan penapisan berperingkat, semakin banyak ruang dan laluan sambungan tidak disengajakan akan muncul,” kata pakar keselamatan siber, Encik Amir Rashidi.
Sementara itu, akhbar ekonomi Iran, Donya-ye Eqtesad, melaporkan gangguan Internet itu menyebabkan kerugian ekonomi antara AS$16 juta (S$20.29 juta) hingga AS$24 juta sehari.
Walaupun skala sebenar tragedi di Iran masih kabur, seorang wartawan penyiasatan terkenal di Teheran, Encik Yashar Soltani, menulis bahawa ia adalah “satu tragedi yang dimensi sebenar masih diselubungi kegelapan dan penapisan”. “Kebenaran, walaupun disembunyikan, tidak akan hilang,” tulisnya. - Agensi berita

